Mazda3 dedikasi untuk keseronokan pemanduan

By  |  0 Comments

Mazda3_38

Jika sesebuah kenderaan itu hadir hanya sekadar ‘menang-bergaya’, pastinya ia bukanlah patut dijadikan tujuan utama mengapa ia menjadi pilihan untuk dimiliki. Kini, bersepah model baharu di pasaran yang tampil dengan gaya terkini dan mengikut cita rasa kita. Namun, adakah gaya yang ditampilkan itu setanding dengan tiga elemen utama iaitu kuasa, prestasi dan penjimatan bahan api, yang dicari-cari?

Walau bagaimana pun, sejak kebelakangan ini pengeluar kenderaan mula mengambil langkah lebih agresif di dalam memperkenalkan model yang memiliki gaya, kuasa, prestasi dan penjimatan bahan api yang seiring dengan kehendak serta keperluan semasa. Antaranya ialah Mazda yang aktif mengeluarkan pelbagai barisan model baharu yang mengikut kehendak pasaran.

Pada bulan Mac lalu, Mazda telah pun memperkenalkan model Mazda3 yang ditampilkan sebagai kenderaan jimat tenaga (EEV) dengan membawakan evolusi terkini termasuk dilengkapi teknologi Skyactiv. Malah Mazda turut menyakinkan bahawa model ini turut memiliki kuasa prestasi yang menguja, dan dalam masa yang sama mampu memberikan penjimatan bahan api yang efisien.

Mazda3_65

Justeru, untuk mengetahui apakah ia ada kebenarannya, maka Info Kereta mengambil kesempatan untuk memandu uji model ini selama beberapa hari.

Berpadanan dengan enjin yang ditampilkan iaitu SkyActiv-G 2.0 liter empat silinder sebaris DOHC, ternyata lontaran kuasa yang diberikan memang cukup memuaskan. Dengan kuasa sehingga 162hp pada 6,000 rpm dan tork 210Nm pada 4,000 rpm, walau pun prestasi Mazda3 bukanlah secemerlang lima bintang, namun ia sudah mencukupi buat jentera sedan bersaiz sederhana ini.

Ditambah pula dengan padanan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan, kuasanya pantas melonjak bila mana diperlukan. Bahkan, ketika memilih mod manual, ternyata jentera ini makin pantas memberikan tindak balas. Sebaik sahaja pedal pendikit ditekan lebih bagi menghasilkan kuasa yang tinggi, enjin tidak tertangguh-tangguh menyalurkan sejumlah kuasa pacuan yang diingini.

Mazda3_34

Namun sedikit terganggu, apabila jentera dipacu selajun 160km/j ke atas, enjin menghasilkan bunyi yang sedikit bingit hingga memasuki bahagian kabin. Tengah syok memandu, melenjan jentera ini sehabis mungkin, tiba-tiba terpaksa memperlahankan rentak kerana ngauman enjinnya mengganggu konsentrasi. Membuatkan pedal pendikit terpaksa dilepaskan sedikit demi mengurangkan bunyi agak bingit hasil kerahan enjin itu.

Bercerita mengenai kestabilan dan kemantapan jentera ini, ia juga berada pada tahap yang baik dan sempurna. Dipadankan dengan sistem suspensi topang MacPherson dan Multi-link, boleh dikatakan jentera ini mampu memberikan kestabilan yang mantap dan menyakinkan.

Penulis sengaja memilih jalan yang banyak selekoh iaitu di sekitar Bukit Pelanduk menuju ke Bagan Lalang. Sengaja mahu menguji kehebatan stabiliti Mazda3 ini. Ketika melayan selekoh, dengan keadaan permukaan jalan yang agak beralun, Mazda3 mampu dipacu stabil. Malah kurang terasa bumpy dan olengan kerangkanya juga boleh dikatakan agak minima. Namun jentera terasa sedikit berat bila mana kelajuan terpaksa dikurangkan ketika melalui selekoh.

Walau bagaimana pun, momentum enjin cemerlang kerana pantas memberikan respons bila mana jentera yang sedang dipacu perlahan meningkatkan kelajuan secara mendadak.

Mazda3_75

Ketika seronok melayan selekoh dengan kelajuan antara 80 hingga 90km/j, tiba-tiba ada sekawan lembu melintas jalan. Terkejut dengan kehadirannya, penulis terpaksa membrek secara mendadak. Mujur tiada kenderaan lain di hadapan. Ternyata sistem brek yang ditampilkan iaitu cakera Ventilated dan cakera Solid cukup responsif. Bertindak tepat pada waktunya.

Ditambah pula dengan adanya teknologi seperti ABS, EBD, BA, DSC dan TCS, membuatkan Mazda3 sangat tidak berkompromi mengenai aspek keselamatan. Malah mengikut falsafah penciptaannya, Mazda turut menampilkan i-Activsense iaitu teknologi keselamatan yang lebih komprehensif. I-Activsense merangkumi pemantauan kenderaan di belakang atau RVM (Rear Vehicle Monitor) yang bertindak memantau kenderaan lain melalui isyarat titik buta pada bahagian sisi dan belakang jentera dengan lampu amaran LED sekiranya ada kenderaan berhampiran menukar haluan atau mungkin terlalu dekat jaraknya dengan jentera ini.

Bukan itu sahaja, untuk keselamatan pemanduan pada waktu malam, sistem kawalan lampu tinggi (HBC) dan sistem lampu hadapan adaptif (AFS) juga ditampilkan. Di mana sistem HBC boleh mengawal secara automatik lampu tinggi dan lampu rendah mengikut keadaan. Manakala AFS pula bersedia membantu jarak penglihatan pemandu terutamanya di selekoh.

Selain itu, sistem pertukaran lorong atau Lane Departure Warning System (LDWS) pula menghantar isyarat atau amaran sekiranya keadaan jalan kurang selamat untuk menukar lorong.

Mazda3 juga dilengkapi dengan enam beg udara dan juga sambungan ISOFIX.

Kesimpulan yang boleh penulis huraikan mengenai pengendalian jentera ini ialah ia memang mempunyai karakteristik yang tersendiri. Boleh dikatakan responsif dalam apa jua situasi, membuatkan pengendaliannya menyeronokkan. Malah ternyata Mazda3 bukanlah sebuah jentera yang manja dan mengada-gada. Ia boleh dikatakan tahan lasak dan mampu bersikap agresif tetapi sewajarnya.

Mengenai penggunaan bahan apinya, ternyata ia memberikan kesan penjimatan yang efisien. Dengan kapasiti tangki bahan api sebanyak 51 liter, penulis melenjan Mazda3 ini selama beberapa hari dengan jarak perjalanan hampir 400km, tidak perlu untuk mengisi bahan api pun sehinggalah jentera ini dikembalikan kepada pihak Mazda.

Sistem melahu i-Stop yang ada pada Mazda3 ini turut tidak ketinggalan membantu dalam penjimatan bahan api dan mesra alam. Di mana, contohnya enjin akan dimatikan secara automatik apabila pedal brek ditekan ketika jentera berhenti di lampu isyarat. Dan enjin akan dihidupkan kembali apabila pedal brek dilepaskan. Walau enjin dimatikan secara automatik, namun sistem penghawa dingin dan sistem hiburan masih berfungsi tanpa gangguan.

Berkenaan dengan imej yang ditampilkan, Mazda masih mengekalkan tema rekaan “Kodo – Soul of Motion” yang menampakkan sisi maskulin dan moden bagi Mazda3 ini.

Pada bahagian hadapannya, Mazda3 nampak begitu maskulin dengan padanan lampu utama bi-xenon yang dilengkapi dengan lampu pencahayaan siang LED, lampu hadapan adaptif dan lampu kabus. Jeriji pada bampar hadapan juga nampak sedikit lebar memberikan imej yang agak garang pada Mazda3 ini. Malah padanan rim aloi bersaiz 18 inci yang membaluti tayar 215/45 Dunlop SP Sport Maxx turut menyerlahkan lagi gaya sedan ini.

Manakala pada bahagian belakangnya, kelihatan lampu belakang LED tetapi tidak kelihatan pula boot spoiler yang seakan tersorok. Malah paip ekzos berkembar membantu menampakkan model ini lebih sporty.

Mazda3_54

Bahagian kabin juga direka penuh elegan yang amat mementingkan keselesaan dan kesempurnaan. Dengan kekemasan piano black, zon tunggal penghawa dingin, tempat duduk balutan fabrik, sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, bumbung matahari, roda stereng balutan kulit dan pedal penukar gear, ternyata Mazda3 sangat mengikut standard masa kini yang diperlukan.

Pada bahagian panel instrumen, speedometer terletak di bahagian tengah diapit dengan meter putaran digital pada sebelah kiri dan kanan pula terdapat skrin paparan pelbagai informasi.

Untuk infotainmen yang lebih menyeronokkan, Mazda3 turut ditampilkan dengan enam pembesar suara dan MZD Connect serta skrin sesentuh bersaiz tujuh inci yang juga berfungsi sebagai paparan imej navigasi. Sistem ini turut boleh dihubungkan dengan penggunaan CD, Bluetooth, AUX, USB dan SD.

Mengenai ruang dalamannya pula, ternyata kepuasan pasti dapat dizahirkan dengan keluasan pada bahagian ruang kaki, ruang kepala termasuklah pada tempat duduk penumpang belakang. Malah ruang kargo juga juga memuaskan dan boleh memuatkan kapasiti sehingga 408 liter.

Dengan harga atas jalan yang ditawarkan iaitu RM135,159 (tanpa insurans), Mazda3 yang tampil elegan, sporty, maskulin dan memiliki kuasa prestasi yang mengujakan ini ternyata berbaloi untuk dimiliki.

Setiap pembelian akan didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000km (yang mana terlebih dahulu) dan juga servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.

Mazda3 juga telah dipaparkan dalam DRIVEN 2014 episod ke-5. Saksikannya…

Spesifikasi :

Enjin : 2.0 liter Skyactiv-G 4-silinder sebaris DOHC 16-injap
Kuasa maksimum : 162hp @ 6,000 rpm
Tork maksimum : 210Nm @ 4,000 rpm
Transmisi : Skyactiv-Drive 6-kelajuan automatik
Kapasiti tangki bahan api : 51 liter
Pilihan warna : Soul Red Metallic, Snowflake White Pearl Mica, Titanium Flash Mica & Meteor Grey Mica
Harga : RM135,159 (tanpa insurans)

 

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *