Akta cermin gelap sudah lapuk & perlu digubal semula?

By  |  0 Comments

TINTED2

Isu cermin gelap tidak pernah padam dan sering kali menjadi topik perbualan di kalangan pemilik kenderaan. Ada yang mengatakan penggunaan cermin gelap ini perlu sebagai penapis haba kerana cuaca Malaysia yang panas terik. Tak kurang juga ia adalah salah satu faktor keselamatan terutamanya bagi pemandu wanita.

Namun ada juga pemilik kenderaan yang memasang cermin gelap ini bagi membuatkan jentera kepunyaannya lebih tampil bergaya. Lagi gelap, lagi ‘macho’ gamaknya.

Apa pun, penggunaan cermin gelap ada pro dan kontra, mengikut keperluan dan kehendak individu masing-masing.

Walau bagaimana pun, seperti semua sedia maklum, penggunaan cermin gelap ada akta yang tersendiri iaitu mengikut undang-undang jalan raya yang telah termaktub buat sekian lama. Malah bermula 16 Jun ini, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal mengadakan operasi besar-besaran yang dipanggil ‘Ops Cermin Gelap’ di seluruh negara.

Di mana sebulan sebelum tarikh ‘keramat’ itu, pihak polis telah pun mengeluarkan amaran kepada pemilik kenderaan yang menggunakan cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi supaya menukar atau menanggalkannya sebelum operasi besar-besaran dijalankan mulai 16 Jun ini.

Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Superitendan Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff berkata pemilik diberi tempoh sehingga 15 Jun untuk berbuat demikian, sebelum kompaun RM300 dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

Dengan alasan, penggunaan cermin gelap dan nombor pendaftaraan tidak mengikut spesifikasi akan menyukarkan untuk mengecam suspek.

Berita mengenai operasi ini menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan pemilik kenderaan. Ada yang berpendapat, undang-undang yang termaktub ini kurang relevan untuk dipraktikkan pada masa sekarang, atau lebih tepat lagi, ‘sudah ketinggalan zaman’.

Malah isu ini turut menarik perhatian pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata secara peribadi beliau bersetuju larangan penggunaan cermin gelap untuk kenderaan dikaji semula.

Merujuk pada entri melalui Twitternya beberapa hari yang lalu, beliau berkata, mahu mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan mengenainya terlebih dulu.

Memetik kenyataan Timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, melalui akhbar Berita Harian, beliau juga menyatakan kesediaan Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji semula larangan penggunaan cermin gelap bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) dan van tanpa but.

Abdul Aziz berkata, beliau sudah meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengkaji semula larangan itu berikutan aduan orang ramai yang menyifatkan peraturan berkenaan tidak lagi sesuai atas beberapa faktor termasuklah keadaan cuaca negara ini yang panas dan juga punca peningkatan kes pecah kenderaan untuk mencuri barang di dalamnya.

Beberapa hari yang lalu juga, Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ telah pun membuat kenyataan rasmi seperti berikut;

Sukacita dimaklumkan bahawa, Jabatan ini mengambil maklum dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan tuan dalam isu cermin gelap. Untuk makluman tuan, peraturan mengenai cermin gelap diperuntukkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991. Di dalam kaedah tersebut menyatakan bahawa cermin hadapan perlu telus cahaya sebanyak 70% tetapi 20% daripada bahagian paling atas cermin hadapan tersebut adalah dikecualikan manakala cermin-cermin sisi hadapan dan belakang serta cermin belakang perlu telus cahaya sebanyak 50%.

Ini bermakna, pemilik-pemilik kenderaan dibenarkan untuk menggelapkan cermin kenderaan mereka tetapi mengikut kadar ketelusan cahaya sebagaimana yang ditetapkan.Sebagai makluman tuan, peraturan cermin gelap yang diguna pakai di peringkat antarabangsa adalah di bawah Reg.43 UNECE. Peraturan ini memperuntukkan cermin hadapan perlu telus cahaya sebanyak 75% dan tiada pengecualian kepada mana-mana bahagian kaca hadapan tersebut, cermin sisi pemandu dan sebelah pemandu perlu telus cahaya sebanyak 70% manakala cermin sisi belakang dan cermin belakang tidak dinyatakan tahap ketelusan cahaya kerana ia bergantung kepada persetujuan pengeluar kenderaan tersebut untuk meletakkan tahap ketelusan. Biasanya ia di nyatakan dengan simbol V. Contohnya: V30 bermakna tahap ketelusan yang dipersetujui oleh pengeluar kenderaan tersebut adalah sebanyak 30%.

Untuk makluman tuan juga, di negara-negara yang menjadi ahli kepada WP29 (World Harmonization For Vehicle Regulation) iaitu yang mengguna pakai Reg.43 UNECE, pengeluar kenderaan adalah bertanggungjawab kepada tahap ketelusan cahaya dan juga bertanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan akibat daripada cermin gelap yang dipersetujuinya.

Oleh sebab itu, terdapat perjanjian yang ditandatangani bersama di antara pengeluar kenderaan dan pihak insuran mengenai fasal kemalangan yang diakibatkan oleh cermin gelap tersebut. Malaysia telah pun menjadi ahli kepada WP29 tersebut dan telah menerima pakai peraturan-peraturan tersebut secara berperingkat. Di dalam perkara berhubung cermin gelap, Malaysia masih belum dapat melaksanakan peraturan tersebut sebagaimana negara-negara luar kerana pengeluar kenderaan masih belum ada perjanjian bersama dengan pihak insuran berkenaan fasal kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap kadar ketelusan cermin gelap.Berhubung perkara ada pihak yang dibenarkan untuk memasang cermin gelap, di dalam kaedah-kaedah kenderaan motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991 ada memperuntukkan mengenai pengecualian terhadap kenderaan yang digunakan untuk Yang di Pertuan Agong dan Permaisuri Agong, Sultan dan Sultanah, Hakim Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi, pegawai polis atau pegawai tentera yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara atau Ketua Turus Angkatan Tentera.

Kaedah tersebut juga memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk memberi pengecualian secara bertulis kepada mana-mana orang. Menteri Pengangkutan telah membuat garis panduan bahawa sesiapa yang memenuhi syarat dan benar-benar perlu boleh diberi pengecualian daripada peraturan kaca gelap. Faktor-faktor yang akan dipertimbangkan adalah berdasarkan isu keselamatan dan kesihatan.Bagi faktor keselamatan, pemohon perlu menulis surat kepada Ketua Polis Negeri mereka dan membuktikan terdapat isu keselamatan terhadap diri mereka atau keluarga mereka kerana kedudukan, pangkat, harta, persengketaan atau pernah menerima ancaman dan sebagainya. Di atas sokongan daripada Ketua Polis Negeri, Ketua Pengarah JPJ akan mempertimbangkan permohonan untuk kelulusan sebagaimana arahan daripada Menteri.

Bagi faktor kesihatan pula, pemohon perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai penyakit yang tidak boleh terdedah kepada sinaran matahari sama ada penyakit mata atau kulit dan sedang mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan dan laporan perubatan disahkan oleh doktor pakar di dalam bidang yang berkenaan. Penyakit yang dinyatakan mestilah merupakan salah satu penyakit yang terdapat di dalam senarai yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan tergolong dalam penyakit yang tidak boleh terdedah kepada sinaran matahari bagi membolehkan permohonan tersebut dipertimbangkan untuk kelulusan.

JPJ sememangnya mesra pengguna berhubung cermin gelap kerana apabila sesuatu kenderaan dikesan menggunakan cermin gelap, pemilik hanya diberi Notis PG1 iaitu notis larangan penggunaan kenderaan bagi membolehkan pemilik menanggalkan filem/plastik hitam atau menukar kepada cermin cerah dalam masa sepuluh hari. Kenderaan tersebut perlu dibawa ke mana-mana JPJ berhampiran bagi mempastikan pemilik telah mematuhi peraturan dan membolehkan notis larangan ditarik balik.

Notis saman tidak dikeluarkan kepada pemilik yang dikesan menggunakan cermin gelap kecuali kepada pemilik yang enggan mematuhi notis larangan tersebut. Untuk makluman tuan juga, Jabatan Pengangkutan Jalan pernah berhasrat untuk menurunkan kadar ketelusan di mana cermin hadapan perlu telus cahaya sebanyak 70% manakala cermin-cermin sisi hadapan dan belakang serta cermin belakang perlu telus cahaya sebanyak 40%.

Namun demikian, setelah Menteri Pengangkutan mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, banyak isu-isu penguatkuasaan yang perlu dipertimbangkan dan ditangani sekiranya kadar ketelusan sedia ada diturunkan.

Di antara isu yang di bangkitkan adalah:

(a) Menyukarkan pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam usaha menangani jenayah terutamanya yang melibatkan rompakan bersenjata, curi kenderaan, penculikan dan sebagainya. Cermin kenderaan yang terlalu gelap tentunya akan mendatangkan kesusahan kepada pihak PDRM di dalam tugas mereka mengenal pasti identiti pemandu dan penumpang serta barangan yang dibawa.

b) Menimbulkan kesusahan untuk mengesan pesalah-pesalah trafik terutamanya yang tidak memakai tali pinggang keledar keselamatan, pemandu dalam keadaan mabuk, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, memandu sambil meriba bayi atau anak kecil dan sebagainya.

c) Menyebabkan bahaya kepada pemanduan dan keselamatan di jalan raya kerana cermin gelap boleh mengelirukan pandangan sebenar pemandu terutamanya sewaktu hujan lebat dan pada waktu malam khususnya di tempat-tempat yang tidak mempunyai lampu jalan yang mana boleh mengakibatkan kemalangan. Kajian mengenai keselamatan pemanduan yang dilakukan oleh institusi-institusi keselamatan jalan raya diperingkat antarabangsa mendapati bahawa dalam keadaan biasa terdapat “blind spot” di mana pemandu tak dapat melihat kenderaan yang berada di lorong sebelah belakang kenderaannya, apa lagi jika kenderaan bercermin gelap. Pemandu yang memandu dibelakang kenderaan yang bercermin gelap juga akan jadi resah kerana tidak nampak apa yang ada di hadapan.

(d) Menggalakkan berlakunya pecah kenderaan terutamanya kenderaan mewah yang bercermin gelap kerana penjenayah mungkin beranggapan ada sesuatu yang berharga yang diletakkan di dalam kenderaan.Mengenai usul tuan tentang kesalahan-kesalahan lain yang mengundang kepada kemalangan jalan raya seperti tayar botak serta sikap pemandu sememangnya menjadi kesalahan utama yang dikenakan mata demerit dan boleh menyebabkan pemandu digantung atau dibatalkan lesen memandunya.

Modifikasi terhadap enjin tanpa kelulusan juga merupakan suatu kesalahan di bawah peraturan Kaedah-kaedah Pembinaan dan Kegunaan.Untuk makluman tuan seterusnya, JPJ tidak pernah memberi kelulusan kepada bas ekspres untuk memasang cermin gelap. Peraturan yang sama adalah terpakai kepada bas ekspres. Sebelum ini, Kementerian Pelancongan meminta kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk tidak mengambil tindakan ke atas bas-bas ekspres sempena tahun melawat Malaysia yang di lanjutkan sehingga tahun lepas.

Mengenai perbandingan dengan negara-negara maju, mereka di iktiraf sebagai negara maju bukan sahaja kerana kemajuan perindustrian dan ekomoni, malah kerana sikap dan mentaliti rakyat mereka juga adalah jauh lebih tinggi dari negara-negara membangun seperti Malaysia.

Contohnya, di Jepun dan Eropah, kesedaran mengenai keselamatan sememangnya menjadi perkara utama di dalam kehidupan harian mereka. Pemandu akan memakai tali pinggang keledar keselamatan sebaik sahaja bersedia untuk memandu, anak-anak mereka dididik untuk memakai tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk belakang dan ia telah diimplimentasikan semenjak tahun 70-an tanpa perlu dikuatkuasakan oleh badan penguatkuasa trafik kerana mereka mempunyai kesedaran mengenai tanggungjawab menjaga keselamatan.

Berbeza keadaannya di Malaysia di mana pemandu dan penumpang hanya akan memasang tali pinggang keledar keselamatan apabila ternampak anggota JPJ atau Polis. Di Eropah malahan juga Singapura, setiap kenderaan mempunyai alat seperti ‘smart tag’ yang ada di negara kita cuma tol mereka tidak mempunyai palang dan tiada siapa yang melakukan kesalahan melepasi tol tersebut jika tidak mempunyai ‘smart tag’ , senario ini amat berbeza sekali dengan negara ini. Ia adalah disebabkan rakyat di negara mereka sentiasa mematuhi setiap undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Untuk menuju ke arah itu rakyat Malaysia perlulah menanamkan sikap dan mentaliti yang sebegitu juga.

Untuk makluman tuan, Jabatan ini menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya, yang mana ianya telah digubal setelah dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta telah dipersetujui sebelum diwartakan menjadi undang-undang.

JPJ sentiasa mengkaji dan mengemaskini Akta dan Kaedah selari dengan keperluan dan kehendak semasa. Mengenai persoalan ‘nombor spray’ atau ‘nombor tidak timbul’ yang tuan utarakan, kenderaan Singapura menggunakan teknik yang mana nombor di emboss di atas plat dan ianya timbul. JPJ juga sedang mengkaji untuk melaksanakan sistem plat pendaftaran seperti Singapura dalam usaha memperketatkan penguatkuasaan sepertimana yang dilaksanakan oleh Singapura.

Sekian terima kasih.
Bahagian Penguatkuasa,
Ibu PejabatJabatan Pengangkutan Jalan
Putrajaya.

(Laporan ini dipetik melalui Forum Cari.com.my)

Melalui laporan Buletin Utama sebentar tadi, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk mengkaji semula aspek penggunaan cermin gelap, termasuk peraturan sedia ada, pengkuatkuasaan, keselamatan dan kepenggunaan.

Pemangku menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bahawa MOT sedia maklum mengenai pandangan dan maklum balas rakyat yang beranggapan peraturan dan undang-undang berhubung penggunaan cermin gelap ketinggalan zaman.

Di mana susulan daripada pandangan dan maklum balas ini, beliau ingin memaklumkan kementerian sedia mengkaji dan meminda semula peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan.

Beliau telah mengarahkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Long See Wool untuk menganjurkan bengkel khas bagi tujuan ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenai bengkel khas itu, Hishammuddin berkata, ia telah dijadualkan pada 2 dan 3 Jun ini, bertempat di Hotel Holiday Inn Glenmarie Shah Alam, dan akan dibahagikan kepada lima sesi.

Antara pengisian bengkel ini ialah melihat kembali standard ketelusan cahaya cermin gelap kenderaan berdasarkan peraturan antarabangsa sedia ada seperti ‘United Nation Vehicle Regulation R43 (Safety Glassing)’. Bengkel ini juga akan memperhalusi usaha memastikan pengguna dapat diupayakan dari segi maklumat dan kefahaman mengenai penggunaan cermin gelap.

Bengkel pertama dipengerusikan oleh JPJ untuk membincangkan peraturan sedia ada, bengkel kedua oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi mengkaji amalan penggunaan cermin gelap oleh negara-negara luar.

Manakala bengkel ketiga oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengkaji peraturan cerman gelap dari perspektif keselamatan dan jenayah.

Bengkel keempat pula akan dipengerusikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi membincangkan penguatkuasaan dan kawal selia penjualan cermin gelap di premis aksesori kenderaan dan yang terakhir oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membincangkan pengimportan kereta bercermin gelap dengan permit import (AP).

Justeru, sebagai pemilik kenderaan, kita kenalah menantikan keputusan pihak berkuasa mengenai undang-undang ini. Adakah ia akan digubal semula atau pun dikekalkan? Adakah pihak berkuasa bersedia untuk menggubal semula undang-undang ini mengikut keperluan semasa terutamanya melibatkan faktor cuaca dan keselamatan? Banyak faktor yang perlu diteliti jika mahu menggubal semula undang-undang ini. Namun diharap, pihak kementerian perlulah mengambil kira pendapat rakyat kerana ia melibatkan peranan semua pihak.

Berikut pula merupakan cara pemohonan bagi cermin gelap seperti mana yang disiarkan melalui laman web rasmi JPJ ;

Kaedah 5 (1) dan Kaedah 5 (3),Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000, menetapkan cermin cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70%, manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang dari 50%.

Pengecualian khas pemasangan cermin gelap
Pemasangan kaca gelap diberikan kepada orang-orang tertentu sahaja seperti di bawah kaedah 11(a) dan 11(b),Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Mana-mana orang yang tidak termasuk dalam kaedah 11(a) dan 11(b) yang menghadapi masalah kesihatan kulit terdedah atau dengan ancaman keselamatan boleh memohon pengecualian khas untuk pemasangan khas untuk pemasangan cermin gelap.

Pemilik atau pemandu kenderaan yang tidak mematuhi kaedah ini akan dikenakan denda:
1. Tidak melebihi RM 500.00 atau penjara tidak melebihi 2 minggu untuk kesalahan pertama;dan
2. Tidak melebihi RM 1000.00 atau penjara tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.

Cara-cara memohon
Pemohon perlu membuat permohonan secara bertulis kepada Pengarah Penguatkuasa JPJ Malaysia dan hendaklah mengisi Borang CG1 yang boleh didapati daripada mana-mana JPJ Negeri secara percuma. Semua permohonan perlu disertakan dengan dokumen-dokumen berikut :-
1. Salinan kad pengenalan dan kad Pendaftaran Kenderaan  yang telah disahkan.
2. Surat pengesahan daripada Pakar Perubatan Kerajaan termasuk rekod-rekod Perubatan yang terkini.
3. Bagi permohonan untuk tujuan keselamatan sertakan dokumen sokongan daripada Ketua Polis Negeri.

Kelulusan
Semua permohonan akan diproses dan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan untuk kelulusan.

Tempoh
Tempoh kelulusan penggunaan cermin gelap adalah satu tahun sahaja dan perlu diperbaharui.

Pembaharuan
Permohonan memperbaharui kelulusan cermin gelap hendaklah dibuat tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh kelulusan dengan menyertakan dokumen berikut:
1. Borang CG1 yang telah diisi dengan lengkap.
2. Salinan kad pengenalan dan Kad Pendaftaran yang telah disahkan.
3. Surat pengesahan daripada Pakar Perubatan Kerajaan serta rekod-rekod Perubatan yang terkini (bagi tujuan kesihatan).
4. Surat sokongan daripada Ketua Polis Negeri (bagi tujuan keselamatan).
5. Salinan Sijil Kelulusan Cermin Gelap.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *