Proton R3 Suprima S diperkenalkan di Kuala Terengganu

By  |  0 Comments

DSC_1991

Hari kedua berlangsungnya Karnival Jualan Proton di Kuala Terengganu, turut menyaksikan jentera lumba yang bakal digunakan oleh pasukan Proton R3 untuk perlumbaan Malaysian Super Series (MSS) 2014 yang buat pertama kalinya didedahkan secara rasmi.

Memperkenalkan Proton R3 Suprima S Malaysian Touring Car yang bakal beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam penganjuran MSS 2014 yang akan berlangsung pada 28 Mac ini.

Jentera lumba ini diperkenalkan buat tontonan umum oleh Timbalan CEO Proton, Dato’ Lukman Ibrahim di Dataran Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu. Ia turut dihadiri oleh Ketua Pengurusan Pasukan Proton R3 iaitu Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel bersama COO (Komersil) Proton, Dato’ Hisham Othman.

DSC_2022

Proton R3 Suprima S ini akan beraksi buat pertama kali di dalam siri perlumbaan dengan objektif berupaya membantu pasukan Proton R3 mempertahankan rekod cemerlang mereka. Selain daripada model ini, ia bakal turut disertai oleh Proton R3 Satria Neo berwajah baharu dan jentera lumba Proton R3 Preve yang pernah beraksi di litar pada musim perlumbaan lalu.

Menurut Dato’ Lukman, penyertaan Proton di dalam sukan permotoran ini turut dijadikan platform sebagai membuktikan keupayaan jenama ini terutamanya daripada segi teknikal dan perspektif kejuruteraan.

Jentera lumba ini dijanakan oleh enjin 1.6 liter R3 Campro CPS 16-injap dengan padanan kotak gear F41 manual lima kelajuan. Ia boleh menghasilkan kuasa maksimum sehingga 178hp pada 7,500rpm dan tork 224Nm pada 4,000rpm.

DSC_2000

Proton R3 Suprima S ini dipamerkan di ruang pentas utama Karnival Jualan Proton, Kuala Terengganu yang berlangsung sehingga 8 Februari ini.

Selain daripada itu, banyak aktiviti menarik turut dianjurkan, termasuklah peluang memandu uji mana-mana model baharu Proton, penampilan istimewa pasukan T-Team FC, persembahan artis tempatan, demostrasi pemanduan oleh pasukan Proton R3 dan Lotus Cars Malaysia serta banyak lagi.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *