Politeknik Ungku Omar menangi Perodua Eco Challenge 2013

By  |  0 Comments

PERODUA1

Pada 14 Disember lalu bertempat di litar go-kart Stadium Shah Alam, telah berlangsungnya Perodua Eco Challenge (PEC) 2013 yang disertai oleh sembilan pusat pengajian tinggi tanahair. Penganjuran tahun ini ternyata telah menyebelahi peserta dari Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak, yang telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan. PUO yang pernah merangkul gelaran juara dalam pertandingan yang sama selama tiga tahun berturut-turut ini berjaya mengutip mata tertinggi di dalam sembilan kategori yang dipertandingkan.

Dengan melakukan rekaan semula bagi Perodua Myvi yang mampu dipandu sejauh 52.38 km dengan hanya penggunaan 2.5 liter bahan api Petronas Primax Ron 95 (menyamai 20.95km per liter), PUO telah membuktikan bahawa mereka mampu mencipta suatu teknologi baharu di dalam dunia automotif tempatan. Malah PUO turut memenangi cabaran “Persembahan Terbaik” dan “Gaya Terbaik” di dalam pertandingan yang sama.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah “Time Attack”, “Cabaran Pemasaran”, “Gerai Terbaik”, “Iklan TV Komersil Terbaik”, “Gaya Terbaik” dan “Catatan Jarak Terpanjang”. Bagi kategori “Gerai Terbaik” dan “Iklan TV Komersil Terbaik” dimenangi oleh UNITEN.

“Pihak Perodua mengucapkan jutaan tahniah buat PUO kerana prestasi yang begitu impresif yang dipamerkan dan juga kepada semua institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian kerana terlibat di dalam pertandingan anjuran kami yang berdasarkan program tanggungjawab sosial,”ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Selain daripada PUO, turut mengambil bahagian ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).

PEC mula dianjurkan sejak tahun 2009, dengan tujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada para penuntut pusat pengajian tinggi tempatan di dalam bidang pekerjaan. Bagi edisi kali ini, kesembilan buah institusi pengajian tersebut diberikan masa selama enam bulan untuk melakukan kerja-kerja rekaan semula Perodua Myvi.

Perodua telah memperuntukkan kos sebanyak RM131,200 untuk hadiah tajaan bagi PEC 2013 dan ia mendapat sokongan sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Secara keseluruhan, Perodua telah membelanjakan hampir RM6 juta sepanjang penganjuran PEC semenjak 2009 dan ini menjadikan ia sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat terbesar yang pernah dianjurkan.

PERODUA2

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *