PANDU UJI : Renault Fluence facelift
Infokereta.com pernah memandu uji Renault Fluence pada Oktober tahun lalu iaitu selepas hampir lima bulan ia dilancarkan di pasaran Malaysia.
Hampir setahun ia dilancarkan, Renault tidak mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan model facelift bagi Fluence ini iaitu versi unit pemasangan tempatan (CKD).
Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Expression dan Dynamique.
Walau pun tidak mengalami sebarang perubahan daripada sudut mekanikal, namun gaya penampilannya menerima beberapa elemen yang dipertingkatkan. Sekali gus memberikan imej yang lebih bergaya serta segar.
Atas pelawaan pihak TC Euro Cars yang bertanggungjawab memasarkan kenderaan Renault di Malaysia, untuk penulis menguji pula model facelift ini, semestinya ia tidak akan dilepaskan begitu sahaja.
Dengan diberikan unit pandu uji varian Dynamique, penulis melenjannya selama lima hari.
Menggunakan penjana kuasa yang sama seperti mana model sebelumnya iaitu enjin 2.0 liter empat-silinder, Fluence facelift ini juga mampu menghasilkan output maksimum sehingga 143 hp pada 6,000 rpm dan tork puncak 195 Nm pada 3,700 rpm.
Bagi jentera sebegini, kuasa yang dihamburkan agak bersesuaian. Namun penulis mendapati, enjin ini memang cekap mempersembahkan kuasa.
Malah gandingan enjin ini bersama transmisi X-Tronic CVT cukup berpadanan. Kedua-duanya saling memberikan kerjasama yang responsif dan pantas.
Bagi pemanduan yang lebih relaks, penulis lebih senang menyerahkan tanggungjawab dalam penukaran gear pada transmisi auto sepenuhnya. Namun jika inginkan rasa yang lebih menguja, penulis memilih untuk ‘bermain-main’ dengan mod manual.
Walau pun tidak dilengkapi dengan pedal penukar gear (paddle shifter) sama seperti model sebelumnya, namun penggunaan tombol gear seperti biasa juga sudah mampu melahirkan keseronokan pemanduan yang tersendiri.
Menurut ujian NEDC, penggunaan bahan api oleh Fluence facelift juga boleh disifatkan sebagai efisien iaitu anggaran 7.7 liter bagi setiap 100 km. Manakala pelepasan Co2 pula sekitar 178 g per km.
Berkenaan dengan imej yang dipertaruhkan, menurut TC Euro, perubahan yang dibuat pada Fluence facelift ini adalah bagi memberikan pakej yang lebih kompetitif serta mengutamakan gaya.
Justeru, langkah yang diambil ini boleh dikatakan berjaya kerana imej luaran Fluence ini telah diolah walau pun tidak melibatkan perubahan yang besar mahu pun drastik.
Fluence facelift ini diperkenalkan dengan identiti baharu, lebih bergaya dan segar. Bersama sentuhan terkini pada bahagian logo yang ditempatkan di tengah-tengah gril hadapan, gaya elegannya cukup terserlah dengan tambahan jaluran berwarna hitam serta kekemasan krom.
Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan lampu utama projektor halogen, lampu nyalaan siang LED dan lain-lain elemen yang dikekalkan sama seperti model terdahulu.
Gaya luarannya dari depan, profil sisi dan belakang memang menampkkan serlahan gaya yang lebih elegan dan kemas. Malah bagi Dynamique, ia turut diserikan dengan padanan rim aloi Akihiro bersaiz 17-inci dan juga lampu belakang LED.
Bagi bahagian kabinnya, kekemasan krom dan hitam berkilat menjadi pilihan. Malah ruang dalamannya nampak sedikit luas dan telah diberi penambah baikan dengan menampilkan material upholstery baharu.
Jika varian Expression disertakan tempat duduk balutan fabrik, bagi Dynamique, ia ditampilkan dengan material kulit sepenuhnya berwarna kelabu gelap.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk menampilkan elemen baharu seperti radio dengan sambungan Bluetooth dan USB serta soket.
Turut menambahkan inovasi dengan menampilkan sistem multimedia Renault R-Link yang sesuai dengan pengguna kenderaan masa kini. Ia dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh dan pengesan suara. Malah Renault R-Link ini turut dihubungkan dengan sistem navigasi, fungsi telefon dan juga pemain muzik.
Selain itu, antara elemen lain yang turut diberi penambah baikan termasuklah kad akses tanpa kunci, dua zon penghawa dingin automatik dengan corong udara untuk tempat duduk belakang, kamera undur, kawalan kelajuan dengan pengehad kelajuan dan lampu utama automatik.
Tidak mengenepikan aspek keselamatan, Fluence facelift ini masih mengekalkan elemen yang sama iaitu ABS, EBD, ESP, enam beg udara dan Isofix.
Dengan tanda harga RM123, 831.97 bagi varian Dynamique dan RM112,178.81 untuk Expression (kedua-duanya harga atas jalan termasuk insurans dan GST), Fluence ini dilihat sebagai sedan yang berbaloi untuk dimiliki.
Sama seperti semua model Renault yang lain, Fluence ini turut didatangkan dengan pakej penyelenggaran percuma 5inFLUENCE termasuk waranti pengilang selama lima tahun, penyelenggaran percuma juga lima tahun, waranti alat ganti tulen selama satu tahun, servis mengambil/menghantar untuk penyelenggaran serta kereta ‘pinjam’ jika pelanggan terpaksa meninggalkan kereta masing-masing di pusat servis lebih dari 48 jam.
Spesifikasi :
Enjin: 2.0 liter 4-silinder sebaris, DOHC, 16V, CVTC
Transmisi: X-Tronic CVT
Kuasa maksimum: 143hp@6,000rpm
Tork maksimum: 195Nm@6,000rpm
Kapasiti tangki bahan api : 60 liter
Pilihan warna : Black Metallic, Crimson Red, Mars Grey, Ultra Silver & White Pearl