PLUS saran orang ramai rujuk TTA & rancang perjalanan sempena sambutan Maulidur Rasul, Hari Krismas & Tahun Baru 2016

By  |  0 Comments

TritonMediaDrive_132

Sempena cuti umum pada minggu hadapan iaitu pada 24 (Maulidur Rasul) dan 25 Disember (Krismas), bersambung pula dengan cuti hujung minggu, pastinya ramai yang sedang merancang untuk pulang ke kampung halaman, atau pun bercuti ke mana-mana destinasi. Mungkin juga ada yang mahu menghabiskan cuti tahun dan menyambungnya hingga ke Tahun Baru 2016.

Pada waktu ini, pastinya kebanyakan lebuhraya utama di negara ini bakal mengalami kesesakan ekoran pertambahan trafik terutamanya pada masa-masa puncak.

Sehubungan itu, seperti kebiasaannya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan berdasarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS.

Sekadar gambar hiasan

“TTA memainkan peranan yang penting dalam membantu orang ramai merancang perjalanan mereka. PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak 15 peratus iaitu sebanyak 1.5 juta kenderaan sehari pada waktu puncak menjelang sambutan Maulidur Rasul serta cuti perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru 2016 berbanding dengan hari biasa iaitu sebanyak 1.3 juta kenderaan, memandangkan hari cuti tersebut bersambung dengan hari minggu dan cuti sekolah hujung tahun,” kata Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid.

Jadual TTA terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Langkah ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

Jadual tersebut juga merangkumi perjalanan orang ramai yang ingin bercuti atau kembali semula ke Lembah Klang sempena sambutan cuti perayaan tersebut bermula 18 Disember 2015 sehingga 3 Januari 2016.

Dalam pada itu, PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka serta mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, mengikuti laman Twitter PLUSTrafik atau memuat turun aplikasi ‘PLUS Mobile’ menerusi telefon pintar atau tablet masing-masing.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *