Mitsubishi Pajero Sport VGT lasak & ekstrem

By  |  1 Comment

Cover

Memandu kenderaan lasak seperti Mitsubishi Pajero Sport VGT ini tidak dinafikan memang cukup menyeronokkan jika dilenjan di off-road. Namun kepuasan pemanduannya masih juga menyerlah di permukaan jalan biasa termasuk di lebuh raya.

Mantap, stabil dan berkuasa, itu antara tiga perkataan yang boleh digambarkan buat jentera yang dipadankan dengan enjin 2.5 liter ini. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 178 PS pada 4,000 rpm dan tork puncak 350 Nm pada 1,800 hingga 3,500 rpm. SUV ini menggunakan sistem pacuan 4WD dan secara tidak langsung membuatkan pemanduan lebih memuaskan.

PajeroSport26

Pada awal permulaan untuk membiasakan diri mengendalikannya, terasa jentera ini sedikit berat. Apatah lagi jika ia dipacu pada kelajuan perlahan dan kemudian sederhana. Namun apabila 15 minit bersamanya, terasa kesesuaian itu sudah tercipta. Maka, pedal pendikit ditekan lebih sedikit untuk meningkatkan kelajuannya. Sekali gus mencabar jentera ini untuk melampiaskan kuasa yang disembunyikan pada awalnya.

Malah, padanan kotak gear automatik INVEC-ll lima kelajuan yang turut disertakan dengan mod Sport memudahkan lagi pengendalian Pajero Sport VGT ini. Pertukaran gear secara automatiknya lancar setelah memasuk gear ketiga dan keempat. Tetapi bermula agak perlahan ketika gear satu dan dua, membuatkan enjin kedengaran sedikit mengaum seolah menagih gear bertukar lebih cepat. Namun ia sedikit pun tidak membentuk kegusaran.

PajeroSport63

Dan jika memilih mod Sport, ledakan enjin Pajero Sport VGT ini kian ‘menggila’. Membentuk suatu rasa yang sedikit agresif untuk melenjan jentera ini lebih lasak. Apatah lagi apabila memilih untuk ‘bermain’ dengan pedal penukar gear magnesium di belakang stereng. Ia menambahkan suatu rasa yang cukup memuaskan ketika mengemudi jentera ini.

Pajero Sport VGT ini turut dilengkapi dengan sistem Mitsubishi Motor Super Select 4WD untuk kendalian pemanduan secara lasak terutamanya di off-road. Ia mempunyai tuil gear yang menawarkan mod 2H, 4H, 4HLc dan 4LLc mengikut corak permukaan jalan yang dilalui.

Penulis sempat cuba melenjan Pajero Sport VGT ini melalui lopak-lopak dan jalan beralun ketika merentasi sebuah tapak pembinaan, kemudian memasuki estet kelapa sawit. Kekok sedikit memandangkan jentera ini bersaiz besar (sedangkan penulis bersaiz umpama pelajar sekolah), tetapi itu bukan halangan. Sebaliknya penulis makin seronok bermain dengan pedal pendikit, brek dan stereng. Ternyata Pajero Sport VGT ini cukup seronok dikemudikan dengan pemanduan yang lasak dan mendebarkan.

Ketika melalui lopak-lopak air dan permukaan jalan yang tidak rata, lantunan kerangka jentera ini masih membuatkan penulis berasa selesa. Tidak begitu melantun dan membuai. Tatkala ini, jentera terasa agak berat tetapi membantu mengelakkan rasa lambungan atau lantunan yang mungkin boleh memuntahkan semula isi perut.

Ini bermakna, kerangka yang dipadankan dengan sistem suspensi double wishbone dilengkapi gegelung spring serta palang penstabil pada bahagian hadapan serta 3-link juga bersama gegelung spring dan palang penstabil untuk belakang sangat membantu menstabilkannya.

PajeroSport61

Malah sistem brek juga memainkan peranan penting dalam pemanduan. Di mana Pajero Sport VGT yang dipadankan dengan ventilated disc di hadapan dan leading and trailing drums mengemudi bahagian belakang cukup responsif. Menjalankan tugas dengan cukup cemerlang setiap kali kredibilitinya ditagih.

Bagi aspek keselamatan, selain daripada ABS dan EBD, Mitsubishi turut menampilkan tali pinggang keselamatan ELR (Emergency Locking Retractor) dengan pra-regangan, Anti-Intrusion Brake Paddle bagi melindungi kaki pemandu, serta dua beg udara bagi Pajer Sport GL ini.

Malah kerangkanya juga direka supaya lebih mantap dan stabil dengan adanya Mitsubishi Reinforced Impact Safety Evolution yang mampu memberikan keteguhan yang lebih ekstra untuk melindungi kabin daripada impak yang mungkin mampu mendatangkan risiko terhadap penumpang.

Jentera ini juga dilengkapi dengan kamera undur bagi memudahkan lagi pengendalian.

Dan walau pun mempunyai ukuran 4,695mm panjang, 1,815mm lebar, 1,800mm tinggi dengan jarak roda 2,800mm, namun pengendalian Pajero Sport VGT ini tidaklah sesukar mana. Termasuklah untuk melakukan pusingan U atau pun memarkirnya. Jentera ini memiliki jejari pusingan minimum 5.6m, sekali gus memudahkan pengendalian.

PajeroSport44

Mitsubishi Pajero Sport VGT ini turut dibina bagi memberikan keselesaan yang optimum buat pemandu dan penumpangnya. Mampu memuatkan tujuh penumpang dalam satu masa, tempat duduk barisan ketiga dan kedua juga boleh dilipat bagi memberikan lebihan ruang pada kargo. Tempat duduk balutan kulit juga memberikan rasa keselesaan yang sederhana.

Gabungan warna hitam dan beige dengan kekemasan kayuan pada papan pemuka dan panel pintu, mencetuskan rekaan yang sedikit elegan buat jentera ini. Malah pada papan pemukanya juga tidak dihiasi dengan butang kawalan yang sarat, sebaliknya membiarkan ia lebih ringkas, asalkan mudah untuk dikendalikan.

Selain daripada itu, SUV yang telah dipertingkatkan (facelift) yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada Oktober 2013 ini turut tampil dengan elemen-elemen baharu seperti pengesan lampu, pengesan hujan automatik, sistem GPS dengan Bluetooth dan sambungan iPOD, electronic shift dan key lock system.

PajeroSport19

Pada barisan tempat duduk kedua dan ketiga juga mempunyai corong penghawa dingin yang boleh dikendalikan sendiri oleh penumpang. Sekali gus memberikan mereka lebih selesa sepanjang perjalanan.

Untuk hiburan, Pajero Sport VGT turut dilengkapi dengan skrin sesentuh 2DIN bersama enam pembesar suara.

Malah di dalam kabinnya juga mempunyai banyak ruang penyimpanan barang termasuklah tempat meletak minuman.

Akhir sekali, bagaimana pula dengan rekaan luarannya?

Seperti mana model terdahulu atau adik-beradik Pajero Sport yang lain, untuk varian ini ia tidak banyak tampil berbeza. Pada bahagian hadapannya, jeriji krom berbentuk sarang lebah menyerlahkan gaya maskulinnya. Malah padanan lampu utama projektor dengan lampu kabus menyerlahkan lagi sifat sporty dan lasak Pajero Sport VGT ini.

Disebabkan kerangkanya yang nampak tegap dan tinggi, sekilas pandangan daripada sudut belakang membuatkan jentera ini seakan tampil garang dan sombong. Namun itulah elemen luaran yang ingin diterjemahkan menerusi gaya rekaan luarannya. Sporty. Maskulin.

Dengan harga atas jalan RM172,211.60 berserta insurans, maka Pajero Sport VGT ini antara pilihan yang bijak buat anda yang tercari-cari sebuah jentera tahan lasak yang juga boleh digunakan sebagai pengangkutan harian. Pastinya ia bakal ‘memberikan perkhidmatan’ cemerlang seperti mana yang anda harapkan.

Spesifikasi :
Enjin : 2.5 liter DOHC 16-injap Turbocharged (VGT), Intercooled DI-D
Transmisi : INVEC-ll automatik lima kelajuan dengan mod Sport
Kuasa maksimum : 178 PS @ 4,000 rpm
Tork maksimum : 350 Nm @ 1,800-3,500 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 70 liter
Tayar : 265/65R 17
Warna pilihan : Hitam, perak metalik, putih dan coklat metalik
Harga : RM172,211.60

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *