Isuzu terus menyokong Borneo Safari buat tahun ke-8

By  |  0 Comments

BS2

Buat tahun ke-lapan, Isuzu Malaysia meneruskan sokongannya ke atas penganjuran Borneo Safari 2014, sekali gus tampil sebagai penaja kepada cabaran 4×4 paling sukar di Asia.

Untuk acara pada tahun ini, Isuzu mengekalkan posisi premiumnya selaku Diamond Sponsor dan bekerjasama dengan Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA) dalam usaha meningkatkan profail acara tahunan yang sudah masuk edisi ke-24 itu sejak ia mula diperkenalkan.

Ketika menyampaikan penajaan, Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida menyatakan kegembiraannya kerana dapat melibatkan diri dalam acara yang berprestij dan dinamik seperti Borneo Safari.

“Acara ini telah menjadi sokongan kepada peminat pemanduan off-road di peringkat serantau dan global. Kami sangat berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada acara hebat ini yang mencabar manusia dan mesin hingga ke hadnya. Untuk menguasai cabaran seperti ini, ia benar-benar memerlukan hanya yang terbaik,” kata Ishida.

Isuzu Malaysia sekali lagi akan menyediakan kenderaan rasmi untuk media, sebagaimana yang dilaksanakannya sejak lapan tahun lalu. Ia akan membawa rakan-rakan media menempuh laluan sukar di dalam trak pikap Isuzu D-MAX yang selesa, tahan lasak dan selamat.

Untuk acara ini, Isuzu Malaysia akan menyediakan sebuah Isuzu D-MAX V-Cross 3.0 baharu yang menawarkan prestasi dan cengkaman luar biasa untuk meneroka apa jua laluan serta kondisi pemanduan.

DMax63-650x433

V-Cross 3.0 juga akan menerima modifikasi minimum dengan hanya beberapa komponen tambahan untuk berdepan dengan keadaan sukar yang sering dialami di dalam hutan Borneo. Ini termasuklah snorkel udara, tayar off-road, pemijak sisi tahan lasak dan winch.

Walaupun dengan sedikit penambahan, Isuzu D-MAX tetap mampu mengikuti kenderaan lain yang menyertai konvoi tersebut dengan cemerlang sepanjang lapan hari acara berlangsung.

Ketika menerima penajaan bagi pihak para penganjur, Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez Nordin menyatakan penghargaan atas sokongan yang telah diberikan oleh Isuzu terhadap acara Borneo Safari selama ini.

“Jawatankuasa penganjuran dan para peserta amat berterima kasih kepada penaja seperti Isuzu Malaysia yang mengiktirafkan usaha serta dedikasi pasukan yang telah bekerja keras selama ini untuk menjayakan acara pacuan empat roda paling mengagumkan di rantau ini,” kata Faez.

Borneo Safari kali ke-24 merupakan acara berlangsung selama lapan hari dan bermula di Kota Kinabalu pada 26 Oktober 2014. Acara pada tahun ini akan membawa para peserta menempuh laluan mencabar di pusat Sabah. Ini termasuklah satu perhentian di kawasan tanah tinggi yang amat mencabar iaitu di Pusat Pemuliharaan Imbak Canyon.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *