Nissan Serena S-Hybrid pilihan terbaik buat seisi keluarga

By  |  3 Comments

Serena61

Setelah setahun ia dilancarkan, sambutan terhadap model ini boleh dikatakan agak memberangsangkan. Apatah lagi kesedaran orang ramai tentang kelebihan yang dimiliki oleh kenderaan enjin hibrid kian terbuka. Nampak gayanya pasaran bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) berkuasa hibrid turut mendapat tempat di Malaysia.

Malah setahun ia dilancarkan iaitu pada 23 Julai tahun lalu, pihak Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dikatakan bakal memperkenalkan model versi CKD bagi MPV ini tidak lama lagi.

Selepas menerima banyak pertanyaan daripada para pembaca mengenai MPV mampu milik yang berbaloi untuk dimiliki, Info Kereta memilih untuk memandu uji MPV hibrid pertama yang dibawa masuk ke Malaysia.

Serena80

Nissan Serena S-Hybrid ini sesuai dijadikan pengangkutan utama seisi keluarga kerana ia memiliki ruang dalaman yang luas, malah berkapasiti lapan tempat duduk bersama 14 konfigurasi. Jadi, sempena dengan kedatangan Syawal ini atau pun musim perayaan yang lain, Serena S-Hybrid pastinya sangat bertepatan menjadi pilihan anda pulang ke kampung halaman atau pun destinasi percutian lain bersama keluarga tersayang.

Berkesempatan memandu uji MPV ini pada waktu cuti hujung minggu, penulis memilih untuk membawa keluarga seramai tujuh orang termasuk dua orang anak saudara penulis yang ternyata teruja dapat menaiki ‘kenderaan sebesar ini’. Apatah lagi di dalamnya terdapat panel LCD bersaiz 10.1 inci pada bumbung dalam kabin membolehkan dua kanak-kanak kecil ini leka menonton DVD kartun kegemaran sepanjang perjalanan.

Sebelum menyelami lebih mendalam mengenai ruangan dalaman serta imej luaran yang dipertaruhkan oleh MPV ini, kita bercerita dahulu tentang prestasi dan pengendaliannya.

Walau pun berkerangka agak besar, Serena S-Hybrid ini hanya dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder DOHC dengan Twin CVTC (Continuosly Variable-Valve Timing Control) yang mampu menghasilkan kuasa 147 PS pada 5,600 rpm dan tork 210 Nm pada 4,400 rpm.

Ditambah pula dengan sistem S-Hybrid dengan ECO Motor bersama generator yang menawarkan sumber kuasa yang cukup untuk membantu enjin dan proses penjanaan semula tenaga. Malah ia juga didatangkan dengan bateri kedua untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan bagi memberikan kuasa pada ECO Motor.

Serena101

Adakah ia benar-benar mencukupi bagi memastikan prestasi MPV ini lancar? Bagi penulis, ia sekadar mencukupi untuk prestasi yang sederhana. Usah mengharapkan ia mampu memberikan prestasi yang luar biasa. Nama pun MPV, takkan anda mahu melenjannya ‘kaw-kaw’ atau secara agresif?

Jadi cukuplah dengan enjin berkapasiti itu, ia masih mampu menyerlah dan memberikan prestasi yang memuaskan. Malah ia juga tidak mendatangkan masalah untuk dipacu dengan kelajuan yang agak tinggi. Cuma terasa agak berat dan membuatkan anda kena memijak pedal pendikit lebih sedikit bagi mengerah enjin menghasilkan tenaga yang diingini.

Dipadankan dengan kotak gear XTRONIC CVT generasi terkini, penulis tiada masalah dengan penggunaannya. Kelancaran pertukaran gear juga boleh dikatakan lancar. Malah kotak gear ini didatangkan dengan ciri Adaptive Shift Control (ASC) yang membantu kelancaran pertukaran gear secara automatik.

Serena57

Bercakap mengenai sistem hibrid yang digunakan, ia juga menampilkan sistem Idling Stop yang mematikan enjin secara automatik apabila MPV ini berhenti dalam kesesakan lalu lintas atau pun lampu isyarat. Di mana enjin akan dihidupkan semula dalam tempoh 0.3 saat apabila pedal brek dilepaskan.

Mungkin ada sesetengah individu yang kurang gemar dengan sistem melahu (idling) ini. Tetapi tahukah anda, dengan adanya sistem ini, ia mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien. Malah Nissan turut mendakwa, Serena S-Hybrid berupaya mencapai penggunaan bahan api 15.2km per liter.

Cuma terdapat sedikit perkara yang mengganggu fokus pemanduan bila mana bunyi ngauman enjin kerap memasuki kabin terutamanya ketika ‘jantung’ MPV ini dikerah bagi bekerja lebih keras untuk mendapatkan kelajuan yang diingin.

Malah pengendaliannya juga terasa sedikit berat ketika hendak memotong kenderaan lain atau pun melalui jalan berbukit. Apatah lagi jika MPV ini dipenuhi dengan muatan penumpang serta kargo. Namun bagi penulis, ia perkara biasa bagi MPV seumpama ini. Faktornya sudah tentu berpunca daripada enjin berkapasiti 2.0 liter yang harus menampung beban kerangka yang agak besar ini.

Serena98

Walau bagaimana pun, kemantapan dan kestabilan masih dirasai biar pun bentuk kerangka ini tinggi dan berpetak. Pemanduan di dalam kelajuan yang sederhana mungkin mencetus kemantapan dan kestabilannya.

Sistem suspensinya dibantu dengan padanan topang Independent MacPherson untuk bahagian hadapan dan gandar Torsion bagi belakang banyak membantu memberikan kemantapan dan kestabilan yang lebih memuaskan.

Penulis menyenangi kawalan roda sterengnya, ia tidak berat dan juga tidak ringan. Masih mampu memberikan kepuasan di dalam pengendalian.

Dengan kerangka yang memiliki ukuran 4,770mm panjang, ketinggian 1,865mm, dan selebar 1,735mm, secara kesimpulannya, pengendalian Serena S-Hybrid tidaklah sukar. Malah jika mahu membuat pusingan U, ia mampu memberikan jejeri pusingan paling minimum sehingga 5.7m. Cuma adat bagi MPV sebesar ini bila hendak memarkirnya, sedikit payah dan memerlukan ruang yang agak luas. Namun ia tidaklah mendatangkan masalah.

Manakala mengenai tayarnya pula, mungkin anda beranggapan MPV ini menggunakan tayar bersaiz besar. Namun ia hanya menggunakan tayar bersaiz 195/60 R16 yang membaluti rim 16 inci. Berpadananlah…sekurang-kurangnya membuatkan MPV ini ‘kurang-berat’.

Serena56

Ops..sebelum terlupa, jika anda mahu membeli MPV ini, tiada ruang tayar simpanan disertakan. Sebaliknya hanya disediakan kit penampal tayar dan pam angin yang boleh digunakan jika tayar pancit. Penulis agak terkejut apabila diberitahu oleh PR ETCM mengenai perkara ini sewaktu mengambil MPV ini di pejabat mereka. Kalau berlakunya tayar pecah, nampak gayanya anda memerlukan bantuan dari peronda lebuh raya atau pun hubungi sesiapa yang boleh membantu anda mendapatkan tayar ganti.

Tidak mengabaikan aspek keselamatan, Nissan turut menampilkan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mendaki Bukit (HSA) dan dua beg udara (untuk bahagian pemandu dan penumpang di sebelah).

Jika dilihat daripada reka bentuk Serena S-Hybrid, ia tidaklah nampak sesolid kebanyakan MPV lain. Agak berpetak dan sedikit konvensional. Malah sejujurnya, penulis berpendapat tiada yang sangat istimewa yang boleh digambarkan bagi imej Serena S-Hybrid ini.

Bahagian hadapannya muncung berpetak dengan lampu utama halogen berwarna biru, lampu kombinasi LED berkeamatan tinggi dan dilengkapi gril radiator serta lampu kabus biasa. Pintu sisinya pula berkonsep pintu gelongsor yang dibuka secara elektronik dengan menggunakan kunci I-Key, butang yang diletakkan pada papan pemuka hadapan dan juga butang kecil yang terdapat pada panel pintu sisi. Konsep pintu gelongsor sebegini membuatkan Serena S-Hybrid seperti MPV mewah lain. Malah ia terdapat pada kedua-dua belah sisi kenderaan, secara tidak langsung memudahkan urusan keluar-masuk penumpang.

Serena76

Lampu belakangnya memanjang ke bahagian atas dengan pintu ruangan kargo yang tiada keluk (curve).

Namun imej yang ditonjolkan ini bukanlah bonus utama yang dipertaruhkan oleh Serena S-Hybrid. Selain daripada enjin hibrid, ruang dalaman yang luas dan fleksibel menjadi daya tarikan utama. Bagi MPV dengan harga sebegini, kelebihan ruang dalaman, keselesaan bila berada di dalamnya serta fleksibiliti yang ditonjolkan menjadi pakej paling berbaloi untuk memiliki Serena S-Hybrid ini.

Serena37

Seperti mana yang disebut pada awal artikel ini, Serena S-Hybrid mampu memuatkan lapan penumpang dalam satu masa dengan 14 konfigurasi tempat duduk. Tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh dilipat secara rata, dianjak ke bahagian tepi dan pelbagai lagi cara untuk mengoptimakan ruangnya.

Malah tempat perehat tangan di bahagian tengah antara tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelah boleh ditolak ke bahagian tempat duduk barisan kedua untuk dijadikan tempat duduk tambahan. Ia dikenali sebagai tempat duduk pintar.

Serena26

Jika tempat duduk barisan ketiga diubah konfigurasinya, maka ini memberikan lebihan ruang pada bahagian kargo. Jadi, kalau hendak membawa barangan (tanpa penumpang di bahagian tersebut), ia sangatlah bersesuaian. Kepelbagaian konfigurasi tempat duduk ini sangat menarik perhatian.

Bagi bahagian kokpit, susunan butang-butang kawalan pada papan pemuka kemas. Ia turut menampilkan Eco Driver Navigator bagi memberikan panduan kepada pemandu untuk memaksimumkan kecekapan bahan api. Antara elemen menarik yang ditampilkan termasuklah butang penghidup enjin, butang kawalan kelajuan pada roda stereng dan kawalan suhu automatik.

Serena33

Bagi memberikan keselesaan yang lebih optima buat penumpang, terdapat corong penghawa dingin pada bahagian sisi atas tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

Secara keseluruhannya, Serena S-Hybrid ini sangat sesuai untuk pengangkutan seisi keluarga. Prestasi dan pengendalian yang sederhana serta ruang dalaman yang begitu memuaskan termasuk fleksibiliti tempat duduknya, MPV ini boleh dipertimbangkan untuk dimiliki. Lupakan soal paras rupanya terutamanya rekaan luarannya yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

Pilihan warna Serena S-Hybrid ini ialah ungu gelap, hitam, putih dan perak. Manakala harga yang ditawarkan iaitu RM149, 515.30 (berserta insurans), ia juga hadir dengan waranti selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 (mana yang tiba terlebih dahulu).

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

3 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *