Honda BR-V cetus pandangan pertama – Cukup sesuai untuk keluarga

By  |  0 Comments

Honda_BR-V_Tochigi_IK 001

Rombongan media Malaysia yang dibawa khas oleh Honda Malaysia untuk membuat liputan sempena Tokyo Motor Show 2015 sepanjang minggu lalu turut berkesempatan memandu uji model SUV tujuh-tempat duduk, BR-V di Twin Ring Motegi, Jepun.

Unit pandu uji ini masih di peringkat prototaip dan mungkin juga varian Grade E, kami cuma berpeluang melenjannya untuk dua pusingan seorang sahaja yang mengambil masa kira-kira 8 minit. Walau pun memang tak puas memandu ujinya, namun sedikit sebanyak mampu memberikan sedikit gambaran awal mengenai BR-V ini.

Honda_BR-V_Tochigi_IK 051

BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ dijanakan oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 120 hp pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,600 iaitu penjana kuasa yang sama dengan City dan Jazz.

Berdasarkan varian tertentu, ia mungkin dipadankan dengan transmisi Earth Dream CVT atau kotak gear manual baharu enam-kelajuan.

Kesemua varian dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 195/60 dan beberapa elemen standard termasuklah lampu utama projektor, lampu kabus, cermin sisi berkuasa dan corong penghawa dingin termasuk yang dipasang pada bumbung untuk bahagian penumpang belakang.

Honda_BR-V_Tochigi_IK 003

BR-V ini berkongsi platform dengan model MPV yang juga keluaran Honda iaitu Mobilio. Ia memiliki ukuran 4,455 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 m.

Ia turut memberikan kelebihan pada ruang kabin yang lebih luas dan selesa. Malah tempat duduk barisan ketiga juga boleh diduduki dua penumpang dewasa bertubuh sederhana (saiz ketinggian di bawah 175 cm).

Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat (60:40) dan ditolak ketepi bagi memberikan ruangan yang lebih luas. Manakala barisan ketiga pula boleh dilipat dengan nisbah 50:50 dan boleh ditolak ke hadapan sekiranya memerlukan ruang storan yang lebih besar.

Honda mendakwa, tempat duduk barisan ketiga BR-V adalah yang terbaik dalam kelasnya. Malah kesemua tujuh tempat duduk turut dilengkapi dengan tali pinggang keledar tiga-poin.

Kalau tengok imej yang dibentangkan di bahagian kabin, memang cukup ringkas. Tiada yang bersifat futuristik, hanya standard dan sekadar asas sahaja. Tapi tak tahulah kalau-kalau model spesifikasi tinggi menampilkan imej yang lebih tinggi standardnya.

Namun bagi varian biasa seperti Grade S, sistem audio dilengkapi dengan double-DIN head unit, manakala bagi varian E dan ke atas, ia menampilkan skrin paparan audio bersaiz 6.1-inci. Malah turut dilengkapi dengan lampu posisi LED, suiz kawalan pada roda stereng dan paparan pelbagai-informasi serta kekemasan krom pada pemegang pintu dan pelindung sisi.

Difahamkan, varian E juga bakal dilengkapi dengan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan aerokit termasuk nanoe ioniser. Malah ia juga dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, dan Isofix sebagai elemen keselamatan. Tayar simpanan pula disimpan di bawah bahagian kereta.

Terdapat enam pilihan warna bakal ditawarkan untuk BR-V ini dengan tiga daripadanya adalah warna baharu iaitu Misty Green Pearl, Passion Red Pearl dan Lunar Silver Metallic. Manakala tiga warna lain ialah Crystal Black Pearl, Taffeta White dan Modern Steel Metallic.

ao3-brv-100

Ok, jom bercerita pula tentang sesi pandu uji BR-V pula. Walau pun hanya memandunya dengan dua pusingan sekitar 2km (bukan di trek Motegi) dalam masa 8 minit, ulasan ringkas sahaja yang mampu untuk diberi.

Pertama kali melihat BR-V di hadapan mata, terdetik di hati, ‘Wah! Ia memang menepati cita rasa seisi keluarga.”

Sebelum giliran penulis yang berpasangan dengan Anthony Lim dari Paultan.org memandu uji BR-V ini, sempat menjelajah setiap sudut bahagian luaran dan dalaman SUV ini.

Keluasan kabin yang bersesuaian dengan sebuah SUV, imej rekaan luaran dan dalam yang sedikit ringkas dan paling penting prestasi enjin yang memuaskan.

Bila giliran memandu uji tiba, ok satu masalah yang dihadapi oleh penulis yang bertubuh kecil ini ialah tempat duduk pemandunya yang tidak boleh ditinggikan. Namun tak jadi masalah kerana SUV ini agak tinggi dan masih memberikan fokus pemandangan yang tidak terhalang.

Walau pun sekadar dipadankan dengan enjin berkapasiti 1.5 liter, kuasa prestasi BR-V ini boleh dianggap sederhana. Kuasa pecutannya tetap ada selepas enjin dikerah lebih pantas dengan tekanan pada pedal pendikit. Ia boleh dipacu mencapai 160km/j dengan mudah (tanpa bebanan).

ao3-brv-108

Enjin dan transmisinya ternyata berpadanan. Cuma mungkin penulis kurang menggemari transmisi CVT kerana dirasakan ia ‘kurang umph’ berbanding kotak gear automatik konvensional, namun demi penjimatan bahan api, bolehlah diterima.

Pengendaliannya juga tidak sukar, malah sewaktu melenjannya di selekoh, ia masih kekal stabil tetapi tidak pada kelajuan yang agak tinggi.

Sistem brek dan kawalan roda stereng juga cukup responsif.

Malah sewaktu berada di dalam kabinnya sebagai penumpang, kurang juga rasa ‘bumpy’ apabila Anthony cuba memandunya sedikit agresif sewaktu melayan selekoh. Masih terasa selesa.

Walau pun ia sebuah SUV, namun pengendaliannya mirip pada kenderaan sedan sederhana. Secara keseluruhan, BR-V ini amat sesuai untuk kegunaan seisi keluarga termasuk pemandu wanita.

Ia memang mudah untuk dikendalikan termasuk bab urusan parkir. Tapi apa yang penting, ia mampu memuatkan tujuh penumpang serta jika tiada yang duduk di barisan ketiga, kerusinya boleh dilipat bagi memberikan ruang pada muatan.

Pasti ramai yang tidak sabar menantikan kehadiran BR-V ini di pasaran Malaysia bukan? Di negara jiran, Indonesia, ia akan memulakan jualan pada awal tahun hadapan denga harga antara 230 hingga 265 juta rupiah (RM68k hingga RM78k).

Untuk pasaran Malaysia, kena tunggu perkembangan selanjutnya dari Honda Malaysia!

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *