Mazda CX-9 tampil maskulin – Hanya RM288,404.60 (2WD) & RM328,404.60 (4WD)

By  |  0 Comments

Mazda CX-9

Kenderaan utiliti sukan (SUV) keluaran Mazda memang terkenal dengan rekaan yang menarik dengan prestasi yang memuaskan hati. Antara model SUV Mazda yang mendapat sambutan menggalakkan di pasaran Malaysia ialah CX-9. Atas dasar itulah Mazda membawa masuk model dinaik taraf terbaharu CX-9 sebagai memenuhi permintaan pasaran pada 13 November lalu.

Dengan objektif mahu menambahkan lagi ciri-ciri penuh dinamik dan imej yang lebih segar, Mazda pastinya tekad untuk memenuhi cita rasa serta kehendak pengguna masa kini. Maka, melalui model penambahbaikan ini, CX-9 tampil dengan imej lebih segar dan prestasi penuh dinamik. Secara tidak langsung menambahkan lagi nilai terhadap imej crossover SUV buatan Mazda ini.

Mazda CX-9

Dengan menterjemahkan filosofi konsep KODO – Soul of Motion Design yang dipertaruhkan oleh Mazda sebagai tema rekaan bagi model-model kenderaan terbaharu mereka, turut mewarnai lagi imej terkini CX-9 ini. Ia bukan sekadar terjemahan secara visual, malah rekaan tersebut turut menitikberatkan aspek aerodinamik, penjimatan bahan api dan kestabilan pemanduan terutamanya dalam kelajuan yang tinggi.

Apa kelainan yang ditampilkan pada model penambahbaikan ini? SUV tujuh tempat duduk ini diserlahkan dengan imej KODO daripada bahagian hadapan sehinggalah belakang. Lampu utama bi-xenon membuatkan imej CX-9 tampak lebih maskulin apabila dipadankan dengan bampar hadapan yang agak garang. Malah pemilihan rim aloi bersaiz 20 inci yang membaluti tayar 245/50 dilihat sangat bertepatan dengan penampilan baharu CX-9 ini. Selain daripada itu, kamera undur turut dipasang pada kerangka di bahagian belakang bagi memudahkan lagi pengendalian.

Mazda CX-9

Bagi kemudahan di dalam kabin, CX-9 ini tampil dengan pelbagai elemen yang diperlukan mengikut standard masa kini termasuklah untuk sistem audio Bose dengan 10 pembesar suara dan navigasi yang mudah untuk dikendalikan. Selain daripada itu, kekemasan satin berwarna perak yang membaluti dekorasi di dalam kabin dengan asas rona hitam, meter iluminasi berwarna putih bersama rekaan konsol tengah yang memiliki sedikit sentuhan fancy menambahkan lagi imej sporty bagi model ini. Roda stereng juga dibaluti dengan material kulit bagi menambah keselesaan genggaman turut menyerlahlah lagi kualiti gayanya. Dekorasi Bordeaux Metal pada bahagian panel turut memberikan gambaran lebih sofistikated.

CX-9 dilengkapi dengan enjin berskala besar iaitu 3.7 liter V6 bagi menambahkan lagi prestasi pemanduan. Mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 274hp pada 6,250rpm, daya tork SUV ini juga agak tinggi iaitu mencecah 367Nm pada 4,250rpm. Manakala dengan transmisi Activematic enam kelajuan turut menambahkan lagi kuasanya. Penggunaan kotak gear Activematic memberikan lebih kelancaran di dalam pertukaran gear secara automatik dan sporty seperti mana penggunaan gear manual.

Mazda CX-9

Ditambah pula dengan kerangka yang kukuh, CX-9 turut memberikan kestabilan bagi menyerlahkan prestasi yang dinamik dengan pemanduan yang selesa untuk mendapatkan pengalaman pengendalian seperti mana SUV premium buatan Eropah. Bukan itu saja, Mazda turut tampil dengan teknologi suspensi yang mampu memberikan pengendalian yang lebih meyakinkan dan kawalan stereng yang cukup responsif. Sistem Active Torque Split All-Wheel-Drive turut mengoptimakan pembahagian kuasa tork antara tayar hadapan dan belakang bagi memastikan SUV ini dapat dipacu sempurna terutamanya jika melalui permukaan jalan yang licin.

Tidak berkompromi soal keselamatan semasa pemanduan, Mazda telah menerapkan I-Activsense iaitu sistem keselamatan bagi CX-9 seperti Forward Osbtruction Warning (FOW), Lane Departure Warning (LDW), High Beam Control (HBC) dan Blind Spot Monitoring (BSM), selain daripada ciri-ciri standard seperti ABS, EBD dan sebagainya.

Cx-9 didatangkan dengan dua varian iaitu 4×2 yang berharga RM288,404.60 dan RM328,404.60 untuk 4×4 (kedua-dua harga atas jalan tanpa insurans). Bersama enam pilihan warna yang menarik iaitu Dolphin Grey Mica, Zeal Red Mica, Meteor Grey Mica, Aluminium Metallic, Crystal White Pearl Mica dan Brilliant Black.

Spesifikasi :
Enjin : 3.7 liter V6 DOHC 24-injap
Transmisi : Activmatic 6-kelajuan automatik
Kuasa maksimum : 274hp @ 6,250rpm
Tork maksimum : 367Nm @ 4,250rpm
Sistem suspensi : MacPherson Struts (hadapan) / Multi-link (belakang)
Sistem brek : Vertilated Disc (hadapan & belakang)
Kapasiti tangki bahan api : 76 liter

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *