Hyundai i40 Tourer pengendalian umpama sedan

By  |  0 Comments

Hyundai i40 Cover Infokereta

Sejak lima tahun kebelakangan ini, ternyata Hyundai semakin agresif mengatur langkah untuk memacu lebih gemilang bagi memastikan mereka mampu sebaris dengan jenama-jenama lain seantero dunia. Nampak gayanya, langkah yang diaturkan ini kian menampakkan sinaran kerana Hyundai makin dikenali dan diterima oleh industri automotif dunia.

Satu persatu model baharu dan yang diperbaharui diperkenalkan, bukan sahaja di Asia, malah di serantau dunia. Malah Malaysia turut menjadi pilihan untuk memasarkan kenderaan di bawah jenama ini. Untuk tahun ini sahaja, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn.Bhd, bakal membawa masuk beberapa model Hyundai ke Malaysia, antaranya i30 dan Genesis. Ia bakal membarisi model-model sedia ada seperti Tucson, Sonata, i10, Santa Fe, Elantra, Veloster dan yang terbaharu dilancarkan iaitu i40.

i40Tourer57

Hyundai i40 dilancarkan pada November tahun lalu semasa penganjuran Kuala Lumpur International Motor Show 2013 (KLIMS’13) hadir dengan dua varian iaitu Sedan dan Tourer. Di mana model Sedan didatangkan dengan dua varian iaitu Sedan (RM159,903.30) dan Sedan Plus (RM163,903.30). Manakala Tourer hanya ada satu sahaja varian pilihan iaitu Tourer Plus yang berharga RM178,903.30.

Info Kereta berkesempatan memandu uji model Tourer Plus ini untuk berkongsi pengalaman tentang prestasi dan pengendalian jentera i40. Sebelum memandunya, kebanyakan rakan media berkongsi pengalaman tentangnya dan rata-rata memberikan komen yang sangat positif. Benarkah apa yang diperkatakan?

Jadi..inilah ulasan daripada Info Kereta pula.

Sejujurnya penulis begitu jarang mengendalikan jentera berbentuk tourer atau wagon, jadi memandangkan saiz badan penulis yang boleh dikategorikan sebagai ‘petite size’, maka 5 minit pertama mengendalikan i40 Tourer ini menimbulkan rasa yang agak cuak. Tetapi selepas 5 minit, ternyata perasaan itu mampu terhapus bagaikan angin yang berlalu.

i40Tourer74

Persepsi pertama penulis terhadap i40 Tourer ini ialah pengendaliannya umpama sebuah kereta sedan. Dalam erti kata lain, ia mudah dikendalikan dan tidak terasa berat (penulis pernah mengendalikan jentera wagon/tourer yang terasa sedikit berat daripada sudut pengendalian). Biar pun bahagian belakangnya lebih panjang dan sedikit besar berbanding model sedan, namun sepanjang memegang sterengnya, langsung tidak timbul sebarang omelan mengkritik sisi negatif model ini.

Dengan dimensi 1,815mm lebar, 1,470mm tinggi dan 4,770mm lebar, ternyata i40 ini boleh diibaratkan sebagai sebuah jentera tourer yang sempurna. Hyundai memproduksikan i40 ini dengan kombinasi penuh bergaya dan ruang yang selesa, pengendalian yang mantap serta prestasi berdinamik. Ia merupakan gandingan yang berpadanan, apatah lagi i40 ini tampil dengan keistimewaan yang tersendiri. Suatu penciptaan yang wajar dibanggakan oleh pengeluar kenderaan terkemuka negara Kimchi ini.

Penulis sempat menguji i40 Tourer ini sehingga ke Genting Highlands dan Bukit Tinggi, Pahang. Melalui pelbagai keadaan jalan. Dari lebuhraya yang lurus, berbukit sehinggalah ke jalan penuh berselekoh. Ternyata i40 Tourer gigih dipacu dengan sempurna, biarpun ketika melalui kawasan berbukit, enjinnya terpaksa dikerah sedikit bagi memberikan momentum kelajuan yang diingini.

i40Tourer36

Dipadankan dengan enjin nu 2.0 GDI yang berkemampuan menghasilkan kuasa maksimum sehingga 177 PS pada 6,500 rpm dan puncak tork 213 Nm pada 4,700 rpm, untuk pengetahuan, ia merupakan enjin baharu yang pertama kali diperkenalkan dalam keluarga Hyundai untuk pasaran Malaysia buat setakat ini. Alasan Hyundai menampilkan enjin ini ialah ia mampu memberikan kuasa yang lebih optimum bagi sebuah kenderaan yang agak besar seperti i40 Tourer. Di mana ia berkemampuan membekalkan kuasa sebaik mungkin tanpa mengabaikan penggunaan bahan api yang efisien.

Malah i40 juga digandingkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Jika ingin menambahkan keseronokan di dalam pemanduan, anda juga boleh memilih pedal penukar gear di belakang stereng untuk ‘bermain’ gear mengikut kelajuan dan corak pengendalian.

i40 juga menampilan mod Sport tetapi bagi penulis, ia agak kurang efektif dan jika tak menggunakannya pun bukanlah suatu kerugian. Itu secebis kekurangan jentera ini.

Sistem suspensi yang digunakan iaitu McPherson Strut pada bahagian hadapan dan Multi-link type untuk belakang cukup berpadanan dengan kerangka i40 tourer ini. Lantunan dan olengan kerangkanya ketika jentera dipacu laju agak minimum membuatkan pemanduan rasa selesa.

Penulis juga bertanyakan adik penulis yang duduk di bahagian penumpang belakang, adakah terasa seperti jentera ini bumpy terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang kurang rata atau pun selekoh, jawabnya tidak sama sekali. Sebaliknya dia masih terasa selesa biar pun jentera melalui corak jalan sebegitu rupa.

Ini satu lagi bonus tambahan buat i40… jaminan keselesaan yang optimum!

Selain daripada itu, pengendalian stereng berkuasa cukup impresif. Penulis teruja melayan selekoh yang dilalui dalam perjalanan pergi-balik dari kedua-dua destinasi itu. Malah ia juga sangat bekerjasama dengan penggunaan brek yang responsif. Manakala pedal pendikit juga tidak perlu ditekan habis-habisan untuk mendapatkan kuasa kelajuan yang lebih tinggi. Memadai ditekan sederhana dan i40 mampu memuntahkan kuasa yang diperlukan. Cukup berpuas hati!

i40Tourer69

Hyundai turut mendakwa bahawa i40 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan yang diyakini. Malah ia juga dikatakan antara kenderaan paling selamat di atas jalan raya. Ia telah diuji dalam ujian keselamatan Euro NCAP dan mendapat pengiktirafan lima bintang. Antara ciri-ciri keselamatan yang dipertaruhkan untuk i40 ialah Sistem Bantuan Brek, Pengurusan Kestabilan Kenderaan, Program Kestabilan Elektronik, sembilan beg udara, Sistem Bantuan Parkir, Kawalan Bantuan Mendaki Bukit, dan juga penyambung ISOFIX.

Seperti mana barisan model terbaharu Hyundai, SUV ini turut dilengkapi dengan Alat Perakam Keselamatan Pemanduan iaitu kotak hitam atau kamera mini yang dipasang di sebalik cermin pandang belakang. Ia berkeupaya merekodkan imej rakaman video sepanjang perjalanan termasuklah suara dengan objektif boleh dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku sebarang insiden seperti kemalangan. Dan ia juga memudahkan pemilik kenderaan untuk membuat tuntutan insurans.

Ok..apa keistimewaan i40 Tourer ini daripada sudut rekaan luaran dan dalamannya?

Diperbuat oleh sebuah negara Asia yang semakin berkembang maju, i40 turut menerima sentuhan rekaan Eropah yang membuatkan ia tampil penuh elegan dan bergaya. Ekspresi pertama melihat model ini ketika pelancarannya di KLIMS tempoh hari, melahirkan rasa teruja. Boleh dikatakan kelahiran i40 seakan memberikan dimensi yang baharu dalam sejarah Hyundai.

Perhatikan rupa bahagian hadapannya, ia dihiasi dengan lampu utama HID (xenon) untuk visual yang lebih efektif. Lebih menarik perhatian dengan padanan jeriji radiator heksagon, lampu kabus, LED pada cermin sisi dan lampu pencahayaan siang LED yang juga menampakkan imej Eropah.

Manakala pada bahagian belakang, berpadanan dengan penampilan lampu LED, lampu keselamatan pada spoiler dan power tailgate.

Pastinya mahu melengkapi kesempurnaan terhadap i40 Tourer ini, lantas rekaan bagi bahagian kabin turut diutamakan. Malah imej Eropah juga meresapi bahagian dalam kabin.Tanpa hiasan yang sarat dan cukup sekadar ringkas, papan pemuka i40 ini ternyata memiliki daya tarikan yang tersendiri. Butang-butang kawalannya disusun sempurna dan memudahkan pengendaliannya. Meter kluster TFT LCD mampu memberikan maklumat pemanduan yang diperlukan dengan butang kawalan bagi audio serta cruise control pada roda stereng.

Sistem audio dengan enam pembesar suara memberikan kepuasan hiburan. Skrin sesentuh yang bertindak sebagai paparan navigasi dan kamera undur juga ditampilkan bagi varian ini.

Manakala zon bagi sistem penghawa dingin bukan hanya terdapat di bahagian hadapan. Malah penumpang di belakang juga mendapat zon kawalan penghawa dinggin yang sama. Bukan itu sahaja, untuk penumpang belakang juga dihadiahkan dengan dua skrin berasingan untuk tujuan hiburan yang lebih optima.

Untuk imej yang lebih elegan, bumbung panoramik juga disertakan. Selain daripada itu, i40 turut menggunakan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelah yang boleh dilaras secara automatik dan brek parkir elektrik antara daya penarik bagi i40 ini.

i40Tourer33

Keluasan kabin juga sangat memuaskan. Ruang kepala dan ruang kaki untuk tempat duduk penumpang belakang sangat optimum, memberikan keselesaan yang diperlukan apatah lagi jika melibatkan perjalanan yang panjang.

Untuk ruangan kargo pula, sangat berpuas hati dengan kapasiti antara 553 hingga 1,719 liter yang ditawarkan.

Apa lagi yang boleh dikatakan dengan i40 Tourer ini?

Ia bagaikan sebuah jentera tourer serba lengkap, nampak sempurna dan miliki prestasi yang sangat memuaskan. Pemilikan yang berbaloi dengan harga yang ditawarkan.

i40Tourer51

Untuk menampilkan sedikit kelainan buat varian ini, Hyundai turut menawarkan pakej aksesori berasingan pada harga RM4,900 di mana ia menampilkan set kit badan MS Design, dan Thule roof rack.

Itu saja konklusi yang diberikan oleh Info Kereta.

Spesifikasi :
Enjin : nu 2.0 GDI
Kuasa maksimum: 175hp @ 6,500rpm
Tork maksimum: 213Nm @ 4,700rpm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan
Kapasiti bahan api : 70 liter
Pilihan warna : Sleek Silver, Titanium Silver, White Crystal & Phantom Black
Harga: RM178,888

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *