Volkswagen Jetta versi CKD dilancarkan -Harga RM131k

By  |  0 Comments

JettaCKD17

Lintas langsung dari Damansara DPac, Damansara Perdana!

Petang ini yang disusuli dengan hujan renyai-renyai, Volkswagen Group Malaysia (VGM) dengan kerjasama DRB-Hicom Berhad, telah melancarkan model Volkswagen Jetta unit pemasangan tempatan (CKD).

Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, Volkswagen Jetta pantas menerima sambutan yang menggalakkan di pasaran Malaysia. Malah ia merupakan antara model sedan bersaiz sederhana yang terbaik berada di pasaran tempatan. Ekoran sambutan yang memberangsangkan itu mendorong pihak VGM dan DRB-Hicom sepakat untuk memperkenalkan unit CKD ini.

JettaCKD03

Ia diproduksi di kilang pemasangannya di Pekan, Pahang dan ini merupakan model VW ketiga bagi unit CKD selepas Passat, Polo sedan, dan Polo hatchback.

Menurut Pengarah Urusan VGM, Christoph Aringer, “Jetta menawarkan aspirasi dan inspirasi pemanduan yang melambangkan ketangkasan, elegan dan hadir dengan aspek keselamatan tanpa kompromi. Malah ia juga menjamin penjimatan bahan api
yang efisien.”

JettaCKD01

“Unit CKD Jetta ini juga membuktikan komitmen kami di dalam menawarkan kenderaan dengan harga berpatutan seperti mana yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia yang mahukan kenderaan berkualiti tinggi dengan hasil kejuruteraan Jerman.”

Di bawah hud model ini, dipadankan dengan enjin 1.4 liter TSI pengecas berkembar yang mampu mengekspresikan kuasa maksimum 160 PS pada 5,800 rpm dan tork puncak 240 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm. Menjadikan ia sebagai antara kenderaan yang paling berkuasa di bawah segmen-C.

JettaCKD33

Jetta juga turut dipadankan dengan kotak gear DSG direct shift tujuh kelajuan. Ia mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 100km/j dengan catatan masa 8.3 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 221km/j.

Walau pun memiliki prestasi yang dianggap sporty, namun Jetta turut menawarkan penjimatan bahan api yang efisien iaitu 6.0 liter untuk setiap 100km (atau 16.7km per liter) mengikut standard Euro 5.

Ternyata Jetta bagi unit CKD ini tidak menerima sebarang perubahan daripada sudut mekanikal kerana ia masih sama dengan unit CBU.

Namun untuk membuatkan ia tampil dengan sedikit kelainan, VW telah membawa sedikit perubahan untuk model CKD ini. Di mana ia dilengkapi dengan unit radio baharu iaitu RCD 320 menggantikan sistem multimedia RCD 310. Ia turut mempunyai sambungan Bluetooth, slot kad-SD, USB, AUX dan iPod. Sistem audio ini turut dipadankan dengan enam pembesar suara.

Malah ia juga tampil dengan tiga butang kawalan penghawa dingin berbanding hanya dua bagi model CBU.

Selain daripada itu, lain-lain elemen yang turut ditampilkan pada Jetta unit CKD ini masih sama seperti model CBU.

DSC_5369

Antaranya roda stereng, pemegang brek tangan dan tombol gear balutan kulit, konsep dekorasi dalaman “Black Pyramids” pada papan pemuka dan kekemasan pada panel pintu.

Elemen lain yang turut ditampilkan pada Jetta ialah cermin pandang belakang anti silau automatik, kawalan kelajuan, cermin tingkap berkuasa automatik, ruang penyimpanan barang di bahagian bawah papan pemuka dengan fungi penyejukan, dan ruang kargo berkapasiti 510 liter. Namun untuk unit CKD ini, ia tidak menampilkan pedal penukar gear seperti mana yang terdapat pada model CBU.

Bagi keselesaan yang lebih optimum pada pemandu dan para penumpang, tempat duduk balutan fabrik ‘Sienna’ menjadi pilihan. Malah tempat duduk belakang juga boleh dilipat dalam nisbah 60:40 untuk memberi lebihan ruang kargo.

Berkenaan dengan imej luaran, ia juga masih sama dengan Jetta unit CBU. Ia masih tampil dengan rekaan dinamik dengan padanan rim aloi bersaiz 16 inci, jeriji krom dan paip ekzos berkembar. Malah turut dipadankan lampu utama halogen dengan fungsi automatik ‘Leaving Home’ dan pelarasan manual ‘Coming Home’.

Jetta turut dilengkapi dengan Kawalan Jarak Parkir (PDC) untuk bahagian belakang dan hadapan dan cermin sisi pelarasan elektronik bagi memudahkan pemandu terutamanya ketika memarkir kenderaan.

JettaCKD04

Bagi aspek keselamatan, Jetta turut dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Keselamatan Elektronik (ESC), ABS, BA, Hill-hold Control, Isofix dan pengesan hujan.

Memiliki empat pilihan warna iaitu Candy White, Platinum Grey, Reflex Silver dan Deep Black, Jetta ditawarkan pada harga RM130,888 seunit (tanpa pendaftaran dan insurans). Ia boleh didapati di semua bilik pameran Volkswagen di seluruh Semenanjung Malaysia bermula 2 Mei ini.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *