Proton Persona Executive menambahkan variasi model bajet sederhana

By  |  0 Comments

PersonaExecutive1

Sebuah lagi model kenderaan yang muncul secara tiba-tiba di dalam laman web rasminya, tanpa sebarang perkhabaran. Proton Persona Executive yang kini sedang dipromosikan di laman web Proton merupakan model yang menampilkan spesifikasi lebih berbanding dengan model asas Super Value (SV). Malah boleh dikatakan Persona Executive ini merupakan pengganti bagi varian spesifikasi tinggi yang tidak lagi disambung selepas kemunculan Persona SV.

Didatangkan dengan dua varian iaitu Executive manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan.

Tampil dengan kit badan, lampu kabus hadapan dan spoiler pada bahagian belakang membuatkan penampilan Persona Executive ini lebih elegan.

PersonaExecutive5

Manakala bahagian ruang dalamannya juga telah ‘dikembalikan’ balutan kulit untuk roda stereng, tombol gear dan kekemasan pada pintu. Bagi tempat duduknya pula, ia hanya dibaluti dengan fabrik dua tona. Elemen lain yang turut ditampilkan pada bahagian dalaman seperti sistem audio dengan dua pembesar suara, dan menariknya ia juga didatangkan dengan wifi YES 4G.

PersonaExecutive8

Secara mekanikalnya, varian Executive ini sama seperti model SV iaitu menggunakan enjin 1.6 liter Campro IAFM empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa 110 hp pada 6,500 rpm dan tork 148 Nm pada 4,000 rpm. Model ini mampu mencatat kelajuan maksimum sehingga 190km/j bagi varian manual dan 185km/j bagi auto.

Ia juga masih mengekalkan sistem suspensi yang sama iaitu topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan Multi-link bagi belakang serta tampil dengan cakera brek bagi keempat-empat tayarnya.

PersonaExecutive2

Malah sistem keselamatan juga tidak mengalami sebarang perubahan, masih dilengkapi dengan dua beg udara di bahagian hadapan, ABS, EBD dan tali pinggang keledar pra-regangan untuk tempat duduk bahagian hadapan.

Warna yang ditawarkan bagi model ini ialah Chiffon Green, Tranquility Black, Bronze Garnet, Genetic Silver, Solid White, Fire Red dan Elegant Brown.

Proton Persona Executive dijual pada harga RM49,938 (solid) dan RM50,388 (metalik) bagi varian manual. Manakala untuk varian automatik pula berharga RM52,938 (solid) dan RM53,388 (metalik). Setiap pembelian Persona Executive ini turut didatangkan dengan waranti selama dua tahun dan waranti 50,000 km dari kilang pembuatan.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *