Maserati Ghibli sudah berada di Malaysia

By  |  0 Comments

Ghibli57

Bagi memperhebatkan lagi industri automotif tempatan, NAZA Italia telah pun membawa masuk model Maserati Ghibli ke Malaysia. Menyertai barisan jentera mewah lain di dalam segmen-E ini turut menawarkan pengendalian yang berkualiti dan prestasi yang memberangsangkan.

Majlis pelancaran yang berlangsung pada pagi tadi turut dihadiri oleh Pengurus Produk Maserati S.p. A, Timbalan Presiden Divisi Strategi Pelaburan Korporat NAZA World, Datuk Maruan Mohd Said dan Pengurus Besar NAZA Italia Sdn Bhd, Wan Ahmad.

Jentera sedan sport eksekutif empat pintu ini pasti pantas menarik perhatian ramai dengan gaya yang ditampilkan. Ditawarkan dengan dua varian iaitu Ghibli dan Ghibli S, ia dijanakan oleh enjin baharu iaitu 3.0 liter pengecas turbo V6 dengan padanan transmisi automatik ZF lapan kelajuan.

Ghibli22

Varian Ghibli S mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 410 hp. Malah ia juga mampu mencatatkan masa 5.0 saat daripada titik sifar sehingga ke 100km/j dan kelajuan maksimum pula sehingga 285 km/j.

Manakala Ghibli pula berkeupaya memuntahkan kuasa sehingga 330 hp dengan catatan kelajuan maksimum sehingga 263 km/j. Ia juga mampu mencatatkan masa 5.6 saat daripada titik sifar sehingga 100km/j.

Ghibli54

Maserati Ghibli turut menerima pengiktirafan lima bintang daripada ujian pelanggaran Euro NCAP.

Ghibli mengetengahkan imej klasik pada rekaan luarannya bagi menyerlahkan lagi personaliti penuh bermakna. Ditambahkan pula dengan padanan gril hadapan dan lampu utama yang menyerlahkan gaya keanggunan Ghibli. Malah rekaan gril hadapannya juga diilhamkan daripada model ikonik A6 GCS yang dikeluarkan sekitar tahun 50-an. Manakala bentuk lampu utamanya menumpukan perhatian pada simbol Trident dengan setiap sudutnya mampu menarik perhatian.

Bagi bahagian kabin, segenap ruang menerima sentuhan penuh kemewahan dan elegan. Namun ruang kokpitnya diinspirasikan daripada rekaan papan pemuka berimejkan sporty dan karakter yang lebih segar.

Antara elemen dalaman yang menjadi daya tarikan utama ialah penampilan Kawalan Sesentuh Maserati bersaiz 8.4 inci dan kekemasan kulit Poltrona Frau® bagi ruangan kabinnya.

Ghibli34

Selain itu, terdapat juga elemen pilihan tambahan termasuklah 15 pembesar suara Bowers & Wilkins dengan sistem audio terbaik, WLAN bagi WiFi serta beberapa pilihan mengikut cita rasa individual.

Maserati Ghibli dan Ghibli S ditawarkan pada harga antara RM538,800 dan RM628,800 termasuk cukai import. Setiap pembelian turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun dan pakej penyelenggaraan sehingga 60,000km.

Spesifikasi :
Enjin : 3.0L 60°V6
Transmisi : Kotak gear automatik ZF 8-kelajuan
Kuasa maksimum : 330 hp
Tork maksimum : 500 Nm
Kelajuan maksimum : 263 km/j

Ghibli S
Enjin : 3.0L 60°V6
Transmisi : Kotak gear automatik ZF 8-kelajuan
Kuasa maksimum : 410 hp
Tork maksimum: 550 Nm
Kelajuan maksimum: 285 km/j

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *