VW Polo 1.6 hatchback versi CKD tidak kurang hebat

By  |  0 Comments

PoloCKD37

Mungkin ada segelintir di antara kita agak skeptikal dengan menganggap model jenama luar yang dipasang di dalam negara (unit pemasangan tempatan atau CKD) memiliki kualiti yang jauh lebih rendah berbanding dengan unit CBU yang diimport masuk ke sini.

Ironinya, ia tidak memiliki banyak perbezaan yang ketara. Cuma untuk unit CKD mensyaratkan minimum 40 peratus komponen tempatan digunakan di dalam pemasangan model tersebut.

Volkswagen (VW) antara jenama yang mempercayai kualiti pemasangan tempatan. Kini, untuk pasaran Malaysia, VW sudah pun memproduksikan tiga model CKD iaitu Passat, Polo sedan dan Polo 1.6 hatchback.

PoloCKD48

Polo 1.6 hatchback yang baru saja hadir di pasaran Malaysia pada penghujung Januari lalu dilengkapi dengan pakej komprehensif dengan harga yang berpatutan. Malah Volkswagen Group Malaysia (VGM) menegaskan bahawa biar pun ia sebuah model CKD, namun tidak mengetepikan elemen yang penting termasuklah mengenai aspek keselamatan, keselesaan dan kualiti.

Walau bagaimana pun, perlu diketahui bahawa teknologi yang diterapkan pada model ini bukanlah daripada teknologi terkini seperti mana model-model VW yang lain. Ia boleh diibaratkan sebagai model asas dan kerana itulah harganya jauh lebih rendah berbanding dengan model seangkatannya yang diimport terus dari luar negara.

Ingin tahu apakah model ini mampu mengundang rasa puas hati, maka InfoKereta turut tidak melepaskan peluang untuk memandu ujinya.

PoloCKD18

Walau pun tidak dipadankan dengan enjin berteknologi TSI yang lebih baharu namun kuasa yang dihamburkan oleh Polo 1.6 bersama teknologi Multi Point Injection (MPI) tidak menghampakan. Walau pun ia tidaklah sehebat atau sekencang teknologi TSI, namun ia masih memberikan pengharapan untuk Polo 1.6 yang dipacu oleh teknologi MPI ini agar bekerjasama menyalurkan respons yang diingini oleh pemandu.

Namun bagi penulis, kuasa yang dihamburkan berada pada tahap sederhana. Biar pun ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 105 PS pada 5,250 rpm dan puncak tork 153 Nm pada 3,800 rpm, jentera ini boleh dipacu dengan kelajuan maksimum sehingga mencecah 184km/h.

PoloCKD56

Namun sedikit mengusarkan apabila melalui jalan berbukit, ia agak sedikit kurang berkuasa. Di mana kerahan enjinnya perlu dilakukan dengan memijak lebih pedal pendikit. Malah jika tiba-tiba mahu memandu laju daripada kelajuan yang rendah atau sederhana, enjinnya juga perlu dikerah dan sedikit lambat memberikan respons melainkan pedal pendikit ditekan sehabis mungkin.

Apabila sudah mendapat kelajuan yang diingini, enjin menyalurkan tindakan yang cukup memuaskan.

Berkenaan dengan transmisi pula, Polo 1.6 ini hanya dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan bersama Tiptronic. Jadi, usah mengharapkan ia mampu memberikan ‘rasa’ yang sama seperti mana model-model VW yang lain yang menggunakan teknologi DSG.

Seperti mana enjinnya, penulis juga berpendapat kemampuan transmisi Polo 1.6 ini pada tahan sederhana. Namun, bonusnya, kotak gear ini tetap lancar dan tidak terasa kesan sentakan apabila gear bertukar. Cuma adakalanya gear seakan lambat meningkat dan membuatkan enjin sedikit mengaum. Ia berlaku terutamanya ketika jentera baru ingin dipecut daripada kelajuan yang lebih rendah.

Mengenai pengendaliannya, dengan kerangka hatchback, memang mudah dikendalikan. Senang mahu memarkir dan membuat pusingan U dengan jejari pusingannya 10.8 meter.

Malah olengan badannya juga agak minimum dan lebih stabil biar pun jentera dipacu dalam kelajuan yang agak tinggi. Jika melalui jalan berselekoh, kestabilannya masih mampu dirasai.

Berhubung dengan penggunaan bahan api, VW mengatakan ia berada pada tahap yang menjimatkan iaitu 6.3 liter untuk setiap 100km.

Kesimpulan yang mampu dirungkaikan oleh penulis mengenai prestasi dan pengendaliannya ialah usah mengharapkan suatu yang luar biasa daripada jentera ini. Ia memang tidak setanding dengan model seangkatannya yang memiliki spesifikasi tinggi.

Namun, secara keseluruhan, prestasi dan pengendalian yang dimiliki oleh Polo 1.6 hatchback ini memuaskan. Penulis menyarankan agar mempraktikkan pemanduan yang santai bersama jentera ini, itu sudah mencukupi.

Ok..bercerita pula mengenai imej luaran dan dalaman yang ditampilkan.

Tidak banyak keistimewaan yang ditampilkan pada model CKD ini. Namun pada nilai harganya, ia memang diliputi dengan elemen berpatutan. Banyak elemen yang berbeza dengan model CBU.

Bagi imej luaran, perumah bagi lampu utama jenis halogen berwarna perak berbanding dengan model CBU daripada rona hitam. Bar krom berkembar pada jeriji hadapan juga membuatkan jentera ini lebih maskulin.

Kehadiran lampu kabus yang mengapit jeriji bawah pada bampar hadapan serta padanan rim aloi “Riverside” bersaiz 15 inci yang membaluti tayar 185/60 R15 turut menyerlahkan lagi gaya jentera ini.

PoloCKD21

Rekaan bampar belakangnya juga agak berbeza dan lampu isyaratnya terletak pada fender. Walau bagaimana pun, ia tetap memiliki sedikit sentuhan sporty pada imej luarannya.

Manakala bagi ruangan kabin, ia agak mirip dengan rekaan dalaman model Polo Sedan 2014 yang juga merupakan unit CKD. Ia turut menampilkan unit kepala RCD 320, empat pembesar suara dan zon penghawa dingin automatik tunggal Climatronic.

Turut menampilkan cruise control, balutan kulit untuk roda stereng, tombol gear dan pemegang brek tangan, tempat duduk balutan fabrik ‘Livon’ dan skrin paparan pelbagai fungsi. Kekemasan krom juga menghiasi papan pemuka seperti pada bahagian panel penghawa dingin, roda stereng, suiz lampu dan sedikit pada radio.

PoloCKD12

Walau pun ia unit CKD, namun VW tetap tidak akan berkompromosi mengenai aspek keselamatan. Polo 1.6 hatchback ini turut dilengkapi dengan beg udara berkembar, Bantuan Brek (BA), ISOFIX dan empat poin pengesan parkir.

Manakala antara teknologi keselamatan yang diterapkan ialah Sistem Respons Pelanggaran Pintar (ICRS) yang akan membuka kunci pintu kenderaan secara automatik dan lampu kecemasan akan menyala serta-merta sejurus kemalangan berlaku.

Dengan harga yang ditawarkan iaitu RM87,888 seunit, dirasakan ia merupakan pembelian yang berbaloi dan wajar diletakkan dalam senarai utama jika anda mahu memiliki sebuah hatchback lima pintu. Biarkan melalui proses pemasangan tempatan, namun jenama VW pasti mampu memberikan kelainan pada gaya hidup anda.

SPESIFIKASI
Enjin: 1.6 liter 4 silinder MPI

Kuasa maksimum: 105 PS @ 5,250rpm

Tork maksimum: 153 Nm @ 3,800rpm

Transmisi: Automatik 6-kelajuan dengan Tiptronic

Kapasiti tangki minyak : 45 liter
Pilihan warna : Putih, merah, kelabu, perak dan hitam
Harga: RM87,888

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *