Nissan Sylphy serba baharu lebih dinamik

By  |  0 Comments

New_Nissan_Sylphy_1.8_Malaysia_007

Dua tahun yang lalu, ketika Nissan Sylphy versi 2012 dilancarkan, penulis diberi kesempatan untuk memandu ujinya. Sebelum itu, ramai rakan mengatakan Sylphy yang mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada tahun 2008 hanya sesuai untuk “orang yang sudah berkeluarga” atau “lebih sesuai untuk mereka yang berumur 40 tahun ke atas”.

Tersenyum penulis mendengar pelbagai komen mereka. Persepsi ini mungkin timbul disebabkan imej yang ditonjolkan model yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Nissan Bluebird Sylphy tampak ‘veteran’. Dan ia seakan kurang sesuai untuk golongan muda.

Namun selepas memandu uji model Sylphy 2012 yang hadir dengan enjin 2.0 liter empat silinder DOHC 16 injap bersama teknologi Drive-by-Wire ternyata tampil dengan prestasi yang memuaskan. Ia cepat akrab dengan cara pemanduan dan pengendalian.

Tetapi kali ini lebih menarik lagi apabila Info Kereta diberikan peluang secara eksklusif untuk memandu uji model terbaharu Sylphy yang belum dilancarkan.

New_Nissan_Sylphy_1.8_Malaysia_001

Jika sebelum ini, Sylphy tampil dengan enjin 2.0 liter, namun untuk model terbaharu ini, ia didatangkan dengan enjin 1.8 liter. Dan untuk pasaran Malaysia, ETCM membawa masuk dua varian iaitu 1.8E dan 1.8VL yang dijangka bakal dilancarkan pada penghujung April ini.

Sebelum memasuki bahagian kokpitnya, penulis ralit memerhatikan luaran Sylphy ini. Ternyata ia mengalami banyak perubahan yang agak ketara. Malah ia juga kelihatan ‘lebih muda’, dinamik dan segar berbanding dengan model terdahulu.

Bahagian hadapannya lebih tirus dan diperkemaskan lagi. Tampil dengan jeriji tiga-dimensi yang banyak membantu menaikkan lagi imej luaran Sylphy baharu ini. Bagi varian 1.8E, ia tampil dengan lampu utama halogen dengan pelarasan secara manual. Manakala varian dengan spesifikasi tertinggi, 1.8VL pula digandingkan dengan lampu utama Xenon projektor yang boleh dilaraskan secara automatik. Malah varian 1.8VL turut dilengkapi dengan lampu LED Accent dan lampu kabus.

New_Nissan_Sylphy_1.8_VL_016

Bagi cermin sisi pula, untuk varian 1.8E hanya boleh dilipat secara manual. Untungnya varian 1.8VL apabila cermin sisinya boleh dilipat secara automatik. Kedua-duanya juga dilengkapi dengan lampu berhenti dan tambahan buat 1.8VL apabila ia terletak pada spoiler belakang. Sedangkan 1.8E tampil tanpa spoiler.

Manakala bampar belakang bersifat horizontal dengan kehadiran lampu belakang LED berbentuk seperti ‘tapak kuda’. Varian 1.8E dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16 inci, manakala 1.8VL pula 17 inci. Kedua-duanya tampil dengan rekaan rim aloi yang sporty, membantu menyerlahkan lagi imej luaran Sylphy baharu ini.

New_Nissan_Sylphy_1.8_E_012

Mengikut ETCM, bagi Sylphy serba baharu ini, ia ‘kaya’ dengan penggunaan lampu LED terutamanya untuk varian 1.8VL. Di mana jika dikira, ia merangkumi sebanyak 50 lampu LED terdapat pada bahagian hadapan hingga ke belakang model baharu ini.

Rekaan bersifat aerodinamik telah diperkukuhkan untuk mengurangkan getaran dan bunyi bising akibat seretan di atas permukaan jalan raya dengan mengoptimumkan kerangka dan memberikan tempat duduk penumpang belakang yang lebih besar.

Sedan baharu ini berukuran 4,615mm panjang, 1,760mm lebar, 1,495mm tinggi dan jarak roda 2,700mm memberikan lebihan ruang dalamannya.

New_Nissan_Sylphy_1.8_VL_004

Cukup memerhatikan imej luarannya. Masuk pula ke bahagian kabin Sylphy baharu ini. Nampaknya Nissan memang memberikan sentuhan besar-besaran buat sedan baharu ini. Bukan setakat luaran, malahan bahagian dalamannya juga menerima suntikan yang lebih segar.

Rekaan dalamannya menampilkan ruang yang cukup optima dan pastinya memberikan keselesaan yang jitu buat pemandu serta penumpangnya. Dengan keluasan sehingga 680mm bagi ruang kaki pada bahagian tenpat duduk belakang, penulis merasai keselesaan yang sangat memuaskan.

New_Nissan_Sylphy_1.8_VL_046

Papan pemuka juga agak ringkas tanpa diserabuti dengan alat kawalan yang fancy. Panel meter juga standard dan semua butang kawalan juga mudah untuk dikendalikan.

Tempat duduk balutan fabrik menjadi pilihan bagi varian 1.8E. Manakala material kulit pula membaluti tempat duduk bagi varian 1.8VL. Walau bagaimana pun, kedua-duanya memberikan keselesaan.

Kekemasan panel instrumen juga berlainan antara dua varian berkenaan iaitu 1.8E memilih Bright Silver dan 1.8VL pula dengan Silver Sports.

New_Nissan_Sylphy_1.8_VL_047

Kedua-dua varian tampil dengan stereng berkuasa elektrik kelajuan sensitif dengan pelarasan teleskopik dan kecondongan. Roda stereng varian 1.8E dibaluti dengan material urethane bersama kekemasan perak. Manakala roda stereng 1.8VL dibaluti material kulit juga dengan kekemasan perak. Pada roda stereng kedua-dua varian ini turut menampilkan butang kawalan untuk Bluetooth, audio, kawalan kelajuan (cruise control) dan paparan pelbagai-fungsi.

Bagi sistem infotaimen, kedua-dua varian turut disertakan dengan enam pembesar suara. Kedua-dua varian tampil dengan sistem audio yang dilengkapi radio AM-FM, CD dan sambungan Bluetooth serta AUX. Namun pertambahan bagi varian 1.8VL yang dengan skrin paparan bersaiz 4.3 inci yang turut berfungsi sebagai monitor kamera undur.

Sylphy baharu ini juga tampil dengan ruang kargo berkapasiti 510 liter (dibandingkan dengan model terdahulu hanya 504 liter)dan boleh dikatakan agak luas serta memuaskan. Jadi bagi yang berkeluarga, jangan risau dengan kapasiti penyimpanan barang. Kalau anda mahu membeli belah, barangan satu troli penuh juga mampu memberikan lebihan kapasiti di dalam but ini.

Pada pendapat penulis, dengan penampilan serba segar pada Sylphy baharu ini, pastinya mampu menambat golongan muda berusia 25 tahun ke atas untuk memilikinya. Ternyata Nissan berjaya ‘mengolah’ standard yang diperlukan dengan cita rasa masa kini.

Ops! Tidak lengkap dengan itu…bagaimana pula dengan prestasi dan pengendalian Sylphy baharu ini?

Dengan enjin baharu yang lebih ringan iaitu 1.8 liter MRA8DE membolehkan Sylphy ini memberikan kuasa 131 PS pada tahap 6,000 rpm dan tork 174 Nm pada 3,600 rpm. Walau pun Nissan mengambil keputusan untuk ‘menurunkan’ kapasiti enjinnya untuk varian yang dibawa masuk ke Malaysia, namun tidak bermakna ia kurang berprestasi.

New_Nissan_Sylphy_1.8_VL_039

Dengan padanan sistem transmisi baharu Xtronic CVT, pertukaran gear juga agak lancar. Seperti mana model sebelumnya, Sylphy turut tampil dengan mod Sport yang memberikan lebihan kuasa pacuan dan menyerlahkan keseronokan pemanduan.

Selepas 10 minit pertama mengendalikan Sylphy dari Petaling Jaya menuju ke Bandar DiRaja Klang melalui Lebuh Raya NKVE, kaki penulis mula ‘gatal’ hendak menekan pedal minyak lebih ekstra. Ternyata enjin yang ditampilkan oleh Sylphy ini mampu memberikan penjanaan kuasa yang buat penulis berpuas hati.

Manakan tidak, sedan yang memang cukup sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ini tetap ada kuasa yang dijanakan oleh enjin yang terbukti bagus walau pun bukan untuk pemanduan agresif.

Walau pun dipandu laju, namun jentera ini masih stabil. Pemilihan sistem sistem suspensi Independent McPherson Strut dengan bar penstabil di hadapan dan Torsion Beam Type di belakang membantu kestabilan Sylphy ini. Malah kesan olengan badan sedan ini agak minimum. Apabila melalui permukaan jalan yang kurang rata atau jalan berselekoh, tidak begitu terasa bumpy.

New_Nissan_Sylphy_1.8_Malaysia_005

Penulis juga sempat memandu uji Sylphy di laluan berliku dan berselekoh di Pelabuhan Klang. Biarpun melibatkan pemanduan yang sedikit agresif, ternyata pengendalian jentera ini berada di tahap yang begitu memuaskan. Walau pun tidak begitu laju ketika melalui selekoh kerana bimbang kebarangkalian berlakunya understeer atau oversteer, namun penulis dapat merasakan sedan ini masih stabil dan mantap.

Kawalan stereng berkuasa elektrik, pedal minyak dan pedal brek memang bekerjasama dengan erat dan bertugas dengan baik ketika diperlukan. Sistem brek yang cukup responsif dengan menggabungkan tiga ciri keselamatan iaitu ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA) memberikan kuasa cengkaman brek yang jitu. Ia memberikan pertambahan markah daripada penulis buat jentera ini.

Satu lagi pertambahan markah buat jentera ini ialah stereng berkuasa elektrik yang begitu mudah dikendalikan terutamanya ketika hendak memarkir kenderaan atau melakukan pusingan U dengan jejari pusingannya berjarak 5.35m. Malah pengendaliannya juga lancar dan cukup responsif.

New_Nissan_Sylphy_1.8_E_001

Mengenai bahan api pula, tangki penuh bagi Sylphy ialah 52 liter. Bagi penulis, sedan ini memang memberikan penjimatan bahan api yang memuaskan.

Nissan juga tidak berkompromi apabila menyentuh soal keselamatan. Buktinya Sylphy baharu ini turut dilengkapi dengan enam beg udara SRS (berbanding hanya dua pada model sebelum ini), ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (Traction Control System) dan tali pinggang keselamatan pra-regangan.

Kesimpulannya, Nissan Sylphy baharu ini memang seronok dikendalikan, mampu memberikan pengalaman pemanduan yang memuaskan serta memiliki gaya yang lebih menawan. Pendek kata, jika anda meletakkan Sylphy ini di dalam senarai kenderaan (pastinya sedan) yang wajar dijadikan pilihan, ia memang cukup berbaloi.

Nissan Sylphy baharu ini sudah pun bersedia untuk ditempah. Ia ditawarkan pada harga RM115,300 untuk varian 1.8E dan RM125,500 bagi 1.8VL. Kunjungi mana-mana bilik pameran Nissan berhampiran untuk melihat lebih dekat sedan baharu ini.

Spesifikasi :
Enjin :1.8 liter MRA8DE 4-silinder sebaris, DOHC dengan CVTC berkembar, 16 injap
Transmisi : XTRONIC CVT
Kuasa maksimum : 131 PS @ 6,000 rpm
Tork maksimum : 174 Nm @ 3,600 rpm
Sistem suspensi : MacPherson Strut dengan bar penstabil (hadapan) & Torsion Beam dengan bar penstabil (belakang)
Sistem brek : Ventilated Disc Brakes (hadapan) & Disc Brakes (belakang)
Kapasiti tangki bahan api : 52 liter


Nissan Sylphy 1.8 VL
Nissan Sylphy 1.8 E

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *