Nissan Teana baharu : Apa spesifikasi menarik yang ditampilkan?

By  |  0 Comments

J32_Nissan_Teana_2013_001

Menjelang pelancaran Nissan Teana serba baharu yang bakal berlangsung pada minggu pertama Jun ini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mendedahkan elemen menarik yang ditampilkan pada model sedan ini. Malah ia juga boleh dianggap sebagai daya tarikan yang dipertaruhkan pada Teana serba baharu ini.

Teana serba baharu ini didatangkan dengan dua varian enjin 2.0 liter (2.0XL & 2.0XE) dan satu varian enjin 2.5 liter (2.5XV). Untuk varian 2.0 liter, ia masih menggunakan enjin seperti mana model sebelumnya. Namun bagi varian 2.5 liter, Teana menerima padanan enjin QR25DE serba baharu yang telah diberi penambah baikan. Di mana enjin penuh berkuasa ini disertakan dengan sistem C-VTC Berkembar (Twin Continuosly Variable-valve Timing) yang berfungsi dipadankan dengan pelbagai kondisi enjin. Malah pada masa yang sama, ia mampu mengoptimakan penjimatan bahan api.

L33_Nissan_Teana_2014_019

Bagi memantapkan lagi prestasinya,ia juga dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT generasi terbaharu yang mampu menawarkan penjimatan bahan api, pecutan dan ketahanan yang lebih baik berbanding dengan kotak gear konvensional automatik. Menurut Nissan sebanyak 70 peratus komponen bagi transmisi ini telah diberi rekaan semula.

Berdasarkan Data Dalaman Nissan, transmisi CVT yang dipadankan ini mempunyai kelebihan daripada segi penjimatan bahan api terutamanya jika melibatkan pemanduan di dalam bandar. Di mana Nissan mendakwa, bagi varian 2.0, penjimatan bahan apinya mencatatkan penggunaan 13.5 km bagi setiap liter. Manakala bagi varian 2.5 pula, ia dicatatkan sebanyak 13.3 km bagi setiap liter.

Tanpa pengendalian yang mantap, sudah tentu prestasi yang ‘superb’ seakan kurang serinya.Maka, Nissan tidak berkompromi soal pengendalian terutamanya bagi sistem suspensi yang mantap. Bagi Teana serba baharu, sistem suspensi yang ditampilkan lebih rendah dan direka untuk meningkatkan kelancaran pemanduan.

Dengan cakera Ventilated di bahagian hadapan dan cakera Solid untuk belakang, sistem suspensi ini memberikan kestabilan yang lebih optimum dan daya cengkaman di atas jalan dengan lebih baik. Bukan itu sahaja, ia juga membantu menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan meyakinkan ketika melalui selekoh.

L33_Nissan_Teana_2014_024

Teana baharu juga tampil dengan stereng kuasa Elektro-Hidraulik (EHPS) yang menawarkan sofistikated dengan pengalaman pengendalian yang lebih lancar. Hasilnya, penguasaan stereng akan dirasai lebih meyakinkan dan lancar terutamanya jika melibatkan kelajuan yang tinggi serta membantu ketika kenderaan mahu diparkir. Malah menerusi penggunaan kuasa elektrik, ia juga mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

Pengendalian Teana serba baharu ini juga dibantu dengan kehadiran Kawalan Understeer Aktif (AUC) yang membolehkan pemandu mengambil selekoh dengan mudah dan memberikan rasa stereng yang meyakinkan. Ia juga sangat efektif dengan pelbagai kondisi jalan termasuk licin, basah, atau berpasir.

Di mana AUC menggunakan logik kawalan pintar dan penggerak brek dengan penuh responsif untuk membrek pada bahagian dalam roda hadapan ketika membelok. Menggunakan sistem kawalan cengkaman sebagai asas, pergerakan AUC hampir tidak dapat dikesan apabila ia beroperasi.

TeanaDrive20

Bukan itu sahaja, Teana serba baharu ini juga memberikan pemanduan yang lebih selesa dengan mengurangkan getaran dan bunyi bising pada beberapa bahagian. Ia melibatkan bahagian seperti rangkaian kuasa (power train mount) yang diberi reka bentuk baharu termasuklah untuk ekzos.

Begitu juga dengan sistem pendingin hawa (HVAC) yang juga telah diberi penambah baikan. Malah ketegaran kerangka model ini juga dipertingkatkan dan turut diterapkan dengan material penyerap bunyi bising baharu sebanyak 30 peratus termasuk pada bahagian kekemasan bumbung, panel instrumen dan pelapik lantai.

Bagi menambahkan lagi keselesaan yang lebih optimum, rekaan tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelah yang diinspirasikan daripada “Graviti Sifar” telah diadaptasikan. Di mana ia menampilkan bentuk tempat duduk bersendi baharu dengan sokongan berterusan dari kawasan pelvis hingga ke dada. Malah tempat duduk ini juga membantu mengurangkan beban pada otot, tulang belakang dan memberikan pengaliran darah yang lebih baik. Sekali gus membantu mengurangkan kepenatan jika melibatkan pemanduan dalam tempoh yang lama.

L33_Nissan_Teana_2014_039

Malah tempat duduk ini juga menyerap getaran kerana ia mempunyai lapisan busa tambahan. Berbanding tempat duduk biasa dengan uretena yang hanya mampu menampung berat penumpang dan memberikan getaran yang kurang menyenangkan.

Juga tidak berkompromi soal aspek keselamatan, Nissan turut menampilkan beberapa elemen penting berkenaan dengannya pada model ini. Antaranya Hill Start Assist (HSA), ABS, EBD, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan enam beg udara.

Manakala bagi infotainmen pula, sistem audio premium BOSE dengan sembilan pembesar suara turut ditampilkan bagi memberikan pengalaman bunyi yang lebih menguja.

L33_Nissan_Teana_2014_043

Lain-lain elemen yang juga ditampilkan pada Teana serba baharu ini ialah sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kawalan penghawa dingin berkembar dan bumbung matahari (untuk varian 2.5XV sahaja).

Berkenaan dengan imej yang dipersembahkan pada bahagian luaran dan dalaman, Info Kereta akan mengulasnya pada artikel pandu uji akan datang.

Teana serba baharu ini juga sudah dibuka tempahan bermula semalam. Untuk melihat lebih dekat model sedan ini, sila kunjungi mana-mana bilik pameran Nissan berhampiran.

Spesifikasi 2.5XV
Enjin : 2.5 liter DOHC, 4-silinder sebaris, 16-injap, CVTC Berkembar
Transmisi : XTRONIC CVT
Kuasa maksimum : 173 PS @ 6,000 rpm
Tork maksimum : 234 Nm @ 4,000 rpm
Sistem suspensi : Topang MacPherson dengan penstabil (hadapan)/Multi-link dengan penstabil (belakang)
Sistem brek : Cakera Ventilasi (hadapan/belakang)
Jarak pusingan (m) : 5.7
Tayar : 215/55R 17
Ukuran kerangka (mm): 4,885 (P) x 1,830 (L) x 1,485 (T) / Jarak roda 2,775mm
Berat bersih (kg) : 1517
Kapasiti tangki bahan api : 65 liter

Spesifikasi 2.0XL
Enjin : 2.0 liter liter DOHC, 4-silinder sebaris, 16-injap, CVTC
Transmisi : XTRONIC CVT
Kuasa maksimum : 136 PS @ 5,600 rpm
Tork maksimum : 190 Nm @ 4,400 rpm
Suspensi : Topang MacPherson dengan penstabil (hadapan)/Multi-link dengan penstabil (belakang)
Sistem brek : Cakera Ventilasi (hadapan/belakang)
Jarak pusingan (m) : 5.5
Tayar : 215/60R 16
Ukuran kerangka (mm) : 4,885 (P) x 1,830 (L) x 1,485 (T) / Jarak roda 2,775mm
Berat bersih (kg) : 1456
Kapasiti tangki bahan api : 65 liter

Spesifikasi 2.0XE
Enjin : 2.0 iter DOHC, 4-silinder sebaris, 16-injap, CVTC
Transmisi : XTRONIC CVT
Kuasa maksimum : 136 PS @ 5,600 rpm
Tork maksimum : 190 Nm @ 4,400 rpm
Suspensi : Topang MacPherson dengan penstabil (hadapan)/Multi-link dengan penstabil (belakang)
Sistem brek : Cakera Ventilasi (hadapan/belakang)
Jarak pusingan : 5.5
Tayar : 215/60R 16
Ukuran kerangka (mm) : 4,885 (P) x 1,830 (L) x 1,485 (T) / Jarak roda 2,775mm
Berat bersih (kg) : 1447
Kapasiti tangki bahan api : 65 liter

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *