Pandu Uji : Volvo XC60 T6

By  |  0 Comments

XC60_T6_Ext_04

Keseluruhan : Volvo XC60 T6 ini walau pun ditampilkan dengan enjin berkapasiti 2.0 liter (berbanding 2.5 liter untuk model T5), namun bantuan pengecas turbo yang dipadankan membuatkan ia lebih bertenaga dan berprestasi. Bagi yang gemarkan bentuk dan rekaan XC60, memilih model T6 mungkin pilihan yang lebih bijak kerana hamburan kuasanya pastinya lebih menguja.

Kelebihan : Lonjakan kuasanya cukup lancar dan tidak teragak-agak mempamerkan prestasi walau dalam apa jua corak pemanduan.

Kelemahan : Terasa sedikit berat kerangka SUV ini, walau ia tidak lokek melonjakkan kuasa yang ada. Bila melalui kawasan berbukit, momentum XC60 T6 ini sekadar sederhana sahaja.

Kemewahan yang menyelimuti bahagian luaran XC60 T6 ini ternyata memukau pandangan. Malah menerusi risalah spesifikasinya, terdapat beberapa perubahan dan elemen baharu yang diterapkan, berbanding dengan model T5 yang pernah dipandu uji sebelum ini. Secara tidak langsung membuatkan Infokereta.com tidak mahu melepaskan peluang untuk melenjannya.

Jika bercerita mengenai pengendaliannya, ia tidak jauh berbeza dengan model XC60 T5, masih mempunyai banyak persamaan yang ketara. Penulis sengaja memiliki destinasi yang sama iaitu ke Lumut, Perak, untuk memandu uji model T6 ini, sama seperti T5. Sekadar mahu mencari apakah perbezaan antara kedua-duanya dengan merentasi corak jalan yang sama.

Jika XC60 T5 dijanakan oleh enjin 2.5 liter empat-silinder Drive-E yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 245 hp pada 5,500 rpm dan tork puncak 350 Nm pada 1,500 hingga 4,800 rpm, model T6 pula dipadankan dengan enjin 2.0 liter Drive-E pengecas turbo empat-silinder. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 306 hp pada 5,700 rpm dan tork 400 Nm di bermula 2,100 hingga 4,500 rpm. Ternyata model T6 lebih berkuasa berbanding T5.

XC60_T6_Ext_31

Kuasa pecutannya juga lebih pantas, malah tidak kedekut dalam menyalurkan hamburan pacuan yang diingini. Dengan gabungan pengecas turbo, enjin ini memang tidak mengecewakan. Jika inginkan kuasa yang lebih pantas selepas berhenti di persimpangan lampu isyarat, enjinnya pantas memberikan momentum yang diingini.

Cuma disebabkan kerangkanya yang sedikit berat, jika melalui jalan berbukit, kerahan enjinnya perlu dipaksa sedikit. Namun ketika melenjan SUV ini di kawasan berselekoh, agak menyeronokkan, namun perlu berhati-hati agar mengelakkan terjadinya over steer.

Bagi memberikan kelancaran yang lebih optimum, enjin ini turut dipadankan dengan kotak gear automatik Geartronic lapan-kelajuan dengan kuasa yang disalurkan pada roda hadapan. Mengenai tugas kotak gear, ia tidak mendatangkan sebarang kegusaran, malah mampu bekerja dengan lancar.

Memilih sama ada mahu menggunakan gear auto atau pun mod manual dengan mengendalikan pedal penukar gear, sebenarnya kedua-duanya memberikan ‘rasa’ yang sama. Tetapi bagi mengelakkan rasa bosan ketika memandu, penulis lebih gemar memilih mod manual serta ‘bermain-main dengan pedal penukar gear. Kecuali jika memandu di kawasan bandar dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, terpaksa lupakanlah mod manual itu.

Mengenai kelancaran prestasinya, XC60 T6 ini mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 100 km/j dalam hanya 6.9 saat. Ia juga mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 210 km/j.

Manakala bagi penjimatan bahan api pula, mengikut ujian NEDC, XC60 T6 ini dianggarkan menggunakan sekitar 7.3 liter bagi setiap 100 km.

Mengendali XC6 T6 di jalan yang lurus terutamanya di lebuh raya memang cukup menguja. Walau pun melalui permukaan jalan yang beralun atau tidak rata, rasa ‘bumpy’ agak minima. Malah tidaklah rasa ‘penat’ bila jentera berlari di permukaan jalan yang beralun terutamanya di Jalan Kuala Selangor – Teluk Intan. Kalau kebanyakan kereta lain, mungkin dah terasa macam naik kuda. Melambung-lambung dan boleh ‘mabuk’ dibuatnya.

Ini antara kelebihan dengan sistem suspensinya yang dipadankan dengan topang MacPherson pada bahagian hadapan dan Multi-link untuk belakang.

XC60 T6 juga dipadankan dengan pelbagai elemen keselamatan aktif dan pasif termasuklah Kestabilan Dinamik dan Kawalan Cengkaman (DSTC) dengan Kawalan Kestabilan Lanjutan, Kawalan Cengkaman Di selekoh oleh Penvektoran Tork.

XC60_T6_Ext_22

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem Pengesanan Penunggang Basikal dan Pejalan Kaki, yang mampu membantu mengelakkan pelanggaran. Jika ada pejalan kaki atau penunggang basikal berhampiran dengan kenderaan, ia akan mengeluarkan bunyi amaran dan jika pemandu tidak bertindak balas, kenderaan akan brek secara automatik.

Bukan itu sahaja, elemen keselamatan lain yang turut ditampilkan ialah Kawalan Kepekaan Pemandu (DAC), Amaran Penukaran Laluan (LDW), Informasi Tanda Jalan, Keselamatan Pemanduan Bandar, Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dan Kepekaan Lalu Lintas Trafik. Di mana radar pengesan yang terletak di bahagian belakang kenderaan akan mengeluarkan amaran pada pemandu jika ada kenderaan lain yang datang dari arah belakang dan sebagainya.

XC60 T6 ini bersaiz 4644 mm panjang, 1891 mm lebar, 1713 mm tinggi dan jarak rodanya pula ialah 2774mm, cukup besar untuk memuatkan kapasiti penumpang sehingga lima orang. Ia juga memberikan ruang storan di belakang sehingga 523 liter.

Ruang dalamannya juga tidak jauh beza dengan XC60 T5. Balutan kulit upholstery menjadi pilihan bagi tempat duduknya, sekali gus menghadiahkan lebih keselesaan, di samping lambang kemewahan. Tempat dudik pemandu dan penumpang hadapan boleh dilaras secara elektronik dan mempunyai ketetapan memori.

XC60_T6_Int_24

Antara elemen dalaman lain yang turut diserapkan pada XC60 T5 ini termasuklah cermin pandang belakang anti-silau, kawalan suhu elektronik, corong penghawa dingin bagi tempat duduk barisan kedua, perehat tangan dengan pemegang cawan untuk tempat duduk belakang dan brek parkir berkuasa.

Bagi nilai tambah bagi model T6 ini, ia turut dilengkapi dengan unit paparan Thin Film Transistor (TFT) untuk informasi kepada pemandu. Ia terdapat dalam tiga tema berbeza iaitu Elegance, Eco dan Performance.

Varian ini juga menerima sistem hiburan baharu ‘Sensus Connect’. Selain itu, ia juga mempunyai fungsi seperti navigasi dengan peta 3D, radio Internet dan kawalan suara. Ia juga menampilkan skrin paparan Adaptive Digital bersaiz lapan-inci, serta lapan pembesar suara.

Begitu juga dengan imej luaran yang ditampilkan, memang seiras dengan model T5. Ia dilengkapi dengan lampu utama projektor bi-xenon adaptif, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang kombinasi. Selain sama seperti model T5 iaitu bentuk hud baru dan gril bar krom, yang menyerlahkan ukuran lebar kereta, bersama-sama garis-garis datar yang ketara, secara visualnya menghubungkan kereta dengan jalan.

Namun sedikit kelainan berbanding model T5 iaitu ia memilih rim aloi Pan bersaiz 18-inci dengan tayar 235/60.
Volvo Malaysia telah menetapkan harganya dari RM315,888 (OTR tanpa insurans). Ia ditawarkan pada lima warna pilihan iaitu Twilight Bronze, Ice White, Electric Silver, Seashell dan Ember Black.

Selain itu, Volvo juga menawarkan aksesori pilihan termasuklah kit luaran Iron Stone dan rim aloi Diamond Cut bersaiz 20 inci atau rim aloi Iron Stone.

Pembelian Volvo XC60 T6 ini turut didatangkan dengan plan liputan 5+5+5 iaitu waranti lima tahun atau 100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu), lima tahun servis percuma dan lima tahun percuma bagi program bantuan Volvo In Call.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *