Peugeot 208 S edisi terhad dilancarkan – Harga RM87k

By  |  0 Comments

208S_FrontShot

Nasim Sdn Bhd selaku pengedar rasmi bagi Peugeot di Malaysia telah pun melancarkan Peugeot 208 S edisi terhad yang dibina berasaskan model Peugeot 208.

Jentera hatchback yang popular ini telah diberi penggayaan yang lebih dramatik, dilengkapi dengan spoiler S Kit, jaluran S Kit, cermin sisi S Kit dan gril baharu SR1. Malah ia ditawarkan dengan varian Digital White sahaja.

Sejak Disember 2012, Peugeot 208 telah terpilih sebagai kereta segmen-B terbaik di Eropah buat tiga bulan berturut-turut. Malah pada Februari 2013, Peugeot telah mengeluarkan sebanyak 300,000 unit model ini dari kilang pemasangan yang terletak di Poissy, Perancis. Manakala pada akhir 2014, Peugeot 208 telah terpilih menjadi antara lima model segmen-b terbaik di Eropah.

“Sejak diperkenalkan di pasaran Malaysia pada April 2013, Peugeot 208 konsisten menjadi model nombor satu Peugeot di Malaysia. Ia mendorong pihak kami membawa masuk model 208 GTi dan terbaharu, 208 S pula,”ujar Samson Anand George, Ketua Pegawai Operasi Nasim.

Ditawarkan dengan varian lima-pintu, Peugeot 208 S ini memiliki gaya yang lebih mantap dan moden. Malah rekaan luarannya lebih sporty termasuk dengan penampilan lampu pencahayaan siang LED pada bahagian hadapan dan belakang yang tampil moden. Selain itu, ia juga turut ditampilkan dengan rim aloi dua-tona Helium bersaiz 16-inci.

208S_Spoiler

Peugeot 208 S ini juga telah menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP disebabkan ia direka dengan menampilkan aspek keselamatan yang maksimum. Ini termasuklah menampilkan enam beg udara dan Program Kestabilan Elektronik (ESP) termasuk ABS, EBD, EBA, ASR dan DCS. Elemen keselamatan lain turut disertakan, antaranya Bantuan Mula Mendaki dan dua cagak Isofix.

Model ini juga menerapkan rekaan ECO dengan integrasi 25 % material alam sekitar daripada 170kg bahan polimer digunakan di dalam pembuatan kereta ini. Di mana bahagian bampar belakang Peugeot 208 S ini diperbuat daripada material kitar semula.

Lain-lain bahagian yang diperbuat daripada material kitar semula termasuklah bingkai radiator, gerbang dalaman roda, karpet bahagian kargo, roda stereng, pelindung enjin dan penapis udara.

Bahagian dalamannya pula turut menyerlahkan lagi karakteristik 208 S ini dengan menampilkan kekemasan yang berkualiti tinggi termasuk material plastik sentuhan lebuh dengan warna piano black dan sutera serta tempat duduk separa-lekuk balutan fabrik Moonlight.

Ia turut menampilkan skrin sesentuh interaktif HD bersaiz tujuh-ini dengan fungsi radio, fail muzik dan sambungan USB serta Bluetooth, enam pembesar suara, sistem audio yang boleh disambung dengan peranti Android, iPhone dan iPad. Malah skrin paparan tersebut juga memaparkan imej bagi bantuan parkir.

208S_Rear

Peugeot 208 S ini dijanakan oleh enjin 1.6 liter VTi yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 122 PS dan tork 160 Nm, menjadikan ia lebih responsif dan seronok dipandu. Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi adaptif automatik dengan mod Sport dan fungsi Tiptronic. Ia juga memberikan kelebihan bahan api yang lebih efisien iaitu antara 6.7 liter bagi setiap 100 km.

Malah model ini turut dipadankan dengan topang MacPherson dan palang anti-olengan bagi suspensi bahagian hadapan dan trailing-arm serta gandar boleh-ubah untuk belakang.

Telah mula boleh ditempah di bilik pameran Peugeot di seluruh negara dengan harga atas jalan RM86,888.00 termasuk insurans. Setiap pembeliannya juga disertakan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad, servis bantuan Peugeot 24 jam, keahlian Peugeot Privilege dan banyak lagi.

Bermula hari ini sehingga 28 Feb 2015, Nasim turut menganjurkan Peugeot Prosperity Drive yang menawarkan hadiah iPhone 6 untuk dimenangi bagi pembelian mana-mana model Peugeot.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *