Honda Jazz 2014…praktikaliti menambat hati

By  |  2 Comments

Honda_Jazz12

Biar pun sejak kebelakangan ini, banyak model baharu dilancarkan termasuklah Perodua Axia dan Proton Iriz, namun Honda Jazz serba baharu yang diperkenalkan pada pertengahan Julai lalu masih menjadi perhatian umum. Malah sehingga bulan ini, lebih dari empat ribu unit tempahan telah dibuat dengan dua ribu unit pula telah didaftarkan. Sambutan yang memberangsangkan ini memberikan makna bahawa Jazz masih menjadi antara model hatchback yang popular terutamanya di kalangan generasi muda.

Sebelum pelancarannya di Malaysia iaitu pada akhir Jun yang lalu, InfoKereta.com telah berpeluang memandu uji model ini di Hua Hin, Thailand, namun ia merupakan versi pasaran negara Siam. Awal September pula, sekali lagi InfoKereta.com dapat menguji kehebatan dan keistimewaan model hatchback ini dan ia merupakan versi ‘buatan Malaysia’ iaitu hasil pemasangan di kilang Honda yang terletak di Melaka.

HondaJazz7

Apa yang pasti, kedua-dua versi iaitu versi Siam dan Tanah Malaya ini mempunyai sedikit perbezaan walau pun tidaklah begitu ketara. Namun InfoKereta.com bukan mahu membuat pembandingan di antara dua versi tersebut. Artikel ini lebih pada ulasan pandu uji Jazz versi Tanah Malaya, sebagai panduan kepada anda yang mungkin memiliki impian untuk mendapatkannya.

Untuk sesi pandu uji ini, penulis berpeluang melenjan Jazz varian V iaitu model spesifikasi tertinggi. Pemanduan secara bergilir-gilir dengan dua orang rakan media termasuk Danny Tan dari Paultan.org, bermula dari Mutiara Damansara menuju ke Kemaman dan kemudian bermalam ke Kuantan.

HondaJazz11

Bercerita mengenai prestasi dan pengendaliannya, Jazz versi Malaysia ini tiada perbezaan dengan model pasaran Thailand. Dengan enjin 1.5L empat-silinder 16-V SOHC i-VTEC yang telah diberi penambah baikan, ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 120 PS pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,600 rpm.

Mengagumkan apabila enjin berkapasiti sederhana ini mampu meledakkan pacuan yang diingini. Malah ia tidak gentar berlari kencang sehingga meter menghampiri 190km/j sebelum ia “cut-off’ secara automatik oleh sistem komputernya. Begitu juga jika melalui jalan berbukit, Jazz tidak ‘menghadiahkan’ masalah malah ia tetap gigih dipacu.

Ditambah pula dengan kehadiran Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) baharu dengan jenis klac Torque Converter yang lancar. Malah bagi penulis, transmisi yang dibangunkan untuk Jazz ini lebih cemerlang berbanding dengan model Honda City serba baharu. Pujian harus dihadiahkan buat barisan jurutera Honda kerana berjaya menghasilkan transmisi sebagus ini dan bagi pendapat penulis, ia boleh dikatakan CVT yang terbaik dalam keluarga Honda buat setakat ini.

Honda_Jazz_interior19

Transmisi ini dibangunkan di bawah teknologi Honda’s Earth Dream. Di mana ia memberikan kombinasi terbaik bagi prestasi pemanduan dan juga penjimatan bahan api.

Jazz baharu ini turut tampil dengan mod Sport bagi menambahkan lagi keseronokan pemanduan. Jika model versi Siam turut ditampilkan dengan pedal penukar gear (paddle shifter), namun komponen ini tidak wujud untuk varian yang kita ada. Sebaliknya hanya anjakan pada gear konversional untuk menukar gear dengan mod Sport.

HondaJazz16

Dalam sesi pandu uji ini juga, diselitkan sekali sesi menguji beberapa model pesaing Jaz dan juga model Jazz terdahulu. Penulis tidak mahu membuat perbandingan dengan model pesaingnya kerana setiap satunya memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri. Penulis mahu bandingkan Jazz baharu ini dengan model yang terdahulu.

Bagi penulis, jurang perbezaan antara keduanya memang banyak. Daripada enjin dan transmisi, pemanduan serta pengendaliannya memang memihak kepada Jazz baharu. Bukan hendak cakap Jazz terdahulu kurang bagus, tetapi Jazz baharu ini cemerlang. Enjin dan transmisinya seiring sejalan bertindak dengan cukup responsif serta lebih lancar.

Malah dari kelajuan rendah menginjak ke kelajuan yang lebih tinggi, Jazz baharu ini memberikan responsif yang lebih pantas. Enjinnya tidak teragak-agak untuk memuntahkan segenap kuasa yang diperlukan. Transmisinya pula lancar dan membantu menambah keselesaan dalam pemanduan.

Sedangkan enjin Jazz lama seakan perlu bekerja lebih keras untuk dipacu lebih laju. Begitu juga dengan transmisinya yang ‘biasa-biasa’ saja, dah sedikit berbunyi bising apabila putaran RPM seakan ‘berhenti sejenak’ pada gear yang rendah sedikit lama sebelum injakan ke gear yang tinggi.

Bukan setakat enjin dan transmisi, pujian juga perlu diberikan buat olengan badan Jazz baharu yang banyak membantu sistem suspensi supaya memberikan kemantapan dan kestabilan buat jentera ini. Ketika jentera dipacu agak laju merentasi perjalanan dengan corak jalan berselekoh dan berliku melalui Lebuh Raya Pantai Timur terutamanya di Karak, keseronakan mengendalikannya menguasai diri. Seronok melenjan Jazz baharu ini dalam pemanduan yang agak agresif. Bila pedal pendikit tidak dilepaskan dan kelajuan tidak dikurangkan walau pun melalui selekoh, jentera masih kekal stabil.

Dan jika pedal brek ditagih kudratnya, sedikit pijakan sudah memadai kerana ia memang pantas bertindak. Tidak perlu terjahan brek yang mendadak.

Olengan badannya juga minima dan kurang dirasai membuai. Malah penumpang di belakang juga berasa selesa dan ini boleh mengelakkan ‘motion sickness’.

HondaJazz1

Jika dibandingkan dengan Jazz lama, olengan badannya agak dirasai. Mudah terasa bumpy terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang beralun atau kurang rata. Bukan itu sahaja, ketika melalui selekoh dalam kelajuan yang agak tinggi, agak cuak juga apabila jentera seakan mengalami oversteer. Lantas kaki mula beralih dari pedal pendikit ke pedal brek, bimbang terbabas pula walau syok melayan selekoh.

Stering Berkuasa Elektrik (EPS) yang dipadankan bersama juga menambah keseronokan pengendalian Jazz baharu ini. Ia tidak begitu ringan tetapi juga tidak berat. Ia seimbang dan membantu memudahkan lagi kawalan jentera.

Untuk melakukan pusingan U, tidak menjadi masalah buat Jazz ini kerana ia mampu memberikan jejari pusingan minima 5.1m. Apatah lagi dengan kerangka yang comel, pastinya tak susah hendak membuat pusingan U dengan selamat walau pun di jalan yang agak sempit.

Bagi aspek keselamatan, Jazz varian tertinggi ini juga dilengkapi dengan enam beg udara, selain elemen standard yang lain seperti ABS, EBD, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Isyarat Pemberhentian Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), ISO Fix, dan tali pinggang keselamatan dengan pengehad bebanan dan pra-tekanan.

Honda_Jazz9

Jazz baharu ini memiliki kerangka berukuran 3,955mm panjang, 1,694mm lebar, 1,524mm tinggi dan jarak roda 2,530mm, memberikan kelebihan untuk membuatkan ruangan kabinnya lebih luas. Malah jika di tempat duduk penumpang belakang, ruang kaki dan ruang kepala juga agak luas. Tambahan pula, Jazz ini diproduksi dengan menampilkan teknologi Ultra Seats yang menambahkan lagi keselesaan.

Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan empat mod berbeza iaitu Utility Mod, Tall Mode, Long Mode dan juga Refresh Mode, bergantung pada barangan yang hendak dibawa dan diletakkan pada ruang kargo yang memerlukan lebihan ruang hingga terpaksa ‘meminjam’ ruang tempat duduk belakang. Bukan itu sahaja, tempat duduk belakang juga mudah untuk dilipat dengan hanya menarik tuil yang terletak di bahagian tepi tempat duduk. Malah, bangkunya juga mudah dilipat dengan hanya menarik bar pada bahagian bawahnya.

Menurut Honda lagi, keluasan ruangan kabin Jazz baharu ini juga hasil dengan keunikan bentangan tangki yang terletak di bahagian tengah. Ini kerana, kebanyakan kenderaan meletakkan tangki bahan apinya di bahagian belakang dan ini membuatkan ruangan dalaman tidak begitu dapat diperluaskan. Apabila Honda mengubah bentangan ini, ia membantu memberikan lebihan ruangan terutamanya untuk penyimpanan barangan. Di mana ruang kargo yang asalnya berkapasiti 337 liter, boleh dipertingkatkan sehingga 400 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

Nampak gayanya Honda memang berjaya menjadikan Jazz baharu ini sebuah jentera hatchback yang cukup praktikal!

HondaJazz8

Untuk varian spesifikasi tertinggi ini, elemen yang ditampilkan untuk ruangan kabinnya juga lebih menarik dan menyerlah gaya elegannya. Susun atur pada papan pemukanya diperkemaskan lagi. Ia juga menampilkan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci seperti rupa tablet. Ia berfungsi sebagai sistem audio dan kawalan penyaman udara, malah senang untuk dikendalikan.

Namun sedikit kelemahan pada ‘tablet’ ini apabila jika memandu pada waktu siang, pandangan lebih silau dan walau pun ‘brightness’ skrin tersebut sudah dilaras, namun paparannya tidak nampak begitu jelas.

Penampilan yang lebih futuristik juga jelas kelihatan pada panel meter kluster. Ia juga dilengkapi dengan sistem One Push Ignition iaitu butang untuk menghidupkan dan mematikan enjin dengan hanya sekali sentuhan.

Roda stereng juga turut ditampilkan dengan butang kawalan audio, alat bebas tangan bagi telefon bimbit dan juga butang kawalan kelajuan (cruise control).

Kekemasan plastik pada panelnya juga memberikan sentuhan yang lebih lembut, berbanding dengan varian paling rendah yang sedikit kasar. Malah terdapat hiasan kekemasan seperti jahitan pada bahagian papan pemuka dan dalaman pintu kedua belah sisi bagi varian tertinggi. Menampakkan sedikit elegen di situ.

Selain itu, Jazz baharu ini turut menampilkan pemegang cawan pada corong penghawa dingin berhadapan dengan tempat duduk pemandu. Secara tidak langsung, ia bertindak sebagai penyejuk kerana menghadap corong penghawa dingin. Jadi bila letakkan botol air di situ, ia boleh menjadi sentiasa sejuk.

Honda_Jazz_interior13

Mengetengahkan falsafah konsep rekaan “Exciting H Design”, untuk barisan model terbaharunya termasuk Jazz ini, nampak gayanya percaturan Honda boleh dianggap berjaya. Boleh dikatakan imej luaran yang ditampilkan oleh Jazz ini benar-benar mampu mencuri hati.

Pada bahagian hadapannya, terserlah rekaan “Solid Wing Face” yang memberikan penampilan penuh bergaya pada jentera ini. Ditambah pula dengan bar berwarna hitam berkilat di mana terlekatnya logo Honda pada bahagian tengahnya. Ditambah pula dengan lekukan berwarna perak pada bahagian bawah bar terbabit memberikan efek yang lebih sporty. Malah bar tersebut turut diapit dengan lampu utama halogen yang turut diberi rekaan baharu menambahkan karakteristik Jazz ini.

Terserlah lekuk garisan pada sisi kerangka jentera ini. Ia melintangi sehingga ke bahagian sudut belakang jentera. Ini menimbulkan kesan aerodinamik, bukan setakat pada gaya, bahkan turut membantu seretan angin apabila jentera ini dipacu. Jazz ini turut dipadankan dengan rim aloi multi-spoke bersaiz 16 inci yang dibaluti dengan tayar 185/55R 16.

Bagi bahagian belakangnya, imej agresif cukup menyerlah. Jika diperhatikan, bahagian belakang Jazz baharu ini sedikit lebar. Ditambah pula dengan penampilan lampu belakang yang sedikit besar dan berlekuk ke tepi. Bukan itu sahaja, hiasan lampu (tetapi tidak berfungsi) disambungkan ke atas dari lampu belakang. Begitu juga dengan kehadiran bar krom berkilat merintangi bahagian pintu bonet belakang.

Dan jika anda mahukan Jazz dengan imej yang lebih sporty dan unik, pilihan Pakej Modulo (kit badan + pedal sports, RM2,650), Pakej Utiliti (lampu kaki + pelapik kargo + trunk organiser + panel pemijak iluminasi, RM1,250) dan buat pertama kalinya ia turut didatangkan dengan Pakej Mugen (kit badan + spoiler belakang + logo Mugen yang keseluruhannya bernilai RM4,900) juga ditawarkan.

Varian Gred V ini ditawarkan pada harga RM87,800. Dengan harga berpatutan ini, Jazz baharu ini umpama sebuah hatchback yang lengkap termasuk menampilkan elemen keselamatan yang terbaik. Mungkin harganya tinggi sedikit berbanding dengan Proton Iriz yang baru dilancarkan Khamis lalu, namun untuk sebuah model jenama luar tetapi hasil pemasangan tempatan (CKD), Jazz baharu ini juga berbaloi diletakkan pada senarai pilihan jentera baharu anda.

Honda Malaysia turut menawarkan waranti selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dan penyelenggaran untuk setiap 10,000km.

Jadi…..fikir apa lagi? Buatlah pilihan yang terbaik ya!

Spesifikasi :
Enjin : 1.5L 4-silinder 16-V SOHC I-VTEC
Transmisi : CVT
Kuasa maksimum : 120 PS @ 6,600 rpm
Tork maksimum : 145 Nm @ 4,600 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 40 liter
Warna pilihan : Brilliant Sporty Blue Metallic, Taffeta White, Modern Steel Metallic, Crystal Black Pearl dan warna baharu New Tinted Silver

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *