Citroen DS5 bentangan imej futuristik & karakter tersendiri

By  |  0 Comments

CitD5_Ext_03

Biar pun hampir dua tahun dilancarkan di pasaran Malaysia, rasanya belum terlewat lagi untuk InfoKereta.com mengulas mengenai Citroen DS5 ini. Lagi pun InfoKereta.com sendiri pun terpaksa menunggu masa yang agak lama untuk diberi peluang memandu uji jentera ini. Al-maklum sajalah, bukan seorang dua media permotoran yang harus ‘beratur’ menantikan giliran.

Citroen DS5 ini dijananakan oleh enjin 1.6 liter pengecas turbo yang dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan. Jentera ini mampu memberikan kuasa maksimum sehingga 160 hp pada 6,000 rpm dan tork setingga 240 Nm pada 1,400 rpm.

Bagi penulis, lonjakan kuasa daripada enjin turbo ini memberikan prestasi yang memuaskan buat DS5. Ia agak pantas memberikan respons setiap kali ingin mempertingkatkan kelajuan walau pun dalam keadaan yang tiba-tiba.

CitD5_Ext_36

Jika diikutkan apa yang tertulis dalam risalah spesifikasinya, DS5 ini mampu memberikan kuasa maksimum sehingga 202 km/j. Ia juga mampu dipacu daripada 0-100 km/j dalam tempoh 9.7 saat.

Malahan, pertukaran gearnya juga boleh dianggap lancar dan membantu menghulurkan prestasi yang diingini. Namun untuk memberikan kepuasan yang lebih terhadap pemanduan, penulis lebih senang memilih mod manual yang dirasai lebih umpph. Walau pun tanpa pedal penukar gear dan hanya menggunakan tombol gear untuk menukar gear, namun ia tidak menjejaskan pemanduan secara manual. Memang agak menyeronokkan dapat ‘bermain-main’ dengan gear manual terutamanya ketika jentera dipecut laju di lebuh raya.

CitD5_Ext_38

Sistem suspensinya pula terasa agak lembut, sekali gus memberikan keselesaan yang lebih optimum ketika pemanduan, termasuk juga pada penumpang di dalam kabin. Biar pun terasa sedikit ringan dan lembut, namun penulis ada juga cuba melenjan jentera ini secara sedikit agresif ketika melayan selekoh. Ternyata ia mampu memberikan kepuasan yang optimum dan agak berkeyakinan juga walau pun suspensi yang agak lembut dan kerangka terasa sedikit ringan.

Walau pun begitu, terasa sedikit olengan badannya dan jentera agak ‘membuai’ jika dipandu laju biar pun dalam keadaan jalan yang lurus, apatah lagi pada permukaan jalan yang beralun. Ia agak dirasai khususnya oleh penumpang di belakang. Malahan ketika jentera dipandu laju, stereng terasa agak berat, namun tida mendatangkan masalah untuk mengawal jentera.

Bagi aspek keselamatan, enam beg udara, ESP, ABS, EBD dan EBA telah ditampilkan pada DS5 ini.

Melihat akan imej yang ditonjolkan, pasti akan timbul sedikit rasa keanehan. Nah! Inilah yang cuba ditonjolkan oleh Citroen untuk jentera DS5 ini. Lihat sahaja pada setiap sudutnya, daripada hadapan ke belakang dan sisi kerangkanya.

CitD5_Ext_12

Dengan saiz ukuran 4,530 mm panjang, 1,871 mm lebar, 1,504 mm tinggi dan jarak roda pula 2,727 mm, DS5 ini dilihat memiliki imej yang sporty daripada bahagian belakang, rugged di bahagian hadapan dan mantap pada kedua belah sisinya. Ada juga rakan yang menganggap DS5 ini dikategorikan sebagai SUV atau wagon apabila melihat ia sedikit tinggi dan agak tembam. Ternyata pelbagai persepsi yang terjah di saat membuat penilaian mengenai imej yang ditampilkan pada DS5 ini.

Walau apa pun, DS5 ini sebenarnya boleh dianggap sebagai crossover hatchback yang lain daripada lain. Imejnya umpama bancuhan antara hatchback berbumbung tinggi, coupe dan sports estate, serta apa yang ditampilkan ini membuatkan DS5 kelihatan berbeza dengan model pesaing di bawah segmen-D.

Padanan lampu utama Xenon yang turut ditampilkan bersama lampu pencahayaan siang LED dengan lampu kabus yang diletakkan dalam kerangka berbentuk C bersama lampu signal sangat menyerlahkan gaya rugged pada bahagian hadapan DS5 ini.

Pada bahagian sisinya pula, terserlah sifat aerodinamik yang begitu ketara. Malah jika anda memerhatikan DS5 ini daripada bahagian sisi, mungkin terbayang kerangka wagon, ia nampak membujur panjang dan sedikit tinggi. Kehadiran rim berbentuk sporty bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar 235/45 juga menyerlahkan gayanya.

Kekemasan jaluran krom pada bahagian hadapan dna merentasi kedua belah sisi membuatkan DS5 ini tampil lebih elegan dan agak ‘mahal’.

CitD5_Ext_24

Bahagian belakang pula kelihatan agak sporty, nampak sedikit lebar dan rendah. Ditambah pula sepasang paip ekzos krom berkembar dengan bentuk lampu belakang yang stylish. Cermin belakangnya sedikit kecil dan bar hitam berkilat pada bahagian bawah bampar juga memberikan kelainan pada jentera ini.

Menjengah bahagian kabin, wow…pasti akan terpukau melihat imejnya yang umpama sebuah pengemudi aero-angkasa, malahan penampilan kokpitnya seperti sebuah jet pejuang dengan pelbagai butang kawalan termasuklah pada bahagian bumbung hadapan. Ia juga menampilkan tiga lapisan kanopi berkaca, iaitu pada bahagian pemandu, penumpang hadapan dan belakang.

CitD5_Int_27

Pertama kali memasuki ruang kokpit, membuatkan penulis terpaksa mengambil sedikit masa untuk meneliti pelbagai jenis butang kawalan… agak banyak dan nampak kompleks. Tetapi tidak memberikan masalah kerana setiap butang kawalan itu mempunyai fungsi tertentu.

Ternyata usaha Citroen menjadikan model jet pejuang sebagai inspirasi imej bahagian kokpit DS5 ini membuatkan hasil kerana ia menonjolkan kelainan yang mengagumkan.

Selain itu, penulis cukup menggemari material tempat duduknya yang turut dilengkapi dengan fungsi urut untuk tempat duduk pemandu. Malah penggunaan material kulit yang mewah memberikan imej elegan pada bahagian kabinnya.

Berkaitan dengan ruang dalamannya, bahagian tempat duduk belakang tidak membentangkan ruangan (termasuk ruang kaki) yang begitu memuaskan. Ia agak sempit dan mungkin penumpang yang berbadan besar atau tinggi agak kurang berasa selesa jika duduk pada bahagian belakang.

CitD5_Int_32

Sedikit lagi kelemahan ialah cermin belakang DS5 ini agak kecil, jadi tahap penglihatan pemandu boleh dikatakan agak terhad jika menggunakan cermin pandang belakang.

Secara keseluruhannya, walau pun dengan harga RM183,958 (tanpa insurans) yang ditawarkan untuk seunit DS5 ini kedengaran agak mahal, namun dengan ciri-ciri yang dibentangkan membuatkan ia agak berbaloi untuk dimiliki, terutamanya bagi mereka yang gemarkan suatu kelainan pada sebuah kenderaan. Ia boleh diumpamakan sebuah kenderaan bersifat futuristik dan bayangan untuk kenderaan masa hadapan.

Spesifikasi :
Enjin : 1.6L THP pengecas turbo 4-silinder sebaris
Transmisi : Automatik 6-kelajuan
Kuasa maksimum : 156hp @ 6,000rpm

Tork maksimum : 240Nm @ 1,400rpm


Harga atas jalan : RRM183,958 (tanpa insurans)

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *