Renault Clio RS 200 EDC dilancarkan pada harga RM172,888

By  |  0 Comments

CLIO48

Selepas memperkenalkan model facelift Renault Koleos pada 8 Mac yang lalu, kini tibalah pula giliran si ‘kecil-lasak-agresif-impresif’ ini dilancarkan pula. Renault Clio RS 200 EDC pernah diperkenalkan untuk peringkat Asia di Kuala Lumpur pada tahun lalu. Hari ini, bertempat di litar go-kart, Litar Antarabangsa Sepang serta di celah kehangatan bahang panas, jerebu dan kisah tragis MH370, Clio RS 200 ECD ini dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Hot-hatch generasi keempat ini dijanakan oleh enjin penuh berkuasa turbo 1.6 liter empat silinder VVT. Ia mampu melampiaskan kuasa maksimum sehingga 200 hp pada 6,000 rpm dan tork puncak 240 Nm pada 1, 750 hingga 5,600 rpm. Ia turut dilengkapi dengan kotak gear dry-clutch EDC (Efficient Dual Clutch) enam kelajuan. Walau pun ia tidak menggunakan gear manual tetapi jentera ini mampu dilenjan sekencang 230km/j!

Mengangkat teknologi Renault Sport (RS), Clio RS 200 ini ditampilkan dengan bampar hadapan baharu yang dihiasi logo Renault, digandingkan dengan lampu pencahayaan siang LED dan rim aloi bersaiz 17 inci yang membaluti tayar 205/45 R17.

Manakala bahagian belakangnya juga menyerlahkan sifat garangnya dengan bampar yang sedikit lebar dan paip ekzos berkembar.

Malah imej sporty turut meresapi rekaan dalaman kabin terutamanya pada bahagian papan pemuka dan konsol tengah. Pedal penukar gear daripada material Dark Metal, roda stereng penuh sporty, tombol gear yang turut diserlah dengan simbahan warna merah menjadi antara daya tarikan kabin Clio ini.

Lain-lain elemen standard yang terdapat di dalam kabin ini ialah sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, skrin sesentuh bersaiz tujuh inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi TomTom, Bluetooth, audio streaming dan sambungan Renault R-Link, pengesan hujan serta cruise control dengan pengehad kelajuan.

CLIO18

Selain daripada itu, terdapat juga butang RS Drive yang terletak pada konsol tengah, di mana ia menawarkan mod Normal, Sport dan Race yang mempengaruhi enjin dan pemetaan kotak gear, pelarasan ESC dan ASR, kuasa stereng dan juga respons pendikit.

Malah hot-hatch ini juga diimplementasikan dengan Launch Control dan Hydraulic Compression Control.

Namun, antara tarikan utama yang cuba ditonjolkan di dalam kabin ini sudah tentu dengan penampilan RS Monitor 2.0 yang memaparkan informasi pemanduan seperti kotak gear klac berkembar, penunjuk tork dan kuasa, bar grafik, G-Force diagram dan Chronometre GPS.

Tetapi, ada lagi satu daya penarik yang pastinya membuatkan Clio ini sangat menguja apabila ia tampil dengan RS Sound Pipe yang berkeupayaan membawa masuk bunyi ngauman enjin sehingga ke dalam kabin bagi meledakkan lagi adrenalin pemandu. Malah bunyi ngauman tu boleh disalurkan menerusi pembesar suara yang terdapat pada jentera dengan aplikasi R-Sound Effect.

CLIO50

Clio RS 200 EDC yang diimport sepenuhnya dari Dieppe, Perancis ini juga dipadankan dengan casis Sport iaitu 3.0mm lebih rendah, 15 peratus lebih keras dan memberikan respons yang lebih pantas untuk stereng berbanding dengan model terdahulu.

Didatangkan pada empat pilihan warna yang sangat ‘mengancam’ iaitu Flame Red, Deep Black, Mercury dan Glacier White, Clio RS 200 EDC ditawarkan pada harga atas jalan RM172,888 seunit yang dilengkapi dengan insurans. Setiap pembelian turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km (yang mana terlebih dahulu.

Pada majlis pelancarannya, pihak TC Euro Cars Sdn Bhd turut mengesahkan bahawa mereka akan memperkenalkan lagi empat model Renault pada tahun ini. Tiga daripadanya model serba baharu dan satu lagi model facelift. Malah difahamkan juga, Clio TCe 120 juga dijangka bakal diperkenalkan pada penghujung tahun ini.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *