Mitsubishi ASX versi CKD dalam pembikinan – Harga RM118k (2WD) & RM132,500 (4WD)

By  |  0 Comments

ASX CKD 1

Sejak mula diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada November 2010, sebanyak hampir 3,000 unit Mitsubishi ASX telah berada di jalan raya di negara ini. Melihat akan sambutan yang menggalakkan itu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengambil langkah lebih progresif untuk memasang model ini di dalam negara.

Pada 3 Januari yang lalu, MMM telah mula membuka tempahan bagi Mitsubishi ASX versi unit pemasangan tempatan (CKD) seperti mana yang diwar-warkan melalui laman sesawang rasmi mereka. Walau bagaimana pun, ketika itu harganya masih belum dinyatakan secara rasmi.

Hari ini telah berlangsungnya majlis pelancaran produksi bagi ASX unit CKD yang turut meriah dengan kehadiran Pegawai Eksekutif Kanan Mitsubishi Motors Corporation (MMC) Morikazu Chokki, Timbalan Presiden Eksekutif Mitsubishi Corporation, Kozo Shiraji, Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tetsuya Oda, dan juga Timbalan Pengarah Urusan TCMA, Dato Rosie Tan.

ASX CKD 4

Jika sebelum ini, ASX unit CBU hanya didatangkan pada varian 2WD. Tetapi untuk versi CKD ini pula, pihak MMM membuat keputusan untuk memperkenalkan model 4WD selain turut mengekalkan varian 2WD. Harga yang ditawarkan sangat kompetitif iaitu RM118,000 untuk 2WD dan RM132,500 bagi 4WD. Sebelum ini, ASX versi CBU yang diimport terus dari Jepun, dijual pada harga RM139,981.

Telah mula dipasang di kilang Tan Chong Motors Assemblies Sdn Bhd (TCMA) yang terletak di Segambut, Kuala Lumpur, MMM mensasarkan pengeluaran sebanyak 5,000 unit setahun. ASX ini merupakan kenderaan pertama Mitsubishi yang dipasang secara CKD di Malaysia. Ia merupakan strategi MMM untuk memantapkan lagi pasaran mereka di Malaysia.

Menurut Oda, “Pelancaran produksi ASX hari ini boleh dianggap sebagai anjakan paradigma bagi MMM. Selepas mula beroperasi pada tahun 2005, MMM semakin memperkukuhkan kedudukan dari tahun ke tahun dengan hampir 70,000 unit kenderaan Mitsubishi sudah pun berada di jalan raya di Malaysia. Tetapi bagi kami, memproduksikan ASX versi CKD ini boleh dianggap sebagai ‘kelahiran pertama’ Mitsubishi di Malaysia.”

ASX dibangunkan dengan kombinasi praktikaliti dan utiliti bagi sebuah SUV yang memiliki keselesaan ibarat sedan, mempunyai ciri pengendalian yang diyakini serta memberikan keseronokan pemanduan.

Masih mengekalkan ‘jantung’ yang sama iaitu enjin MIVEC 2.0 liter dengan kuasa maksimum 150 PS dan tork 197 NM. Kedua-dua varian 2WD dan 4WD turut dipadankan dengan transmisi yang sama iaitu INVEC-III CVT enam kelajuan dengan Mod Sport.

Untuk aspek keselamatan, kedua-dua varian ini turut didatangkan dengan tiga beg udara, ABS, EBD, pengesan hujan automatik, tempat duduk balutan kulit, navigasi, kamera undur, dan banyak lagi. Terdapat elemen ekstra untuk varian 4WD iaitu fungsi kawalan cengkaman, sistem bantuan mendaki bukit, kawalan kestabilan aktif, bumbung panoramik, pedal penukar gear, butang penghidup enjin dan kemasan krom pada gril hadapan serta lampu kabus.

ASX CKD 2

Untuk 2WD versi CKD, ia tidak dilengkapi dengan pedal penukar gear seperti mana unit CBU 2WD. Malah 2WD versi CKD hanya dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16 inci, berbanding 17 inci yang dipadankan untuk model 2WD unit CBU.

Didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Black Mica, Titanium Grey, Cool Silver dan Solid White, pembeliannya juga hadir dengan lima tahun jaminan tanpa perbatuan terhad dan tambahan dua tahun servis percuma.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *