Pandu Uji : Peugeot 508 baharu

By  |  1 Comment

Peugeot_508_facelift_Malaysia_ 006

Keseluruhan : Memiliki karakteristik yang tersendiri. Dengan imej yang lebih segar dan nampak sedikit mewah (selain elegan dan sofistikated) menjadi antara daya penarik 508 baharu ini.

Kelebihan : Tujahan kuasa turbonya membantu menambahkan lagi enjin 1.6 liter, sekali gus memberikan prestasi yang berpadanan dengan karakter 508 THP ini.

Kelemahan : Kurang sesuai untuk pengendalian yang lebih agresif. Malah olengan badannya sedikit dirasai terutamanya bagi penumpang di tempat duduk belakang. Mod Sport yang ditampilkan tidak begitu jauh berbeza dengan gear normal.

Peugeot 508 baharu telah pun dilancarkan pada 28 Mei lalu, namun dua minggu sebelum itu, Infokereta.com telah pun memandu ujinya. Diberi unit 508 THP untuk dipandu uji, bergandingan dengan Hafriz Shah dari Paultan.org dan seorang lagi rakan media, pemanduan secara bergilir-gilir ini turut memberikan pengalaman mengendalikan model sedan ini termasuk merentasi beberapa corak jalan termasuklah lebuh raya, pekan kecil mahu pun jalan kampung.

Berkongsi penjana enjin yang sama dengan varian SW THP iaitu 1.6 liter THP pengecas turbo dengan Suntikan Terus Bahan Api empat-silinder sebaris DOHC VVT, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 163 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 240 Nm antara 1,400 hingga 4,250 rpm.

Peugeot_508_facelift_Malaysia_ 033

Di mana enjin ini tidak lokek menyalurkan kuasa seperti mana yang diingini. Malah terjahan kuasa turbo pantas dirasai terutamanya ketika ia diperlukan untuk kelajuan yang lebih tinggi.

Digandingkan pula dengan kotak gear automatik Adaptif enam-kelajuan dengan Tiptronic, membuatkan gerakan enjin dalam menghamburkan kuasa secara lebih responsif. Jika mahukan pengendalian yang lebih agresif, pilih sahaja mod Sport dan kawal gear dengan menggunakan pedal penukar gear.

Namun bagi penulis, lebih senang tidak memilih mod Sport kerana penjanaannya tidaklah begitu jauh berbeza dengan normal. Biasa-biasa sahaja.

Untuk 508 THP ini, kuasa yang dihasilkan sekadar mencukupi, dan mujur juga ia menerima bantuan turbo bertekanan tinggi untuk menghasilkan prestasi yang diharap lebih memberangsangkan. Seperti mana yang ditulis pada risalah spesifikasinya, 508 THP ini mampu dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 9.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 220 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya tercatat pada 7.1 liter per 100 km.

Peugeot_508_facelift_Malaysia_ 002

Mengendalikan jentera ini di lebuh raya tidak sebegitu mencabar seperti mana melalui jalan berselekoh di kawasan kampung dan pekan kecil. Jika di lebuh raya, memandu pada kelajuan yang sedikit tinggi terutamanya jalan yang lurus dan tidak begitu banyak kenderaan memang cukup sesuai dengan karakter 508 THP ini.

Apabila melenjannya di kawasan kampung terutamanya ketika melayan selekoh-selekoh yang ada, pada waktu sebeginilah karakter 508 THP ini lebih teruji. Kawalan stereng berkuasa-hidraulik membantu pengendalian agar jentera kekal stabil ketika melalui corak jalan sebegini.

Walau pun karakter 508 THP ini bukan ke arah pengendalian secara agresif, namun sesekali pada saat yang diperlukan, ia seakan terpaksa mewujudkan watak kedua bagi mengawal situasi.

Ketika melayan selekoh dengan kelajuan yang sedikit tinggi, 508 THP ini mungkin nampak seperti kurang berani untuk berhadapan dengannya, apatah lagi sesekali terasa sedikit under steer. Malah olengan badannya juga sedikit dirasai terutamanya bahagian belakang.

Pug508_Drive_96

Tetapi ini tidak bermakna, sistem suspensi yang menggandingkan topang MacPherson dengan gegelung helical, peredam dan bar anti-olengan pada bahagian hadapan tidak berpadanan dengan Multi-arm (dengan gegelung helical) dan peredam pelbagai-injap. Ia masih memberikan ketahanan suspensi yang diperlukan mengikut keadaan permukaan jalan.

Bagi sistem brek pula, gabungan cakera Ventilated di bahagian belakang dan cakera solid untuk belakang dianggap berpadanan dan mampu memberikan respons yang optimum termasuk ketika jentera terpaksa dibrek mendadak.

Tidak kompromi dengan aspek keselamatan, Peugeot memberikan 508 baharu ini dengan enam beg udara, 3-poin tali pinggang keselamatan, dua Isofix, enam pengesan belakang (rear sensor) bagi memudahkan parkir dan undur (sebelum ini hanya ada empat pengesan belakang sahaja), serta ESP sebagai elemen standard termasuk ASR atau kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), selain ABS dan EBD.

Memperkayakan lagi aspek keselamatannya, 508 baharu ini turut ditampilkan dengan Sistem Pengesan Titik Buta (BLISS) yang membolehkan pemandu mengesan kehadiran kenderaan lain pada titik buta. Ia menampilkan empat pengesan iaitu di bahagian bampar hadapan dan belakang.

Selain itu, ia turut menampilkan Perimetric & Volumetric Alarm dan Bantuan Parkir Hadapan & Belakang Peugeot.

Selain sarat dengan elemen keselamatan, model 508 baharu yang diperbuat dari struktur yang lebih konkrit dan ia turut mendapat penarafan lima-bintang daripada EURO NCAP.

Sebenarnya daya tarikan utama bagi kelahiran 508 baharu ini ialah imej yang dipertaruhkan. Kali ini, ia lebih nampak elegan, kontemporari dan sofistikated, menzahirkan pandangan yang lebih menguja. Rekaan segenap sudut lebih tersusun.

Memerhatikan imej luarannya, pasti bahagian hadapan terlebih dahulu menjadi perhatian. Lampu LED adaptif dengan rekaan baharu ditampilkan, malah ia kelihatan lebih menyerlah bersama padanan gril trapezoidal krom yang lebih nipis, disambungkan pada logo singa (sebelum ini ia terletak pada bahagian hujung bonet) dan corong udara juga berbentuk baharu. Ia disambungkan pada lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED turut menyerlahkan lagi gayanya.

Profil sisinya juga menonjolkan sentuhan yang lebih mewah dengan garisan aerodinamik serta padanan rim aloi bersaiz 18-inci (seperti mana varian premium pada model terdahulu).

Peugeot_508_facelift_Malaysia_ 010

Manakala bampar pada bahagian belakang turut direka semula dan bersaiz sedikit besar, umpama semangat baharu yang ingin ditonjolkan. Lampu LED dengan rekaan yang telah diperkemaskinikan dan paip ekzosnya juga kelihatan tersembunyi dek kehadiran bar krom yang turut menjadi bingkai pada reflektor. Pintu belakang juga boleh dibuka secara elektronik.

Namun ketika memasuki bahagian kabinnya, kelihatan tidak banyak perubahan besar yang ditampilkan. Auranya masih menerima tempias daripada model sebelumnya. Walau bagaimanapun, alat kawalan umpama iDrive yang dipaparkan di bahagian tengah pada model sebelum ini ‘dihilangkan’ bagi model baharu ini. Sebaliknya ia telah digantikan dengan alat kawalan biasa.

Peugeot_508_facelift_Malaysia_ 038

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan skrin paparan sesentuh bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai alat kawalan termasuk bagi audio. Ia turut berfungsi sebagai pemapar navigasi, sambungan telefon, konfigurasi kenderaan, multimedia, kamera undur, bantuan pemanduan dan sambungan digital termasuk Bluetooth, USB, pemain CD/MP3.

Elemen standard yang turut dikekalkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengilap cermin auto, tempat duduk balutan kulit Nappa upholstery, pelarasan automatik tempat duduk hadapan, empat-zon kawalan suhu automatik, bantuan parkir hadapan dan belakang, lapan pelarasan tempat duduk hadapan dengan sokongan bahagian belakang badan, sistem bunyi JLB dengan 10-pembesar suara dan tirai suria manual.

Pendek kata, bahagian dalamannya tidak banyak cerita menarik untuk dicoret, kerana tidak banyak perbezaan berbanding model terdahulu.

Pun begitu, ruang dalamannya masih mengekalkan keselesaan yang jitu. Malah penumpang di belakang turut dapat merasai keselesaan termasuk pada ruang kepala dan ruang kaki, biar pun bertubuh besar.

Bagi ruang kargonya, varian THP mampu memuatkan kapasiti sehingga 545 liter dan 1244 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

Peugeot 508 baharu ini didatangkan dengan lima pilihan warna yang menarik iaitu Pearl White, Bourrasque Blue, Pine Brown, Artense Grey dan Harla Grey.

Harga atas jalan yang dijangkakan ialah RM175,000 untuk varian 508 THP. Pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad dan juga Servis Bantuan 24-Jam Peugeot, akses percuma ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege.

Spesifikasi :
Enjin : 1.6 liter THP pengecas turbo dengan Suntikan Terus Bahan Api empat-silinder sebaris DOHC VVT
Transmisi : Automatik Adaptif 6-kelajuan dengan Tiptronic
Kuasa maksimum : 163 hp @ 6,000 rpm
Tork maksimum : 240 Nm @ 1,400 – 4,250 rpm

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *