Kontroversi ‘rebadge’ mampu mencabar kredibiliti Proton di dalam meningkatkan kualiti

By  |  5 Comments

proton-perdana-accord-3

Rentetan daripada berita pelancaran Proton Perdana yang diadaptasikan daripada Honda Accord generasi ke-lapan telah menimbulkan pelbagai persepsi umum. Hampir 80 peratus komen yang dilemparkan melalui Infokereta.com juga boleh dikatakan berunsur negatif. Malah tinjauan ke beberapa laman web lain termasuk komen-komen yang dilemparkan di laman media sosial seperti Facebook juga agak panas. Masing-masing memberikan hujah tersendiri sama ada memang secara relavan dan tak kurang juga yang hanya hentam kromo sahaja.

Kita imbas kembali berita mengenai perjanjian usaha sama di antara Proton dan Honda Motor Co. yang termeterai pada 29 Oktober 2012. Menurut perjanjian tersebut, Proton dan Honda akan mengeksplorasi peluang kerjasama ini untuk meningkatkan lagi teknologi sedia ada, membina model baharu serta perkongsian platform dan fasiliti. Walau bagaimana pun, ketika itu sama ada Honda mahu pun Proton enggan memberitahu lebih terperinci tentang model baharu kenderaan yang bakal diproduksi bersama ini.

Pada awal Julai yang lalu, pihak kerajaan Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan Honda Motor Co.Ltd bagi menggantikan kereta Proton Perdana yang digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan sebelum ini. Perbincangan ini membabitkan Honda, Proton Holdings Berhad, DRB-Hicom Bhd dan kerajaan sendiri. Ketika itu juga, terdapat desas-desus bahawa kerajaan mahu menggunakan platform Honda Accord 2.4L bagi menaiktaraf model Perdana V6 yang sudah sedia maklum memerlukan kos penyeleranggaraan yang tinggi.

IMG-20131211-WA0018

Dan ada juga yang mengatakan Accord akan menggantikan Perdana sepenuhnya sebagai kenderaan rasmi kerajaan. Dan perkara ini menerima maklum balas yang agak hangat dan rata-ratanya berunsur negatif. Ramai yang mengatakan untuk apa menggunakan model jenama luar sebagai kenderaan rasmi kerajaan Malaysia sedangkan negara kita juga mempunyai pengeluar kenderaan nasional. Isu ini turut mendapat perhatian seantero Malaysia bukan setakat di kedai kopi, laman media sosial malah ia turut dibahas di dalam sidang Dewan Rakyat.

Pada 11 September 2013, mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menggunakan model Proton Perdana baharu yang dibangunkan berdasarkan platform Accord sebagai kenderaan rasmi kerajaan. Ia turut dianggap sebagai usaha berterusan kerajaan dalam menyokong pembangunan kereta nasional.

Proton pula sangat mengalu-alukan kerjasama ini memandangkan untuk membina platform baru bagi menghasilkan model kenderaan sudah pasti memerlukan kos yang sangat besar dan masa yang agak panjang. Justeru, menggunakan platform Accord untuk menaiktaraf Perdana merupakan alternatif terbaik buat masa ini.

proton-perdana-accord-2

Tiga bulan kemudian iaitu pada tarikh yang sungguh cantik, 11.12.13, Perdana berwajah baharu yang bakal digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi seperti yang dinyatakan di dalam perenggan pertama artikel ini, begitu banyak anggapan negatif yang dilemparkan.

Rata-ratanya berpendapat Proton seakan sudah kehilangan arah dan idea hingga terpaksa ‘meniru’ model kenderaan jenama lain. Malah ada juga yang mengatakan Proton sudah tidak relevan lagi dalam industri automotif tempatan. Membaca komen demi komen yang dilemparkan ini membuatkan Infokereta.com terpanggil untuk merungkai lebih lanjut mengenai konsep rebadged atau pun dijenama semula.

Mengikut Wikipedia, kejuruteraan semula badging (yang dianggap sebagai istilah neutral) ialah membuat aplikasi yang berbeza jenama atau logo yang diadaptasikan daripada model atau produk yang sedia ada. Ia sangat popular diimplementasikan di dalam industri pembuatan kenderaan. Oleh kerana kos bagi reka bentuk dan kejuruteraan atau platform bagi model baharu adalah sangat tinggi, maka adalah lebih murah untuk rebadge sesuatu produk daripada membuat model yang berlainan bagi jenama berasingan.

proton-perdana-accord-5

Walau bagaimana pun, kebiasaannya terdapat sedikit perubahan yang dilakukan terutamanya bagi reka bentuk luaran. Biasanya terhad kepada komponen biasa seperti lampu hadapan, lampu belakang atau pun pertambahan aksesori kit badan. Jika mempunyai modal yang tersendiri, kemungkinan besar akan melibatkan perubahan ekstrem seperti perbezaan enjin atau pun pertambahan kuasa prestasi.

Banyak jenama pengeluar kenderaan di peringkat global turut pernah mengimplementasikan konsep ini di dalam pembuatan model baharu mereka. Sebagai contoh, Mitsubishi I-MiEV iaitu kenderaan elektrik (EV) telah diadaptasi oleh PSA Peugeot Citroen untuk model Peugeot iOn dan Citroen C-Zero. Begitu juga dengan Citroen C-Crosser dan Peugeot 4007 yang diproduksi hasil konsep rebadged berdasarkan model Mitsubishi Outlander. Malah kereta sub-kompak Daihatsu Sirion turut diadaptasi oleh Toyota Passo, Subaru Justy dan juga Perodua Myvi.

Pada 5 November 2013, dilaporkan bahawa Renault dan Mitsubishi telah menjalinkan usaha sama (JV) di mana Mitsubishi akan menggunakan model-model Renault untuk dijadikan model segmen-C dan segmen-D bagi model baharu Mitsubishi. Model yang bakal menggantikan Mitsubishi Lancer akan diambil daripada model Renault seperti Renault Fluence. Ini kerana Mitsubishi ingin fokus pada produksi model-model seperti SUV dan kereta kompak.

passocollage

Berkaitan dengan Proton Perdana yang sedang hangat diperkatakan, sebenarnya generasi pertamanya yang dilancarkan pada tahun 2005 merupakan rebadged daripada Mitsubishi Eterna generasi ketujuh. Malah pasti anda juga sedia maklum bahawa Proton juga turut melakukan konsep rebadged ini dalam menghasilkan Proton Wira dan Inspira yang diadaptasi daripada model Mitsubishi Lancer.

Dan jika anda tidak mengetahui perkara ini, Youngman Europestar L5 iaitu sedan yang dijual untuk pasaran China telah menggunakan platform Proton Gen-2 di mana ia turut menggunakan enjin Campro CPS 1.6 liter.

Jika dilihat daripada sudut positif, soal rebadged ini bukanlah kerana mengamalkan konsep ‘siapa-tiru-siapa’ atau pun ia dilakukan dek kerana kekeringan idea. Tetapi merupakan hasil kerjasama antara dua syarikat pengeluar di dalam perkongsian platform dan teknologi.

youngman-infokereta

Perdana misalnya, merupakan model nasional di bawah segmen-D yang dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding pesaingnya iaitu dari jenama antarabangsa. Jadi apabila Proton menjalinkan usaha sama dengan Honda yang bakal menghasilkan model Perdana untuk dijual kepada umum kebarangkalian besar pada tahun 2016 dengan harga yang lebih murah daripada pencabarnya turut memberikan opsyen terbaik untuk warga Malaysia khususnya.

Walau pun mungkin tidak sebegitu hebat seperti mana model yang diadaptasinya, sekurang-kurangnya Proton berusaha untuk memberikan sesuatu yang terbaik yang patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Dan jangan lupa, Proton juga mempunyai pelbagai deretan model baharu yang tidak mengikut konsep rebadged seperti Exora, Saga, Preve, Suprima S dan akan datang bakal memperkenalkan kereta kompak di bawah segmen B iaitu dengan kod nama ‘Global Small Car’ kemungkinan besar pada tahun 2014.

Secara konklusinya, Proton Perdana baharu yang bakal digunakan oleh 3,000 unit di bawah kementerian Malaysia adalah tidak akan dijual pada umum. Jadi rakyat Malaysia, seharusnya tidak perlu berasa ‘tertampar’ dengan Perdana versi Accord ini kerana ia memang 99 peratus berimejkan jentera buatan Honda itu. Dan walaupun generasi Perdana generasi akan datang juga bakal diproduksi dengan kerjasama Honda, kemungkinan besar akan mengalami pelbagai perubahan dan suntikan berbeza bagi menampilkan ciri-ciri nasional.

Walau ternyata sukar untuk memenuhi cita rasa dan kehendak semua pihak, Proton pastinya mahu mempersembahkan produk terbaik biar pun bakal berhadapan dengan pelbagai kritikan dari masyarakat Malaysia sendiri. Tetapi marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu pada pengeluar kenderaan nasional ini agar terus bertahan di dalam industri automotif tempatan dan juga antarabangsa.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

5 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *