Galeri : Perodua Axia Standard G VS Advance

By  |  0 Comments

Perodua_Axia_Standard_vs_Advance_ 001

Pergi mana-mana bilik pameran Perodua, pasti kelihatan orang ramai sedang melihat dan menantikan giliran untuk memandu uji Perodua Axia yang dilancarkan pada 15 September lalu. Ternyata keterujaan orang ramai terhadap Axia ini bagaikan mampu meneruskan kecemerlangan Perodua di dalam mengungguli carta pengeluaran kenderaan tempatan yang mampu milik dan memenuhi cita rasa rakyat.

Khas untuk anda dan secara eksklusif, InfoKereta.com memaparkan galeri pembandingan antara model Axia Standard G Auto (RM33,200 OTR + insurans) dan varian spesifikasi tertinggi, Axia Advance (RM42,530 OTR + insurans). Sekurang-kurangnya ia boleh membantu anda untuk membuat keputusan yang lebih relevan di dalam pemilihan kenderaan yang bakal dimiliki ini.

Jika anda lihat antara kedua-dua model ini, ia mempunyai banyak perbezaan daripada bahagian hadapan, belakang, dan ruangan kabinnya. Lihat rekaan bampar dan gril hadapan kedua-duanya, jelas perbezaan yang ketara. Di mana varian Advance pastinya tampil lebih agresif, sporty dan bergaya. Sedangkan varian Standard, tampil dengan gaya ringkas. Biasa-biasa sahaja.

Bagi Standard G, ia hanya dilengkapi dengan lampu utama reflektor, manakala Advance pula ditampilkan dengan lampu utama projektor. Lampu kabus dan pengesan sudut hadapan pula tidak ditampilkan pada varian Standard tetapi ada pada Advance.

Beruntung bagi varian Advance (termasuk SE) kerana menerima elemen yang lebih ‘in’ termasuklah dipadankan dengan lampu LED pada indikator cermin sisi serta penampilan skirt sisi menjadikan model ini nampak lebih sporty. Bukan itu sahaja, pada bahagian belakangnya pula, terpampang spoiler atas, lampu belakang LED dengan kanta cerah, bampar yang lebih sporty dan aksesori corong peresap. Malah ia juga dilapisi dengan lapisan cermin keselamatan oleh Llumar. Kesemua elemen ini tidak ‘diadakan’ untuk varian Standard, setandinglah dengan harga yang ditawarkan.

Kedua-duanya dipadankan dengan rim bersaiz 14 inci tetapi tampil dengan rekaan yang berlainan. Untuk tayar pula, varian Standard menggunakan Silverstone Synergy M3. Manakana Advance memilih untuk dipadankan dengan Hankook Kinergy Ex.

Bukan setakat imej luaran, ciri-ciri di dalam ruangan kabin juga berbeza, walau pun tidaklah begitu drastik. Di mana konsol tengah bagi Standard hanya berwarna kelabu. Bagi varian SE dan Advance, pastinya ia lebih bercita rasa tinggi dengan kehadiran kekemasan aluminium dan piano black. Begitu juga kekemasan yang berlainan bagi tombol gear, panel pintu dan juga meter kluster.

Selain itu, varian SE/Advance turut tampil dengan kekemasan krom untuk perumah kluster instrumen, corong penghawa dingin dan pemuka pintu. Tambahan bagi varian Advance, ia juga dipadankan dengan skrin sesentuh bagi unit kepala, butang kawalan audio pada roda stereng dan juga tempat duduk balutan kulit upholstery.

Bagi tempat duduk varian Standard, ia hanya dibaluti dengan fabrik sahaja. Malah tiada perehat kepala untuk tempat duduk belakang, tidak seperti varian Advance.

Sebelum anda ke bilik pameran Perodua berhampiran untuk melihat secara lebih dekat setiap varian Axia ini, apa kata anda tonton dahulu video eksklusif daripada geng Paultan.org ini.

Untuk membaca sedikit ulasan mengenai pandu ujinya, sila KLIK DI SINI.

Perodua Axia Advance VS Standard

Perodua Axia Advance


Perodua Axia Standard G

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *