Proton perlu dibantu bagi terus mampu bersaing?

By  |  0 Comments

Proton Suprima S

Seperti yang sedia maklum, Proton, biar pun dilanda begitu banyak kontroversi terutamanya sejak tiga empat tahun kebelakangan ini, namun pengeluar kenderaan nasional ini, belum patah semangat dan masih gigih meneruskan perjuangan. Malah kerajaan Malaysia sendiri iaitu menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, masih memberikan sokongan padu buat Proton bagi memastikan ia mampu meneruskan persaingan.

Memetik kenyataan yang disiarkan oleh BERNAMA, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, biarpun mengalami sedikit kemerosotan namun Proton Holdings Berhad akan tetap terus mengeksport model kenderaannya ke pasaran luar negara.

Walau bagaimana pun, Proton akan menjalankan semakan semula ke atas strategi eksport dan dengan optimistik yakin mampu mencapai jualan yang lebih memberangsangkan dengan pengeluaran beberapa model dan variasi baharu bagi pasaran tempatan dan luar negara.

TokPa

Menurut Mustapa lagi, setakat ini Proton telah mengeksport pelbagai model kereta nasional ke 20 buah negara antaranya Australia, Indonesia, Mesir dan Brunei.

Mustapa mengeluarkan kenyataan ini bagi menjawab soalan Senator Baharudin Abu Bakar di Dewan Negara pada Isnin lalu mengenai model Proton di luar negara, adakah ia membawa keuntungan serta mengenai prestasi eksport kereta nasional itu bagi tahun 2011 sehingga 2013.

Bagaimana pun, terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada kemerosotan penjualan kereta nasional di luar negara iaitu persaingan sengit, penjualan dalam skala kecil serta perubahan pengurusan dan pemilikan Proton yang sebelum ini dikendalikan Khazanah Nasional Bhd.

ProtonCarnival04-1024x682

Sebagai makluman, pada Januari 2012, DRB-Hicom telah membeli kepentingan 42.7 peratus dalam Proton daripada Khazanah Nasional Bhd pada harga RM1.29 bilion.

Malah Mustapa turut memberitahu, trend pengeksportan model kereta Proton mencatatkan penurunan dari tahun ke setahun di mana pada tahun 2011 syarikat pengeluar kereta nasional itu mengeksport 16,189 unit, 13,311 unit (2012) dan menurun tahun lepas kepada hanya 5,937 unit.

KhamilJamil-850x469

Dalam masa yang sama, Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd Khamil Jamil turut membuat kenyataan bahawa kemerosotan jualan Proton ini bukan sahaja disebabkan persaingan sengit daripada pengeluar kenderaan lain. Bahkan ia turut didorong oleh faktor persepsi orang ramai termasuk dari kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Kenyataan daripada Khamil telah pun disiarkan menerusi Business Times juga pada Isnin yang lalu.

Walau pun telah melancarkan model yang dinanti-nanti iaitu Preve dan Suprima S, serta Saga SV dan Persona SV, namun Proton hanya mencatatkan jualan sebanyak 138,753 unit pada tahun lalu, berbanding 141,120 unit pada tahun sebelumnya.

Menurut Khamil ketika ditemui media sempena pelancaran Pusat 4S Lotus di Beijing, “Ramai yang membeli kenderaan Proton di atas kepercayaan mereka terhadap produk dan teknologi yang ditampilkan. Namun, masih ada segelintir yang berkata kenderaan Proton mahal biar pun ia merupakan produk buatan tempatan. Adalah agak mustahil untuk menurunkan harga kenderaan Proton kerana ia melibatkan kos pengeluaran.”

Malah Khamil turut berpendapat, beliau kurang memahami mengapa orang ramai khususnya rakyat Malaysia sendiri yang kurang menyokong produk buatan tempatan. “Lihat sahaja rakyat Jepun yang begitu menyokong syarikat pengeluar kenderaan mereka. Begitu juga dengan rakyat Korea Selatan, yang bangga dengan pengeluar produk tempatan seperti Samsung dan Daewon.”

Atas desakan pasaran tempatan, Khamil turut berkata Proton sedang mencari jalan untuk mengurangkan kos selagi termampu termasuklah dalam daripada segi alat ganti kenderaan. Ia dilihat sebagai salah satu cara untuk meningkatkan skala ekonomi, sekali gus menawarkan harga kenderaan yang lebih kompetitif.

Tambahnya lagi, “Keuntungan Proton semakin menurun disebabkan faktor peningkatan kos pengeluaran. Sebagai contoh, untuk Saga SV 1.3, keuntungan bersih yang dicatatkan hanyalah di bawah RM500 bagi seunit dan ia suatu perkara yang mengejutkan.”

proton-preve-ancap-630x369

Berkenaan dengan persepsi masyarakat pula, Khamisl berkata Proton harus terus menghasilkan produl yang mampu milik, termasuk menampilkan lebih banyak elemen keselamatan. “Teknologi terbaharu kami memang banyak memfokuskan berkenaan dengan keselamatan penumpang, termasuk menghasilkan teknologi di mana enjin boleh ‘tercabut’ daripada bahagiannya disebabkan impak akibat kemalangan (merujuk kes kemalangan yang melibatkan Proton Preve di Lebuh raya Pantai Timur pada Januari lalu). Ia bagi mengurangkan risiko kematian.”

“Kami mempunyai barisan jurutera dan pereka yang bertaraf tinggi yang bekerja untuk model buatan Proton. Namun, hari ini, kami banyak mendengar pelbagai komplen mengenai produk Proton.”

Walau bagaimana pun, perkara ini tidak mematahkan semangat Proton untuk terus berjuang dalam industri automotif. Sebaliknya terus gigih mencari peluang untuk melebarkan pasaran luar negara. Buat setakat ini, walau pun telah mengeksport ke 25 buah negara, namun Proton mahu lebih memfokuskan pasaran di UK, Australia dan Egypt.

Dalam masa yang sama, Proton turut mahu mengembangkan pasaran di China. Buat masa sekarang, Proton telah pun menjalinkan usaha sama strategi dengan Youngman sejak tahun 2007. Di mana Proton telah dibayar royalti daripada Youngman sebagai pertukaran enjin CamPro dan model CKD dari Persona dan Gen2 untuk menghasilkan beberapa model Youngman termasuklah Youngman Lotus L3.

youngman-L3-2-630x407

Malah Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa Proton dalam perancangan untuk membangunkan model kenderaannya di China, yang didorong atas kejayaan yang dilakar oleh Lotus di negara berkenaan.

“Walau bagaimana pun, untuk memasuki pasaran China, kami memerlukan syarikat pengeluar kenderaan dari sana dan ia turut melibatkan kos pelaburan yang sangat besar. Untuk itu, kami sedang mencari rakan kerjasama bagi merealisasikan hasrat ini,”ujar mantan Perdana Menteri lagi.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *