Suzuki S-Cross tampil bergaya, versatil & praktikal – Harga bermula RM129,888

By  |  0 Comments

SUZUKI S-CROSS

Lintas langsung dari ALOFT, Bangsar!

Suzuki S-Cross telah pun bersedia menerjah pasaran tempatan setelah dilancarkan oleh Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd sebentar tadi. Ia menampilkan keunikan tersendiri bagi teknologi, keselamatan, ruang dan versatiliti, secara tidak langsung memberikan cabaran buat model pesaingnya di bawah segmen-C.

Mempertaruhkan imej yang rugged dan moden, Suzuki S-CROSS tampil dengan struktur fizikal yang penuh maskulin dan mementingkan ciri-ciri aerodinamik, selain dipadankan dengan casis yang lebih tegar dan material yang lebih ringan. Dengan karakteristik ini membantu meningkatkan lagi prestasi, kestabilan dan penjimatan bahan api bagi S-Cross ini.

SCross_Ext_04

S-Cross dijanakan oleh enjin 1.6 liter M16A empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 117 hp pada 6,000 rpm dan tork 156 Nm pada 4,400 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi CVT yang mendorong pacuan tayar hadapan bagi sistem 2WD S-Cross.

Model ini mampu dipacu daripada 0-100 km/j dengan hanya 11.0 saat. Malah ia juga telah diuji dan mampu dipacu daripada 40-80 km/j dengan hanya 5.3 saat dan 80-120 km/j pula 9.2 saat, lebih baik berbanding dengan model crossover di bawah segmen yang sama. Ia disebabkan skala berat bagi S-Cross hanya kurang daripada 1,185kg.

SCross_Ext_06

Suzuki turut mengatakan gabungan kecekapan teknologi menjadikan model C-Cross ini antara kenderaan yang mampu memberikan penjimatan bahan api terbaik di dalam kelasnya, iaitu 17.2 km bagi setiap liter yang telah diuji mengikut piawaian UNECE R101 New European Driving Cycle (NEDC Cycle).

S-Cross ditampilkan dengan beberapa elemen yang membantunya memberikan imej yang lebih bergaya, termasuklah dengan kehadiran roof rail, cermin sisi aerodinamik, rim aloi bersaiz 17 inci, lampu utama HID automatik dengan lampu pencahayaan siang LED, lampu kabus dan bilah pengilap cermin dengan pengesan hujan auto serta kecerahan.

Menerjah bahagian kabinnya, kelihatan paparan pelbagai-maklumat, kawalan kelajuan dengan pengehad kelajuan, pedal penukar gear untuk memberikan kawalan transmisi yang lebih baik, zon berkembar penghawa dingin, skrin bersaiz tujuh-inci untuk paparan sistem navigasi dan kamera undur, sistem kemasukan kunci dengan butang penghidup enjin, tempat duduk upholstery fabrik dengan kekemasan jahitan berwarna kelabu, tempat duduk belakang yang boleh dilaraskan dengan dua cara dan bumbung matahari panoramik dengan fungsi double-sliding.

Pastinya ruang yang luas, praktikal dan keselesaan menjadi antara tunggak utama model ini, bila mana S-Cross ditawarkan dengan elemen yang diperlukan termasuk memiliki ruang kepala dan ruang kaki yang selesa serta ruang kargo yang mampu menempatkan kapasiti sehingga 430 liter. Malah ia juga boleh menjadi lebih luas jika tempat duduk belakang dilipat, menambahkan kapasiti secara maksimum sehingga 1,269 liter.

Aspek keselamatan turut menjadi keutamaan di mana S-Cross telah dilengkapi dengan tujuh beg udara, Program Kestabilan Elektronik (ESP), ABS, EBD, BA dan Hill-hold Control. Malah ia juga mengadaptasikan kerangka TECT (Total Effectiveness Control Technology) iaitu teknologi yang dihasilkan oleh Suzuki sendiri bagi memberikan keselamatan yang lebih optimum buat penumpang, termasuk juga pejalan kaki.

“Dengan elemen dan teknologi yang ditampilkan ini, S-Cross dilihat memiliki potensi yang tersendiri dan tampil sebagai sebuah SUV yang praktikal dan tahan lama. Malah S-Cross juga bukan sahaja bertindak sebagai sebuah kenderaan, malahan turut melengkapi gaya hidup seperti mana yang Suzuki perjuangkan iaitu ‘Way of Life!'”, ujar Keiici Suzuki selaku Pengarah Urusan SMA.

SCross_Ext_02

Memiliki empat pilihan warna iaitu Crystal Lime Metallic, Amethyst Gray Pearl Metallic, Cool White Pearl dan Boost Blue Pearl Metallic, Suzuki S-CROSS ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans) bermula RM129,888 bagi Semenanjung Malaysia dan RM133,888 di Sabah serta Sarawak pula RM134,888.

Bagi setiap pembelian S-Cross, SMA turut menawarkan Program Waranti Lanjutan selama lima tahun atau 150,000km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan juga pakej Bantuan Suzuki yang menawarkan bantuan 24 jam di jalan raya, servis bantuan di rumah dan kelulusan tuntutan dalam tempoh yang pantas.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *