Renault Koleos miliki personaliti & fleksibiliti tersendiri

By  |  0 Comments

Koleos13

Setelah diperkenalkan bagi pasaran Malaysia pada tahun 2010 dan dua tahun selepas itu, Renault Koleos yang dibawa oleh TC Euro Cars Sdn. Bhd. ini telah menjalani sedikit transformasi untuk menyerlahkan lagi gaya dan prestasinya. Mahu menjadikan ia sebagai salah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Crossover pilihan ramai, Koleos mengutamakan fleksibiliti bagi memberikan keyakinan kepada pemiliknya.

Tidak hanya menambah elemen pada prestasi dan pengendaliannya, Koleos edisi yang dinaik taraf ini turut diberi sedikit sentuhan baharu pada rupa luaran dan kabinnya. Ternyata Koleos tidak mahu ketinggalan untuk bersaing dengan kenderaan di bawah segmen yang sama bagi merebut perhatian pada penggemarnya.

Koleos15

Rekaan luaran Koleos telah menampilkan personaliti yang lebih dinamik. Ia turut diserlahkan dengan gaya elegan dan lebih moden terutamanya pada bahagian bampar hadapan yang lebih agresif. Ditambah pula dengan lampu utama dan gril krom serba baharu yang nampak agak garang, telah menyerlahkan lagi imej penuh maskulin SUV Crossover ini. Begitu juga dengan bahagian belakang SUV ini yang menampilkan bampar yang agak lebar dan lampu belakang yang juga nampak garang.

Koleos17

Boleh dikatakan pemilihan kit badan Koleos ini sangat tepat dengan imej yang cuba ditonjolkan. Ia begitu menyerlahkan lagi imejnya, malah membuatkan SUV ini tampak begitu maskulin dan agresif.

Menjenguk ke dalam kabinnya, penggunaan material kulit bermutu tinggi yang membaluti tempat duduk dan permukaan pintu bahagian dalam membuatkan Koleos ini menyerlahkan lagi imej elegannya. Ditambahkan pula dengan reckon yang nampak agak ekslusif tetapi ringkas pada papan pemuka dan konsol bahagian tengah.

Setiap butang kawalan pada papan pemuka cukup teratur dan memudahkan pemandu untuk mengawalnya sepanjang pemanduan. Malah terdapat paparan sistem GPS yang diletakkan di bahagian tengah papan pemuka turut ditampilkan bagi model ini.

Koleos51

Pada bahagian tempat duduk penumpang di belakang, turut disertakan dengan tempat meletak barangan (juga boleh digunakan sebagai meja kecil) yang dilekatkan melalui tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelahnya.

Ruang kaki dan ruang kepala di bahagian tempat duduk penumpang di belakang juga boleh dikatakan luas dan cukup memberikan keselesaan optimum sepanjang berada di dalam kabin.

Ruang bonet SUV ini pula boleh dibuka secara separuh atau pun sepenuhnya mengikut kehendak pengguna sendiri. Malah ruangnya juga agak besar yang mampu memuatkan pelbagai barangan di dalamnya. Dan kapasiti ruangannya bertambah sekiranya kerusi di belakang dibaringkan.

Koleos23

Olahan rekaan pada bahagian luaran dan dalaman bagi model ini membuatkan Koleos seakan tampil dengan identiti tersendiri berbanding pesaingnya. Implimentasi yang disuntikkan pada model ini lebih signifikan selari dengan kehendak serta keperluan masa kini.

Koleos turut menghadiahkan pengalaman pemanduan dan pengendalian yang menyeronokkan. Tidak kira pada apa jua permukaan atau keadaan jalan, Koleos cukup responsif dan ia menimbulkan rasa puas hati dapat melenjan SUV ini sebaik mungkin.

Dijanakan enjin 2.5 liter, Koleos mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 170hp pada 6,000rpm dan tujahan tork 226Nm. Dengan kotak gear Continuosly Variable Transmission (CVT) enam kelajuan, Koleos turut dikuasakan dengan pacuan empat roda, membuatkan ia boleh dilenjan secara lasak dan agresif.

Biar pun ia sebuah SUV dengan kerangka kompak, tidak rasa ‘berat’ untuk mengendalikannya. Ia mampu meluncur laju apabila pedal pendikit ditekan untuk memberikan rasa kepuasan yang lebih maksimum. Kuasa pecutannya masih gagah dirasai biar pun sewaktu mendaki bukit atau pun memotong kenderaan lain di jalan raya.

Koleos56

Olengan badan Koleos juga terhad dan agak ringan, boleh dikatakan menyamai kereta saloon tetapi mempunyai aspek keselamatan tambahan pacuan empat roda. Dipadankan dengan MacPherson bagi suspensi hadapan dan digabungkan dengan Independent Multilink bagi bahagian belakang, Koleos memberikan keselesaan pengendalian yang lebih optimum. Malah kurang berasa hentakan terutamanya jika melalui permukaan jalan yang tidak rata. Seakan sistem suspensinya sudah menyerap kesan hentakan yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa ini.

Walau pun dipadankan dengan sistem pacuan empat roda yang lebih rasa cengkaman terutamanya jika melibatkan pemanduan lasak, pemandu juga boleh memilih untuk menggunakan pacuan dua roda untuk lebih ekonomikal.

Bagi tujuan keselamatan, Koleos turut didatangkan dengan enam beg udara, kerusi ISOFIX, ABS, EBD serta Bantuan Brek Kecemasan iaitu sistem penyelarasan tayar depan dan belakang bagi kuasa pacuan empat roda bagi mengesan understeer atau oversteer. Hasil gabungan teknologi moden ini termasuklah dengan rekaan struktur kerangka yang lebih tegap, Koleos ini turut diberikan pengiktirafan lima bintang oleh EURO NCAP.

Spesifikasi :
Enjin : 2.5 liter, empat silinder sebaris, 16-injap
Transmisi : CVT dengan 6-kelajuan, pacuan empat roda
Kuasa maksimum : 170hp@6,000rpm
Tork maksimum : 226Nm@4,400rpm
Harga atas jalan (berserta insurans) : RM229,888

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *