Toyota Corolla Altis dilancarkan – Harga bermula RM114k hingga RM136k

By  |  0 Comments

Altis01

Selepas melancarkan Toyota Vios pada 2 Oktober yang lalu, hari ini giliran Toyota Corolla Altis generasi ke-11 pula diperkenalkan secara rasminya. Menawarkan kepada pengguna “Generasi Terbaharu dengan Gaya dan Keseronokan”, terdapat beberapa pembaharuan dan penambah baikan untuk model Corolla Altis ini.

Menurut Presiden UMW Motor Toyota, Datuk Ismet Suki, “Toyota Corolla Altis mula diperkenalkan bagi pasaran Malaysia pada tahun 2001. Sehingga tahun lalu, kami berjaya menjual 64,000 unit dan ini antara bukti bahawa rakyat Malaysia menyakini jenama Toyota.”

“Pelancaran Corolla Altis ini menyaksikan evolusi terbaharu bagi ‘kenderaan global’ ini yang telah diberikan penambah baikan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Malah sebelum dilancarkan, kami telah menerima tempahan hampir 1,000 unit sejak promosinya dibuka pada November 2013. Kami mensasarkan jualan sebanyak 9,000 unit sehingga hujung tahun ini.”

Altis33

Antara ciri yang dipertingkatkan ialah imej rekaan yang lebih bergaya, mengimplementasikan teknologi terkini dengan beberapa elemen yang diberi penambah baikan untuk semua varian yang diperkenalkan iaitu 1.8E, 2.0G dan 2.0V. Malah Corolla Altis ini turut diberi penekanan daripada aspek keselesaan, prestij, kualiti dan keseronokan pengendalian.

Bagi rekaan luaran, imej yang lebih moden dan sporty telah menyerlahkan model Corolla Altis ini. Dengan profil yang lebih rendah dan lebar, ia memberikan kestabilan dan kekuatan yang lebih mantap. Bampar hadapan direka dengan imej yang lebih prestij, dipadankan dengan lampu hadapan dan gril penuh bergaya.

Untuk model 2.0V iaitu varian tertinggi bagi Corolla Altis ini, ia dipadankan dengan lampu utama projektor LED dengan lampu pencahayaan siang (DRL). Manakala bagi varian 2.0G dan 1.8E, hanya menampilkan lampu utama Halogen. Lampu utama Altis direka dengan garisan luar yang mengikut bentuk gril radiator dengan kekemasan krom.

Altis08

Manakala profil sisinya pula, kerangkanya kelihatan lebih panjang dengan kehadiran karakter garisan memanjang daripada bahagian hadapan hingga ke belakang.

Untuk rekaan bahagian belakang pula, hiasan krom, kombinasi lampu dan karakter garisannya seakan memiliki kesinambungan antara satu sama lain. Bonet dan bamparnya pula memiliki permukaan yang bersambungan. Memberikan ekspresi yang lebih lebar dan prestij.

Berkenaan dengan bentuk kerangkanya, Corolla Altis telah diberikan perubahan dan peningkatan aerodinamik yang lebih efisien. Ia bukan sekadar membantu daripada segi penjimatan bahan api, malahan mengurangkan tahap kebisingan yang terhasil sewaktu pemanduan. Ciri aerodinamiknya dapat dilihat melalui aero-stabilising fins pada kedua-dua belah cermin sisi, lampu belakang dan sudut pada bampar hadapan serta belakang.

Menambahkan paras rupa yang lebih menyerlah, varian 1.8E dan 2.0G turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16 inci. Manakala bagi 2.0V pula, rim aloi yang lebih sporty bersaiz 17 inci menjadi pilihan.

Altis15

Rekaan bagi kabin pula tampil dengan tema rekaan Iconic Dynamism yang tampak lebih impresif. Tempat duduk juga menerima rekaan yang dipertingkatkan bagi memberikan keselesaan lebih optimum. Bagi tempat duduk hadapan untuk 2.0V lebih kepada rekaan sporty dengan lapik tambahan pada bahagian bahu, badan dan pinggul. Malah boleh dilaraskan pada lapan cara mengikut keselesaan pemandu. Balutan kulit menjadi pilihan bagi material tempat duduk 2.0V.

Manakala bagi tempat duduk varian 2.0G dan 1.8E, rekaan kontemporari diaplikasi dengan enam cara pelarasan tempat duduk pemandu. Dan tempat duduk bagi kedua-dua varian ini hanya dibaluti dengan fabrik bertona hitam dan kelabu yang selesa.

Altis20

Bagi fleksibiliti ruangan, tempat duduk penumpang belakang boleh dilipat dengan nisbah 60:40.

Selain daripada itu, antara ciri lain yang terdapat pada varian 2.0V dan 2.0G ialah sistem audio DVD-AVX dengan skrin paparan sesentuh bersaiz tujuh inci dengan sambungan Bluetooth, USB dan kad SD serta kamera undur. Manaka varian 1.8E pula menerima unit 2-DIN bagi infotainmen.

Bagi panel meter, 2.0V dan 2.0G didatangkan dengan panel meter Optitron yang turut dilengkapi dengan paparan MID. Manakala varian 1.8E hanya tampil dengan panel meter standard juga dengan paparan MID.

Optitron Combi Meter & MID

Ciri-ciri tambahan bagi varian 2.0V ialah dengan adanya Cruise Control, sistem kunci pintar, sistem penghawa dingin automatik dengan zon tunggal dan cermin pandang belakang Auto Electro.

Untuk aspek keselamatan pula, menurut Toyota, kesemua varian dilengkapi dengan ABS, EBD, BA, beg udara berkembar SRS, ISOFIX serta pra-regangan dan pengehad bebanan tali pinggang keselamatan. Namun tambahan sistem keselamatan buat varian 2.0V di mana ia turut dipadankan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TC).

Semua varian boleh didapati dalam lima warna iaitu White Pearl CS, Silver Metallic dan Attitude Black. Malah terdapat dua lagi warna baharu yang turut boleh dijadikan pilihan iaitu Grey Metallic dan Dark Brown Mica Metallic.

Toyota Corolla Altis ini berharga RM114,000 bagi varian 1.8E, sementara varian 2.0G ialah RM123,000. Model tertingginya, 2.0V dijual pada harga RM136,000 (semua harga adalah di atas jalan dengan insurans).

Infokereta telah pun memandu uji model ini dan untuk mengetahui ulasan mengenainya, sila KLIK di sini.

Spesifikasi :

Varian 2.0V & 2.0G

Enjin : 2.0 liter 4-silinder sebaris,DOHC 16-injap dengan Dual VVT-i
Transmisi :CVT dengan 7-kelajuan Sports Sequential Shift
Kuasa maksimum : 145 PS @ 6,200rpm
Tork maksimum : 187 Nm @ 3,600rpm

Varian 1.8E

Enjin : 1.8 liter 4-silinder sebaris,DOHC 16-injap dengan Dual VVT-i
Transmisi : CVT dengan 7-kelajuan Sports Sequential Shift
Kuasa maksimum : 139 PS @ 6,400rpm
Tork maksimum : 173 Nm @ 4,000 rpm

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

judi bola euro parlay situs mix parlay euro 2024 sbobet88 bandar bola euro 2024 dominoqq bandarqq bandar qq situs bandarqq pkv games pokerqq pkvgames id pro bandarqq pkv games pokerqq slot gacor dominoqq pkv games bandarqq