Nissan X-Trail baharu lebih premium & inovatif – Varian 2.5L 4WD & 2.0L 2WD harga RM143k-RM166k

By  |  0 Comments

Xtrail

Akhirnya Nissan X-Trail serba baharu telah pun selamat dilancarkan pagi ini di pusat pameran Nissan yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

Sejak pendaftaran pra-tempahan dibuka di Malaysia pada Disember lalu, Nissan X-Trail serba baharu telah menerima lebih 1,300 tempahan sehingga kini.

Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng dalam ucapannya ketika majlis pelancaran Nissan X-Trail serba baharu berkata, “Kami berasa sangat berbesar hati kerana dapat memperkenalkan Nissan X-Trail serba baharu kepada rakyat Malaysia. Ia direka semula sepenuhnya menggabungkan warisan 4×4 Nissan dengan idea-idea baharu, gayaan premium dan teknologi perintis. Sekali gus menjadikannya antara crossover paling canggih yang dilengkapi kemampuan off-road.”

XTrail24_Ext_03

Model crossover premium inovatif ini menawarkan dua varian iaitu 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD. Varian tertinggi, 2.5L 4WD dikuasakan oleh unit enjin QR25DE-k2 dengan CVTC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 171 PS pada 6,000 rpm dan tork setinggi 233Nm pada 4,000 rpm.

Manakala varian 2.0L 2WD pula dijana oleh enjin MR20DD bersama sistem pancitan terus bahan api dan Twin CVTC. Ia mampu menjana kuasa mencecah 144PS pada 6,000 rpm dan tork setinggi 200 Nm pada 4,400 rpm.

XTrail24_Ext_31

Kedua-dua varian ini turut dipadankan kotak gear Xtronic CVT generasi baharu dengan mod manual tujuh-kelajuan serta sistem ECO Mode untuk menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik, selain prestasi pemanduan lebih lancar dan berkuasa.

Malah varian 2.5L juga dilengkapi dengan sistem ALL MODE INTELLIGENT 4×4 (4×4-i) yang menawarkan pilihan di antara pacuan dua roda, Auto Mode atau Lock Mode untuk pacuan empat roda sepanjang masa.

Selain itu, X-Trail baharu ini juga dilengkapi dengan teknologi kawalan chasis termaju yang pertama seumpamanya di dunia, demi menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar dan menyeronokkan.

Sistem Active Ride Control berfungsi mengurangkan rasa bergegar yang dialami oleh para pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek demi meningkatkan keselesaan.

Manakala sistem Active Engine Brake pula mengubah suai jumlah tekanan brek enjin bagi membantu pemandu mengurangkan kelajuan ketika hendak mengambil selekoh atau berhenti.

Selain itu, sistem Active Trace Control iaitu yang pertama pada kenderaan Nissan, akan mengenakan sedikit kuasa brek kepada tayar-tayar tertentu secara automatik untuk mengurangkan masalah understeer, selain membantu pemandu mengawal kenderaan ketika melalui selekoh.

Varian 2.5L dilengkapi dengan ALL MODE INTELLIGENT 4×4 System (4×4-i) untuk mod memandu yang berbeza berdasarkan keadaan jalan raya. Ia menawarkan tiga mod iaitu pacuan dua roda, Auto Mode yang menukar pengedaran tork antara roda depan dan belakang secara automotik semasa memandu di jalan yang berturap atau licin, dan Lock Mode untuk pemanduan pacuan empat roda sepanjang masa.

Ciri yang didatangkan pada kedua-dua varian, Bantuan Mula Mendaki pula membolehkan para pemandu menukar brek kepada pendikit secara mudah untuk memulakan perjalanan yang lebih selamat di curam bukit.

Tambahan pula, Kawalan Menuruni Bukit yang terdapat di varian 2.5L 4WD, dapat mengawal kelajuan kenderaan (di antara 4km/j -15km/j) ketika menuruni laluan berbukit yang curam atau licin tanpa perlu menekan brek. Ini sekali gus membolehkan pemandu fokus untuk mengawal stereng kenderaan.

Ciri-ciri lain yang memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada pelanggan ialah tempat duduk ‘Sifar Graviti’ yang membantu mengurangkan kepenatan serta sistem yang memudahkan urusan memarkir kenderaan iaitu 360° Around View Monitor, pertama dalam kelasnya.

Selain sudut mekanikal, Nissan turut menampilkan pelbagai elemen menarik bagi imej luaran dan kabin X-Trail baharu ini.

Dengan reka bentuk kemas dan penuh gaya yang memastikan kehadirannya mampu menarik perhatian sesiapa sahaja, Nissan X-Trail serba baharu nyata mengambil sejumlah rekaan signatur Nissan. Misalnya, lampu nyalaan siang LED berbentuk Boomerang, gril Nissan berbentuk V yang tersendiri dan kombinasi lampu belakang yang standard pada kedua-dua varian.

Keistimewaan varian 2.5L 4WD ialah lampu utama LED yang pertama dalam kelasnya dengan fungsi Auto serta lampu isyarat membelok LED. Roof Rails dan rim aloi bersaiz 17 inci pula memberikan Nissan X-Trail serba baharu penampilan yang menarik dan mengagumkan.

Ruang dalaman juga telah diperhalusi buatannya. Ia diserlahkan menerusi material berkualiti tinggi yang lembut apabila dipegang pada panel instrumen, pintu hadapan dan perehat tangan di konsol tengah. Sentuhan berwarna perak, kemasan krom, metalik geometrik serta premium piano black nyata mencetuskan ambien dalaman yang moden dan elegan.

Konfigurasi tempat duduk 5+2 sememangnya menawarkan keluasan kabin yang luar biasa, terutamanya apabila tempat duduk tambahan diperlukan untuk kanak-kanak. Kapasiti kargonya juga mengagumkan iaitu 1,520 liter (apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata) dan 550 liter (jika tempat duduk baris ketiga dilipat sepenuhnya).

Ciri-ciri lain yang berfungsi menawarkan pelanggan lebih keselesaan dan keselamatan ialah tempat duduk berinspirasikan sifar graviti (Zero-Gravity Inspired’ Seats) yang membantu mengurangkan keletihan dan Paparan Bantuan Pemanduan Termaju (Advanced Drive Assist Display, ADAD) bersaiz lima inci yang terbaik dalam kelasnya untuk memberi kemudahan ketika memandu.

Sementara ciri 360° Around View Monitor yang pertama dalam kelasnya berfungsi memudahkan urusan memarkir kenderaan.

Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian ini dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, BA, Kawalan Dinamik Kenderaan, Bantuan Mula Mendaki, Isofix dan Kawalan Chasis Aktif. Walau bagaimana pun varian 2.5 4WD memiliki pertambahan elemen keselamatan iaitu Kawalan Turun Bukit.

X-Trail baharu ini adalah unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Tan Chong Motor Assemblies, Serendah, Selangor. Ia turut menawarkan lima warna iaitu Tungsten Silver, Titanium Olive, Diamond Black, Graphite Blue dan Brilliant White.

X-Trail serba baharu ditawarkan pada harga RM165,800 untuk varian 2.5L 4WD dan RM142,800 bagi varian 2.0L 2WD (harga di atas jalan termasuk insurans di Semenanjung Malaysia).

Sempena pelancaran Nissan X-Trail serba baharu, ETCM menawarkan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu). Ia turut hadir dengan servis penyelenggaraan percuma selama tiga tahun untuk setiap pembeliannya.

Nissan X-Trail 2.0L 2WD

Nissan X-Trail 2.5L 4WD

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *