Ford Fiesta 1.0L EcoBoost baharu dilancarkan – Harga RM93, 888

By  |  0 Comments

Ford Fiesta EcoBoost_02

Pasti ramai yang menantikan ketibaan kereta kompak buatan Ford ini ke negara kita. Hari kedua bulan Mei 2014, Ford mengumumkan mereka telah pun melancarkan Ford Fiesta 1.0L EcoBoost baharu dan kini telah pun dipamerkan di bilik pameran Ford di Semenanjung Malaysia dan akan berada di Sabah dan Sarawak pada bulan hadapan.

Untuk model ini, Ford telah memadankannya dengan enjin 1.0 liter tiga silinder EcoBoost yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 125 PS pada 6,000 rpm dan tork puncak 170Nm pada 4,500 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan PowerShift. Malah ia juga mencatat penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya sekitar 5.3L/100 km dan emisi CO2 enjin petrol 121g/km.

Teknologi EcoBoost Ford menggabungkan teknologi pancitan terus bahan api, pengecas turbo dan pemasaan injap boleh ubah yang membolehkan enjin kecil ini menjana kuasa dan prestasi yang menyaingi sebuah enjin petrol tradisional bersesaran 1.6L serta penjimatan bahan api dan tahap emisi terbaik dalam kelasnya.

Malah enjin 1.0L EcoBoost ini merupakan yang paling kecil dalam keluarga enjin EcoBoost global Ford yang kian berkembang dan yang ketiga diperkenalkan oleh Ford di Malaysia. Ia juga telah dinobatkan sebagai enjin terbaik di peringkat antarabangsa 2013 (2013 International Engine of The Year) iaitu salah satu anugerah berprestij antarabangsa untuk tahun 2012 dan 2013.

Ford Fiesta EcoBoost_04

Keputusan Ford menggantikan enjin besar dengan enjin EcoBoost yang bersesaran lebih kecil merupakan salah satu cara Ford menyatakan komitmen terhadap teknologi hijaunya. Ia menyeimbangkan kemampuan dan tanggungjawab ke atas alam sekitar dengan anggaran peningkatan tahap penjimatan bahan api lebih 20 peratus serta pengurangan emisi karbon dioksida sebanyak 15 peratus.

Ford Fiesta 1.0L EcoBoost baharu menawarkan pakej keselamatan yang paling komprehensif dalam kelasnya. Ini termasuklah tujuh beg udara iaitu untuk pemandu dan penumpang hadapan, sisi, curtain serta beg udara pada lutut pemandu. Ciri-ciri keselamatan lain yang turut diterapkan termasuklah Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Hill Launch Assist, ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA).

Ford Fiesta EcoBoost_01

Malah Ford Fiesta 1.0L EcoBoost ini turut tampil dengan Ford SYNC™ bagi fungsi sambungan bebas tangan menerusi Bluetooth dan USB, Rear Parking Aid dengan Park Pilot, penggilap cermin dengan alat pengesan hujan, sistem kemasukan pintar tanpa kunci dengan butang penghidup enjin (push start button) Ford.

Kereta kompak ini juga tampil dengan imej luaran yang lebih menarik dan tampak sporty. Padanan lampu utama reflektor halogen dengan fungsi automatik ‘Home Safe Lighting’, lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang, rim aloi bersaiz 16 inci dan kit badan penuh menyerlahkan lagi gaya luaran Ford Fiesta 1.0L EcoBoost ini.

Ditawarkan pada harga RM93,888, Ford Fiesta 1.0L EcoBoost baharu di Malaysia hadir dalam varian Sport+ lima pintu serta tiga warna popular – putih (Artic White), hitam (Panther Black) dan merah (True Red).

Seperti mana semua model Ford, Fiesta baharu hadir bersama Pelan Servis Lanjutan Ford (ESP) iaitu program penyelenggaraan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 60,000km yang meliputi kos alat ganti dan buruh secara percuma.

Sebagai tambahan kepada pemeriksaan rutin dan servis penyelenggaraan, ESP Ford turut melibatkan penggantian percuma untuk sejumlah barangan terpilih seperti palam pencucuh, penyerap hentak, tali sawat enjin, pad brek dan bilah penggilap cermin.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *