Mitsubishi ASX menyerlahkan jiwa & rasa tersendiri

By  |  1 Comment

DSC_0230b

Mula dibawa masuk ke Malaysia pada November 2010 dengan kedatangan versi CBU dari Jepun, Mitsubishi ASX kemudiannya dipasang di dalam negara (CKD) yang dilancarkan pada hujung Januari lalu. Versi CKD ini telah dipasang di kilang Tan Chong Motors Assemblies Sdn Bhd (TCMA) yang terletak di Segambut, Kuala Lumpur.

Malah untuk versi CKD ini, pihak Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) turut memperkenalkan model 4WD selain mengekalkan varian 2WD. ASX merupakan kenderaan pertama Mitsubishi yang dipasang secara CKD di Malaysia. Ia merupakan strategi MMM untuk memantapkan lagi pasaran mereka di Malaysia.

Setelah hampir enam bulan memperkenalkan versi CKD ini, MMM telah mengundang sekumpulan media permotoran tempatan termasuk Info Kereta untuk memandu uji SUV ini. Walau pun tidak melibatkan jarak perjalanan yang jauh, hanya dari Saujana Subang menuju ke Port Dickson, namun pengalaman memandu uji ASX ini begitu memuaskan.

ASXdrive16

Tidak hanya memilih lebuh raya, malah turut menggunakan jalan kawasan kampung dan pekan-pekan kecil, membuatkan sesi pandu uji ini memberikan keseronokan yang tersendiri.

Bertepatan dengan misinya yang dibangunkan bersama kombinasi praktikaliti dan utiliti bagi sebuah SUV, ternyata ASX ini memiliki keselesaan umpama sedan, Malah ia juga menzahirkan pengendalian yang diyakini sekali gus memberikan keseronokan pemanduan.

ASXdrive37

Itu yang dirasai ketika pertama kali mengendalikan varian 4WD terlebih dahulu, bergilir-gilir memandu dengan dua lagi teman media.

Bagi penulis, pengendalian ASX ini bukan setakat ala kadar tetapi ia mampu menyalurkan ‘jiwa’ yang membantu memberikan keselesaan sewaktu pemanduan. Tidak sukar untuk mengendalikannya kerana terasa ibarat pemanduan sebuah sedan. Bukan itu sahaja, saiznya yang sederhana besar atau pun lebih tepat lagi merupakan SUV kompak, sangat sesuai untuk pemandu bertubuh kecil seperti penulis.

Tiada sebarang perubahan daripada segi mekanikal, ASX versi CKD ini masih mengekalkan ‘jantung’ yang sama iaitu enjin MIVEC 2.0 liter dengan kuasa maksimum 150 PS dan tork 197 NM.

ASXdrive08

Ia memberikan kuasa yang responsif bila mana SUV ini dipacu mengikut kelajuan yang dikehendaki. Malah tidak sukar untuk mendapatkan kelajuan puncak (mengikut pengendalian dan pemanduan) kerana pedal pendikitnya cukup responsif.
Cuma terasa varian 4WD agak sedikit ‘berat’ terutamanya ketika permulaan mahu memecutnya. Namun bila sudah mendapat momentum yang diingini, ia senang meluncur lancar.

Kerjasama antara pedal pendikit, pedal brek, dan roda stereng sangat memainkan peranan penting di dalam pengendalian.

Kedua-dua varian 2WD dan 4WD ini turut dipadankan dengan transmisi yang sama iaitu INVEC-III CVT enam kelajuan dengan Mod Sport. Ketika gear ditukar secara automatik, tidak terasa kesan sentakannya. Malah adakalanya tidak disedari bilakah gearnya ditukar, kerana jentera masih kekal dipacu pada momentum yang sama. Inilah kelebihan teknologi INVECS-III CVT yang bertindak cemerlang dalam menyalurkan daya pecutan tidak kira dalam apa jua tahap kelajuan.

Malah Mod Sport yang ditampilkan juga menambahkan ‘perisa’ di dalam pengendalian ASX ini. Tambahan dengan enam kelajuan, Mod Sport ini menawarkan kawalan ala sport dengan pertukaran gear secara manual, memberikan ‘kelazatan’ dalam pacuan.

Bukan itu sahaja, varian 4WD yang turut ditampilkan dengan pedal penukar gear (paddle shifter) juga sangat seronok digunakan sewaktu menggunakan mod manual. Apatah lagi ketika melayan selekoh-selekoh sewaktu melalui jalan kampung. Terasa keasyikan sepanjang berdampingan dengan ASX ini.

Sewaktu bertukar memandu uji varian 2WD pula, tidak banyak perbezaan yang dirasai. Keselesaan dan keseronokan mengendalikannya masih jitu. Namun jentera terasa sedikit ringan berbanding dengan varian 4WD. Jadi, tidak sukar untuk memulakan momentum yang sedikit laju sehingga mencapai kelajuan yang diingini. Cuma varian 2WD tidak ditampilkan dengan pedal penukar gear, tetapi itu bukanlah masalahnya.

Keselesaan antara rencah ratus utama ASX ini. Biar pun ia sebuah SUV kompak yang bercirikan urban, namun tiada kompromi dalam soal keselesaan. Kesan olengan badannya juga agak minima, ini memberikan keselesaan yang lebih optima termasuk untuk penumpang. Malah ketika melalui permukaan yang kurang rata atau beralun, memang sedikit terasa kesan bumpy tetapi tidak begitu ketara.

Melayan selekoh dengan kelajuan yang sedikit tinggi juga tidak mendatangkan masalah buat SUV ini. Pastinya dengan bantuan sistem suspensi topang MacPherson bersama gegelung spring dan penstabilan pada bahagian hadapan serta Multi-link (juga bersama penstabilan) untuk bahagian belakang banyak memberikan kestabilan buat jentera ini.

Varian 4WD dipadankan dengan rim aloi bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar 215/60, manakala bagi model 2WD pula menggunakan tayar bersaiz 16 inci sahaja.

Bukan setakat sewaktu pemanduan, ketika duduk di dalam jentera ini (termasuk sebagai penumpang), keselesaan cukup dirasai. Malah Mitsubishi sangat mengutamakan tahap keselesaan yang optimum buat pemandu dan penumpangnya.

DSC_0146b

Kerusi balutan kulit menjadi pilihan buat kedua-dua varian 4WD dan 2WD yang mampu memuatkan lima penumpang dalam satu masa ini, tiada perkataan menganaktirikan dalam soal ini.

Bukan itu sahaja, kekemasan pada ruangan kabin juga sangat dititik beratkan. Malah roda stereng dan tombol gear juga dibaluti material kulit yang mampu memberikan kuasa genggaman yang cukup selesa sewakti mengendalikan jentera ini.

Kekemasan segenap ruang juga dapat dilihat melatari ruangan kabin. Malah papan pemukanya juga dihiasai dengan butang kawalan yang tersusun dan mudah dikendalikan. Kedua-dua varian juga ditampilkan dengan skrin sesentuh yang turut berfungsi sebagai sistem hiburan, kamera undur dan juga paparan navigasi GPS.

Untuk aspek keselamatan, kedua-dua varian ini turut didatangkan dengan tiga beg udara, ABS, EBD, Brake Override System dan kamera undur. Namun terdapat elemen tambahan bagi varian 4WD iaitu ia turut disertakan dengan kawalan cengkaman, sistem bantuan mendaki bukit, dan kawalan kestabilan aktif.

Ok…bagaimana pula dengan imej luaran yang ditampilkan untuk model CKD ini?

Tidak banyak perubahan yang ditonjolkan, masih sama seperti model CBU. Lampu utama projektor, cermin sisi dengan infikator signal, pengesan automatik hujan dan lampu serta pengesan parkir untuk bahagian hadapan dan belakang merupakan elemen standard bagi kedua-dua varian.

Namun bagi varian 4WD, gril hadapan krom dengan bahagian bampar tengah yang berwarna hitam dan lampu kabus Chrome Bezel ditampilkan memberikan sedikit kelainan. Berbanding dengan varian 2WD, ia hanya tampil dengan bampar dan lampu kabus standard.

Malah varian 4WD turut ditampilkan dengan bumbung panoramik bagi menambah elemen sporty padanya.

Didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Black Mica, Titanium Grey, Cool Silver dan Solid White, varian 4WD dijual pada harga atas jalan (dilengkapi dengan insurans) RM132,515.30 dan 2WD pula hanya RM118, 015.30. Pembeliannya juga hadir dengan lima tahun jaminan tanpa perbatuan terhad dan tambahan dua tahun servis percuma.

Spesifikasi :
Enjin : 2.0 liter 16-injap 4-silinder sebaris DOHC MIVEC
Kuasa maksimum : 150 PS @ 6,000 rpm
Tork maksimum : 197 Nm @ 4,200 rpm
Transmisi : INVEC-III CVT dengan enam kelajuan + Mod Sport
Kelajuan maksimum : 190 km/j
Jejari pusingan : 5.3 meter
Kapasiti tangki bahan api : 60 liter (4WD) / 63 liter (2WD)

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *