Lexus LX 570 baharu sudah berada di pasaran Malaysia

By  |  0 Comments

LX1604

Model terakhir yang diperkenalkan bagi pasaran Malaysia untuk tahun ini, Lexus LX 570, telah pun dilancarkan semalam.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, LX 570 ini telah pun ditampilkan dengan beberapa elemen tambahan dan yang telah diberi penambah baikan. Ini termasuklah bahagian luarannya yang direka semula bagi memberikan gambaran yang lebih ‘berkuasa’, serba mewah dan sofistikated.

Bahagian gril hadapannya lebih menawan dengan kekemasan krom sutera yang memberikan imej lebih agresif buat SUV ini. Malah padanan LED pada lampu utama dan lampu belakang turut menyerlahkan gayanya.

Bahagian bampar belakang turut direka semula memberikan penampilan yang lebih macho. Manakala bahagian sisi pula kelihatan lebih tajam berlekuk bagi menampilkan ciri-ciri aerodinamik.

Ia turut dipadankan dengan roda bersaiz 21-inci yang membaluti tayar 275/50.

Dengan ukuran 5,080 mm panjang, 1,980 mm lebar, dan 1,865 mm tinggi serta 2,850 mm jarak roda, SUV lapan-tempat duduk ini seberat 2,510 kg.

LX3101

Tidak melupakan penambahan baikan pada bahagian kabin, LX 570 ini turut ditampilkan dengan sistem multimedia yang disambungkan bersama paparan bersaiz 12.3-inci, Head-Up Display dan paparan TFT berwarna 4.2-inci (yang terletak di antara speedometer dan takometer).

Ia juga ditampilkan dengan roda stereng tiga-jejeari baharu dengan kekemasan kayuan serta tombol gear balutan kulit. Malah tempat duduk pemandu juga memiliki 12 cara pelarasan automatik, manakala 10 cara untuk penumpang hadapan.

Malah Lexus turut memberikan lebih keselesaan dan kemudahan buat model SUV ini. Antaranya dengan adanya Panel Kawalan Perehat Tangan pada barisan tempat duduk kedua yang membolehkan penumpang mengawal sendiri suhu tempat duduk dan sistem penghawa dingin automatik.

Elemen lain yang turut melengkapi SUV ini ialah jam analog, pad pengecas tanpa wayar bagi telefon bimbit pintar, dan sistem bunyi Mark Levinson dengan 19 pembesar suara.

LX 570 dijanakan oleh enjin 3UR-FE berkapasiti 5.7 liter V8 Dual VVT-i, yang merupakan enjin yang paling terbesar dalam barisan model Lexus.

Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Gabungan enjin berkuasa dan transmisi ini mampu memberikan sehingga 362 hp dan tork puncak 530 Nm, membolehkan SUV ini dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 7.7 saat.

Elemen baharu yang turut ditampilkan pada penjana kuasa ini ialah Integrated Drive Mode yang membantu menguruskan bahagian berkenaan, chasis dan penghawa dingin untuk mengoptimakan lagi prestasi dalam pelbagai keadaan.

LX 570 juga menggunakan pacuan empat-roda di mana sistem ini juga menggunakan TORSEN limited-slip locking centre differential untuk mengedarkan kuasa pada nisbah 40:60 iaitu roda hadapan ke belakang, serta menyalurkan lebih banyak kuasa pada roda terutamanya ketika merentasi jalan yang licin.

LX0601

Malah bagi pemanduan off-road, Lexus turut menampilkan solusi teknologi yang boleh mempertingkatkan lagi keselamatan pemanduan iaitu menerusi Multi-Terrain Monitor. Di mana ia memantau sistem sokongan pemanduan apabila kenderaan bergerak dalam kelajuan yang rendah serta boleh dijadikan sebagai parameter pemanduan bagi meningkatkan keselamatan.

Selain itu, ia juga boleh membantu kenderaan daripada terlanggar lubang atau pun timbunan batu besar.

Malah ia juga ditampilkan dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) iaitu sistem yang akan memberitahu pemandu ada kenderaan lain d belakang dengan menyalakang indikator pada cermin sisi.

RCTA turut bekerjasama dengan sistem Pemantauan Titik Buta (BSM) yang bertindak sebagai pengesan seandainya ada objek dari bahagian belakang sewaktu sedang mengundurkan kenderaan.

Lexus LX 570 ini dijual pada harga atas jalan RM923,960 tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu). Malah Lexus Malaysia turut menawarkan pakej Servis Penyelenggaraan Berkala Percuma selama lima tahun atau 100,000 km.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *