Peugeot 308 THP serba baharu miliki identiti, karakteristik & emosi tersendiri

By  |  0 Comments

2015_Peugeot_308_THP_Malaysia_ 007

Dua minggu sebelum majlis pelancarannya, Nasim Sdn Bhd telah membawa sekumpulan media tempatan untuk memandu uji Peugeot 308 THP serba baharu ini. Bertolak dari The Saujana Subang menuju ke Tanjung Jara Resort, Terengganu, menempuh perjalanan hampir 480 km (sehala) dengan pemanduan secara bergilir-gilir antara tiga orang media dalam satu kereta.

Bertepatan dengan anugerah terbesar yang diterima pada tahun lalu iaitu Kereta Tahunan Eropah 2014 di Geneva Motor Show kali ke-84, ternyata Peugeot 308 ini pantas menambat hati dengan mempersembahkan prestasi dan pemanduan yang berdinamik. Ia tidak berlengah membuktikan prestasinya, malah bijak memberikan kepuasan pemanduan tidak kira dalam apa jua keadaan jalan.

2015_Peugeot_308_THP_Malaysia_ 005

Peugeot 308 serba baharu ini dijanakan oleh enjin baharu iaitu 1.6L THP 150 empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 165 Hp pada 5,000 rpm dan tork setinggi 240 Nm pada 1,450 rpm. Di mana enjin ini telah menampilkan beberapa elemen baharu termasuklah pengecas turbo dan tolok tangki bahan api baharu.

Enjin ini turut dipadankan bersama kotak gear yang lebih efisien iaitu Tiptronic automatik enam-kelajuan. Transmisi AT6 ini turut tampil dengan teknologi QuickShift dan memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien, selain mengoptimakan getaran dan akustik.

2015_Peugeot_308_THP_Malaysia_ 062

Gabungan antara enjin dan transmisi ini memang secocok kerana ia mampu menghamburkan prestasi tanpa teragak-agak. Dalam manual spesifikasinya, hatchback ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9.4 saat dan kelajuan maksimum pula dicatatkan pada 211 km/j.

Perjalanan pandu uji ini dimulakan dengan melalui kawasan bandar sebelum memasuki lebuh raya menuju ke Pantai Timur. Laluan yang sedikit mencabar bila merentasi Lebuh Raya Karak yang berliku dan berbukit merupakan cabaran pertama bagi 308 serba baharu ini. Apatah lagi beberapa penyelenggaraan jalan sedang dilakukan di situ, membuatkan pemanduan yang lancar kadang-kala sedikit tergendala.

Peugeot308_04

Dalam keadaan sebegini, 308 THP serba baharu ini mula teruji bagi mengetahui tahap kawalan dan keyakinan di dalam pengendaliannya. Di saat kuasanya ditagih untuk merentasi lebuh raya ini, enjinnya pantas menghamburkan kepantasan. Dengan ledakan turbo yang ada, lebih mudah untuk menjinakkan hatchback ini bagi mendapatkan kelajuan yang diingini.

Pertukaran gearnya juga dirasakan lebih lancar walau pun agak terasa tetapi lebih ‘mengancam’ bila menggunakan mod Sport. Ledakan kuasanya lebih membara menjadikan pacuan cukup menyeronokkan.

Selain itu, kerangkanya yang diringankan sebanyak 140 kg berbanding model terdahulu yang pada platform EMP2 yang didorong oleh kombinasi struktur keluli berketahanan tinggi membuatkan 308 THP baharu ini lebih tangkas.

Bukan itu sahaja, platform ini turut ‘menghadiahkan’ casis yang lebih kukuh bagi pengendalian jentera lebih berdinamik. Ini termasuk dengan bantuan sistem suspensi gandar hadapan Pseudo-MacPherson serta bahagian belakangnya disokong oleh Deformable Cross Member dirasai mampu membuatkan pengendalian hatchback ini kian stabil.

Kesan olengan badan juga agak minima biar pun melalui jalan berselekoh atau pun permukaan jalan yang tidak rata. Walau pun sebagai penumpang di belakang, rasa ‘bumpy’ seakan terpinggir, sebaliknya mengekalkan keselesaan.

Peugeot308_05

Malah sistem kawalan stereng elektronik turut menyumbangkan keseronokan pemanduan di mana ia terasa lebih ringan ketika dipandu perlahan dan berubah berat jika dipacu dalam kelajuan yang tinggi. Kawalan sterengnya lebih sensitif dan agak ‘sharp’, sekali gus lebih senang untuk dikendalikan kerana ia seakan memahami corak pemanduan.

Ini turut memberikan bonus tambahan buat hatchback ini bagi dipacu dalam kelajuan yang tinggi dengan lebih mantap dan stabil. Sekali gus menimbulkan keseronokan melayan selekoh-selokoh di sepanjang lebuh raya menuju ke Pantai Timur ini. Malah ketika melalui jalan biasa seperti di kawasan bandar, kampung atau pekan kecil, keyakinan di dalam mengendalinya masih terserlah. Sama ada perlahan mahu pun laju, hatchback ini seakan ‘sentiasa berkomunikasi dengan pemandu’ dalam menentukan corak pemanduan.

Padanan sistem brek iaitu cakera Ventilated dan solid membantu memberikan kuasa cengkaman brek yang responsif. Walau pun adakalanya terasa sedikit sentakan apabila cengkaman brek terlalu cepat dan ‘kejap’, namun pastinya ia memberikan kebaikan dari sudut keselamatan tetapi kurang selesa pada orang yang di dalam kenderaan.

Keyakinan lebih terserlah ketika mengendalikan hatchback ini dengan adanya aspek keselamatan yang diberi keutamaan. Peugeot menghadirkan Pek Bantuan Pemandu yang cukup efektif yang mengandungi Kawalan Kelajuan Dinamik, Amaran Pelanggaran Kecemasan dan Brek Pelanggaran Kecemasan.

Peugeot308_06

Sebagai contoh, ketika memandu pada kelajuan 90 km/j, sistem keselamatannya akan memastikan jarak pemanduan selamat dengan kenderaan di hadapan (kira-kira jarak dua buah kenderaan). Jika ia agak rapat dengan kenderaan di hadapan, isyarat akan dipaparkan menerusi skrin pelbagai-fungsi bagi memastikan pemandu menjarakkan kenderaan.

Bagi memperkukuhkan lagi keselamatannya, 308 THP serba baharu ini juga dilengkapi dengan enam beg udara, Program Kestabilan Elektronik, Bantuan Mula Mendaki, dan Reinforced Safety Cage.

Peugeot 308 THP serba baharu ini juga telah menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP.

Menampilkan imej yang sederhana dan penuh emosi, 308 THP serba baharu ini nampak begitu menarik dengan kehadiran lampu utama teknologi LED sepenuhnya, pertama di dunia, yang memberikan kekuatan pencahayaan dengan penuh karakteristik.

Bukan itu sahaja, bampar dan gril hadapan yang lebih ‘mengancam’ menyerlahkan sifat sporty hatchback ini. Mungkin ada yang berpandangan, hatchback sebegini lebih kerap memiliki paras rupa yang feminin, namun ia tersingkir dengan imej yang ditonjolkan oleh 308 THP serba baharu ini. Daripada pandangan hadapan, sisi hingga ke belakang, profil penuh maskulin dan agresif lebih menyerlah. Malah ia nampak lebih kemas dan mempersona berbanding dengan model sebelumnya.

Bahagian belakangnya pula menyerlahkan lagi imej umpama bayang piramid dengan garisan profil sisi yang sungguh menonjol. Ternyata keseluruhan rekaan hatchback ini menyerlahkan lagi sifat penuh elegan yang diinspirasikan dari model konsep SR1.

Ia ditampilkan dengan lampu belakang dan lampu kabus LED, serta rim aloi Sapphire bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar Michelin 225/40 R18.

Mata terus terpukau dengan imej yang terbentang pada bahagian kabinnya. Ia menampilkan rekaan Peugeot i-Cockpit yang inovatif. Dengan gabungan empat komponen utama iaitu roda stereng balutan kulit, panel instrumen yang diposisikan sedikit tinggi dan penuh bergaya, konsol tengah penuh bergaya serta skrin sesentuh HD pelbagai-fungsi bersaiz 9.7 inci.

2015_Peugeot_308_THP_Malaysia_ 070

Rekaan papan pemukanya pula lebih minimalis, namun tidak disaratkan dengan pelbagai butang kawalan kerana ia telah ‘dipindahkan’ ke skrin sesentuh HD pelbagai-fungsi. Di mana skrin ini ‘mengandungi’ kawalan penghawa dingin, bantuan pemanduan, multimedia, sambungan bagi telefon pintar dan parameter kenderaan, selain menjadi paparan bagi kamera undur serta sistem audio.

Selain itu, 308 THP serba baharu ini turut dilengkapi dengan sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik automatik, tempat duduk Sports Alcantara, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan bersama fungsi urut, bumbung panoramik dengan tirai elektrik, sistem bunyi Arkamys dengan enam pembesar suara, sambungan digital dengan USB dan Bluetooth.

Bagi ruang dalamannya pula, 308 THP serba baharu ini memiliki keluasan yang lebih selesa buat jentera hatchback. Jika penumpang berketinggian di bawah 170 sm, agak ‘ngam’ bagi ruang kaki dan ruang kepala yang memiliki keluasan yang sederhana.

Manakala bagi ruang kargonya pula, ia mampu memuatkan storan berkapasiti 470 liter.

Secara konklusi, dengan harga RM132,888 (harga selepas GST dan termasuk insurans), 308 THP serba baharu unit CKD ini biarpun agak sedikit mahal, namun jika dilihat pada elemen berteknologi tinggi yang sarat ditampilkan termasuk prestasi yang begitu memuaskan, pemilikannya boleh dikatakan berbaloi.

Spesifikasi :
Enjin : 1.6L Twin Scroll Turbo High Pressure (THP), DOHC 16-valve, VVT
Kuasa maksimum : 152 PS @ 5,000 rpm
Tork maksimum : 240 Nm @ 1,450 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 53 liter
Pilihan warna : Rouge Red, Mocha Brown, Artense Grey, Nera Black & Pearl White (pilihan tambahan dengan caj ekstra RM1,590)

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *