Haval H2 dipertontonkan di NST-MAI ASEAN Auto Show 2015 – Bakal dilancarkan tahun hadapan

By  |  0 Comments

Haval_H2_IK 002

Sebelum Haval H2 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia yang dijangka pada tahun hadapan, model SUV segmen-C ini telah dipertontonkan di NST-MAI ASEAN Auto Show 2015 yang sedang berlangsung.

SUV yang diperkenalkan oleh Great Wall Motors Malaysia ini mungkin hanya ditawarkan dengan model 2WD sahaja untuk pasaran tempatan iaitu dengan varian City, Luxury dan Dignity. Sebaliknya untuk pasaran lain, ia turut menawarkan model 4WD dengan varian Luxury dan Dignity.

Haval_H2_IK 001

Untuk sesi prebiu ini, Great Wall Motors Malaysia telah menyajikan varian 2WD Dignity. Namun difahamkan, kesemua varian Haval H2 ini memiliki saiz ukuran yang sama iaitu 4,335 mm panjang, 1,814 mm lebar, 1,695 mm tinggi, dengan jarak roda 2,560 mm.

Haval H2 ini bakal dijanakan oleh enjin 1.5 liter 4G15B pengecas turbo empat-silinder dual-VVT. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 147 hp pada 5,600 rpm dan tork setinggi 210 Nm pada 2,200 hingga 4,500 rpm.

Haval_H2_IK 035

Enjin ini turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa pada roda hadapan.

Selain itu, Haval H2 ini turut memilih sistem suspensi dengan topang MacPherson di bahagian hadapan dan multi-link di belakang. Ia turut dilengkapi dengan cakera brek pada keempat-empat rodanya dan juga stereng berkuasa elektrik.

Untuk bahagian luarannya, Haval H2 ini turut dilengkapi dengan lampu utama halogen dengan fungsi “follow-me-home”, lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus.

Menjengah bahagian kabinnya pula, ia dipadankan dengan kekemasan kulit uphosteri untuk balutan tempat duduk dan roda stereng. Malah untuk tempat duduk pemandu, ia juga memiliki pelarasan secara elektronik dengan lapan-cara pelarasan bagi sokongan belakang.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan sistem penghidup enjin, paparan TFT berwarna bersaiz 3.5-inci, butang kawalan pada roda stereng, cermin pandang belakang anti-silau, sistem penghawa dingin automatik 2-zon bersama penapis habuk dan sistem kamera undur.

Bagi sistem hiburan pula, ia turut dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh multimedia dengan sambungan MP3, USB, Bluetooth dan AUX serta enam pembesar suara.

Aspek keselamatan turut dititikberatkan, Haval H2 turut memiliki enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem pemantauan tekanan tayar di samping ABS, EBD dan bantuan brek.

Di dalam risalah Haval H2 ini, ia turut menawarkan lapan pilihan warna iaitu Sleek Silver, Ivory, Brown, Modern Grey, Fashion Blue, Chinese Red, Pure White dan Classical Black.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *