Peugeot 2008 memenuhi cita rasa urban

By  |  0 Comments

2008

Memenuhi kehendak pengguna dan mengikut standard masa kini merupakan dua objektif yang sering kali menjadi pegangan syarikat pengeluar kenderaan zaman sekarang. Walau pun ternyata bukan mudah untuk memenuhi kepuasan pengguna, namun usaha agresif syarikat pengeluar kenderaan terkemuka dari Perancis ini wajar dipuji. Boleh dikatakan setiap model baharu yang diperkenalkan memenuhi cita rasa ramai. Ini termasuklah model SUV yang dipamerkan semasa Kuala Lumpur International Motorshow 2013 (KLIM’13) yang lalu iaitu Peugeot 2008.

Walau pun ketika itu masih belum dilancarkan, namun Peugeot melalui pengedar rasminya di Malaysia, Nasim Sdn Bhd, telah menerima lebih 100 tempahan untuk SUV urban ini. Petanda yang baik Peugeot 2008 kerana biar pun belum dilancarkan namun ia telah berjaya menarik perhatian umum.

Pada 6 Januari, Nasim Sdn Bhd telah mengumumkan harga bagi model 2008 iaitu RM119,888 bagi Semenanjung Malaysia, RM121,888 di Sabah dan RM121,588 bagi Sarawak. Menandakan 2008 telah bersiap sedia untuk memenuhi jalan raya di Malaysia. Sehari selepas harganya diumumkan, Nasim Sdn Bhd mengundang sekumpulan media permotoran tempatan untuk memandu uji SUV ini.

Infokereta.com digandingkan dengan dua rakan media yang lain untuk bergilir-gilir memandu ujinya selama sehari, dari Publika, Hartamas menuju ke Pullman, Putrajaya. Dengan jarak perjalanan hampir 100km melalui pelbagai corak jalan termasuk lebuh raya dan kawasan kampung di Hulu Langat, kepuasan memandu model 2008 ini memang cukup terserlah.

2008

Diberikan ‘jantung’ 1.6 liter empat silinder DOHC 16-injap VVT (Pemasaan Injap Boleh Laras) untuk membolehkan model 2008 ini bernafas, ia mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 122 PS pada 6,000rpm dan puncak tork 160 Nm pada 4,250rpm. Badannya yang sedikit kecil tidak mengundang masalah buat 2008 untuk ligat dipacu di atas jalan raya. Biar pun untuk mendaki bukit atau memotong kenderaan lain, kuasa yang dipacu oleh 2008 masih sempurna.

Jika melihat pada spesifikasinya, 2008 ini mampu dipacu daripada titik sifar ke 100 km/j dengan hanya 11.2 saat dan mampu mencatat kelajuan maksimum sehingga 190km/j. Tetapi bagi penulis, 2008 ini lebih sesuai dipandu dalam keadaan relaks dan bukannya melibatkan pemanduan agresif.

2008

Digandingkan dengan kotak gear adaptif automatik bersama Tiptronik dan mod Sport, prestasi yang dipamerkan oleh 2008 ini memang memuaskan. Pertukaran gear automatiknya biar pun ada sedikit terasa sentakan namun ia masih lancar dan tidak membataskan lanjakan kelajuannya. Namun jika memilih mod Sport dengan pertukaran gear secara manual, jangan terkejut, hanya empat kelajuan sahaja yang dicatatkan. Dan tiada pedal penukaran gear di belakang stereng, hanya menggunakan gear secara konversional sahaja. Dan bagi penulis, mod Sport bagi 2008 hanya pada tahap sederhana sahaja, tidak begitu melampiaskan keseronokan mengendalikannya. Jadi penulis lebih senang memilih gear automatik sahaja.

Manakala sistem suspensi yang digunakan ialah MacPherson Struts dengan bar anti olengan di bahagian hadapan dan Trailing Arm yang digandingkan bersama gandar silang boleh ubah untuk belakang. Menurut rakan media yang duduk di bahagian penumpang belakang, terasa kesan bumpy. Tidak dinafikan, suspensinya sedikit ringan tetapi ia bukanlah halangan untuk memacu SUV mengikut kemahuan.

Pujian yang harus diberikan untuk 2008 ialah kawalan sterengnya begitu mudah dikendalikan. Walau pun agak kecil, namun stereng berkuasa elektrik ini cukup responsif dan agak ringan. Senang mengikut arahan pacuan dan tidak ‘meliar’. Malah untuk membuat pusingan U juga cukup mudah dengan jejari pusingannya mencecah 5.2 meter, apatah lagi kerangka 2008 ini yang agak comel.

2008

Selain daripada itu, untuk memarkir SUV ini memang cukup mudah. Bukan setakat saiznya yang comel tetapi ia juga dilengkapi dengan elemen penuh inovatif iaitu adanya pakej Bantuan Parkir Pintar dengan pengesan di bahagian hadapan, belakang dan sisi bagi memudahkan pemandu memarkirnya dengan lebih selamat. Di mana dengan adanya bantuan sistem parkir ini, kenderaan lebih mudah diparkir terutamanya jika ingin memarkirnya daripada sudut sisi (parallel parking) secara automatik. Dengan memilih butang arahan pada skrin sesentuh untuk membolehkan kenderaan diparkirkan secara automatik. Pemandu cuma perlu mengawal pedal pendikit dan brek sahaja.

Jika ingin memarkir SUV ini secara mengundur atau masuk di bahagian hadapannya, bantuan parkir melalui paparan pada skrin monitor yang dilengkapi dengan audio sangat membantu. Jika kenderaan hampir melanggar sesuatu ketika proses parkir, amaran berbunyi akan dikeluarkan dan secara tidak langsung menambahkan kepekaan pemandu sendiri.

Bercerita soal gaya rekaan yang dipersembahkan, tidak dinafikan imej yang dipertaruhkan memang menambat hati. Ia nampak unik, elegan, dinamik dan memiliki sentuhan sporty pada gayanya. 2008 diproduksi mengikut platform 208 hatchback, tetapi diberi keutamaan pada gaya rekaannya yang ternyata cemerlang. Lampu utama DRL LED dengan gril double-bar dengan kekemasan krom yang menghiasi bahagian hadapannya cukup menarik perhatian.

2008

Peugeot 2008 ini turut dilengkapi dengan lampu utama automatik ‘Follow Me Home’ dan lampu kawalan ‘Guide Me Home’ yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi dan lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang.

Garis lengkukan memberikan ciri-ciri aerodinamik pada bahagian sisi. Cermin sisi dengan lingkaran krom juga nampak elegan. Manakala di bahagian belakang, lampunya yang berbentuk boomerang memberikan sedikit imej garang pada 2008 ini. Pada bahagian bumbung pula ditampilkan roof rail yang direka untuk menyerlahkan lagi gaya dinamiknya. Turut dipadankan dengan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci, pastinya memberikan gaya yang lebih ranggi pada rekaan luaran 2008 ini.

2008

Malah model 2008 serba baharu ini juga tampil dengan bumbung panaromik kawalan elektrik yang menyerlahkan lagi gaya kemewahannya.

Peugeot 2008 ini memang dalam kategori SUV tetapi ketika berada di dalam kabinnya, terasa seperti sebuah hatchback dengan ruangnya agak sederhana. Tempat duduk semi bucket dengan balutan separa kulit Oxford dan fabrik memberikan keselesaan. Ruang kaki dan ruang kepala untuk tempat duduk di belakang juga sederhana sahaja.

Mengetengahkan karakteristik Peugeot i-Cockpit dengan roda stereng kompak, skrin sesentuh resolusi tinggi bersaiz tujuh inci, sistem audio 3D Arkamys berserta enam pembesar suara. Panel instrumen pada papan pemuka juga agak fancy dan cukup menarik. Peugeot i-Cockpit diilham berdasarkan konsep rekaan Peugeot SR1 untuk menampakkan kelainan pada model baharu ini.

2008

Penulis cukup tertarik dengan rekaan brek tangannya yang seperti menyerupai brek tangan di dalam pesawat. Satu lagi bonus tambahan yang boleh dihadiahkan buat Peugeot 2008 ini ialah keseluruhan kekemasan di dalam kabin memang tampak mewah, elegan dan bermutu tinggi.

Dengan ruang kargo berkapasiti 360 liter, ia boleh ditambahkan lagi jumlahnya jika tempat duduk bahagian belakang dilipat dengan hanya menekan butang ‘Smart One’ memberikan lebihan 1,194 liter.

Bagi mengutamakan aspek keselamatan, Peugeot 2008 ini turut dipadankan dengan enam beg udara dan Program Kestabilan Elektronik yang menggabungkan fungsi seperti Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), ABS, EBA dan EBD. Selain daripada itu, elemen keselamatan lain yang turut ditampilkan ialah bantuan mendaki bukit, ISOFIX, lampu kabus bantuan selekoh dan struktur badan berkualiti tinggi (VHSS). SUV ini turut mendapat pengiktirafan lima bintang daripada EURO NCAP.

Secara konklusi, Peogeot 2008 ini harus mendapat markah tinggi di dalam rekaan dalaman dan luarannya yang menambat hati. Mengenai prestasinya, biar pun berada dalam tahap sederhana, namun ia mudah dikendalikan seperti memandu sebuah hatchback. Bagi penulis, Peugeot 2008 yang disasarkan jualannya untuk generasi muda ini cukup sesuai dipandu di kawasan bandar dan penggunaan bahan apinya juga boleh dikatakan efisien. Malah pendek kata, Peugeot 2008 sangat menepati gaya hidup masa kini.

Spesifikasi :
Enjin : 1.6 liter 4-silinder sebaris, DOHC, 16-injap, VVT (Pemasaan Injap Boleh Laras)
Transmisi : Automatik dengan Tiptronik dan Mod Sport
Kuasa maksimum : 122 PS @ 6,000rpm
Tork maksimum : 160 Nm @ 4,250rpm
Kapasiti tangki bahan api : 50 liter
Warna pilihan : Digital White, Virtual Blue, Dakota Brown & Artense Grey

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *