Peugeot 3008 SUV urban penuh bergaya

By  |  1 Comment

P1100888

Pada 17 April yang lalu, Nasim Sdn Bhd, pengedar jenama Peugeot di Malaysia telah pun melancarkan model serba baharu Peugeot 3008. Selepas berlangsungnya majlis pelancarannya di pusat membeli-belah Queensbay, Pulau Pinang, media permotoran tempatan yang diterbangkan khas ke sana, berpeluang memandu uji SUV urban ini. Walau pun hanya melibatkan beberapa jam sesi pandu uji, namun ia mampu menzahirkan kepuasan untuk merasai pengalaman pemanduan model 3008 ini.

Peugeot 3008 dipadankan dengan enjin 1.6 liter Turbo dengan pemasaan injap boleh laras (VVT) yang mampu menghasilkan kuasa 165 PS pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm pada 1,400 hingga 4,250 rpm. Enjin ini menjadikan 3008 baharu ini tampil sebagai sebuah SUV yang paling berkuasa di dalam segmennya.

DSC_4395

Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik adaptif enam kelajuan serta fungsi Tiptronic dan mod Sport. 3008 mampu dipacu daripada titik sifar hingga 100km/j dalam tempoh masa 9.5 saat dan mampu mencatat kelajuan tertinggi sehingga 202km/j.

Merentasi bandar Georgetown dan melalui jalan pekan kecil hinggalah kawasan kampung di Balik Pulau melalui Teluk Bahang menuju ke Batu Feringghi dengan corak jalan yang agak mencabar bersama 3008 memang menyeronokkan. Walau bagaimana pun, seakan kurang sesuai untuk memacu laju SUV ini dalam corak jalan sedemikian atas faktor keselamatan sekeliling. Apatah lagi ketika melalui jalan berliku dan berselekoh yang terdapat banyak kawasan curam dan gaung disebelahnya. Lantas penulis memilih untuk memandu secara lebih santai sambil menikmati keseronokan pengendalian.

Peugeot3008_03

Bagi penulis, prestasi enjin yang dilampiaskan oleh 3008 ini agak memuaskan dan berada pada tahap yang bersesuaian dengannya. Disebabkan ia bersifat lebih kepada SUV urban, maka pemanduan santai lebih ditagih. Namun sesekali pedal pendikit ditekan lebih sedikit untuk mendapatkan kelajuan yang lebih padu, prestasi 3008 tidak menghampakan.

Begitu juga dengan pertukaran gear automatiknya, masih dirasai lancar daripada gear pertama sehingga ke enam. Malah boleh dikatakan kotak gear yang ditampilkan memberikan kerjasama yang cukup baik dengan enjin ini.

Ketika melalui jalan berselekoh dan berliku, penulis akui cukup enjoy menikmati pengalaman pemanduannya. Sistem suspensi yang dilengkapi dilengkapi dengan topang Independent MacPherson bersama palang anti olengan bagi suspensi hadapan dan bagi suspensi belakang pula menggunakan gandar bersilang Deformable U-shaped dengan palang anti olengan, memantapkan kestabilan di dalam pengendaliannya.

Peugeot3008

Biarpun ketika SUV ini dipacu dalam kelajuan yang agak tinggi, namun kemantapan dan kestabilannya masih dapat dirasai. Olengan badan juga kurang dirasai biar pun SUV ini dilenjan merentasi jalan berselekoh dan ketika melalui permukaan jalan yang kurang rata.

Malah sistem brek Ventilated discs pada bahagian hadapan dan solid dics untuk belakang juga sangat responsif. Walau pun pada mulanya terasa kesan sentakan yang ‘terlebih’, namun lama-kelamaan ia menjadi normal. Bersama stereng berkuasa elektro-hidraulik, ternyata ia juga memberikan kerjasama yang cukup baik bersama pedal brek dan pedal pendikit.

Peugeot juga menekankan soal penjimatan bahan api yang efisien, di mana penggunaannya untuk 3008 ini dikatakan mampu tercatat 7.7 liter bagi setiap 100km.

P1100950

Memiliki ukuran bersaiz 4,365 mm panjang, 1,837 mm lebar, 1,639 mm tinggi dan jarak roda pula 2,613 mm, kerangka 3008 diperbuat daripada keluli yang memiliki ketahanan bermutu tinggi bagi memberikan kemantapan yang maksimum tanpa berkompromi soal keselamatan.

Malah Peugeot juga menerapkan ciri-ciri keselamatan terbaik bagi SUV ini, termasuklah dengan adanya enam beg udara, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Hill Start Assist dan lampu kecemasan automatik. Selain ciri yang standard iaitu ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Anti-skid Regulation (ASR), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan dua sambungan Isofix. Peugeot 3008 ini juga telah menerima pengiktirafan lima bintang daripada Euro NCAP.

Bercerita soal imej yang ditonjolkan, ternyata ciri-ciri Eropah sangat ‘pekat’ melekat pada segenap ruang luaran dan dalaman 3008 ini. Gaya yang dinamik dan elegan cukup terserlah dengan penampilan lampu hadapan Bi-xenon Advanced bersama lampu pencahayaan siang (DRL) LED, jeriji krom dengan rekaan baharu, lampu kabus hadapan, lampu belakang LED dan rim aloi bersaiz 17 inci.

P1110145

Tidak cukup dengan itu, 3008 turut dilengkapi dengan bumbung panoramik yang mampu dikawal secara elektronik, kamera undur, Peugeot Park Assist (dengan pengesan di bahagian hadapan dan belakang) dan ASM (Available Space Parking Measurement).

Memasuki ruang kabinnya, gaya Eropah menjalari segenap ruang dengan penuh kemodenan dan elegan. Pada papan pemukanya dilengkapi dengan pelbagai paparan parameter yang dioperasikan oleh Toggle Switches bagi memudahkan kawalan dengan hujung jari sahaja. Paparan berwarna ini berkeupayaan memaparkan informasi mengenai kelajuan kenderaan, termasuklah jika pemandu memilih untuk mengehadkan kelajuan. Paparan berwarna putih akan menunjukkan kelajuan kenderaan sewaktu dipandu dan oren pula bagi pengehad kelajuan serta hijau untuk kawalan kelajuan (cruise control).

P1110125

Roda stereng, tombol gear dan pemegang konsol tengah dibaluti kulit bermutu tinggi untuk genggaman yang lebih selesa.

Tempat duduk balutan kulit mewah juga menjadi pilihan Peugeot. Malah tempat duduk pemandu boleh dilaraskan sebanyak lapan cara mengikut kesesuaian.

P1110140

Untuk keselesaan yang lebih optimum juga, 3008 tampil dengan zon berkembar sistem penghawa dingin automatik.

Bagi sistem hiburan, 3008 diengkapi dengan skrin berwarna bersaiz tujuh inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi. Ia juga dilengkapi dengan sambungan USB dan Bluetooth serta mempunyai enam pembesar suara.

Lain-lain ciri dalaman yang ditampilkan ialah parkir brek elektronik, cermin pandang belakang anti silau, pedal kawalan audio di sebelah stereng, ruang penyejuk storan dengan kapasiti 13.5 liter pada perehat lengan bahagian hadapan dan lampu suluh yang diletakkan pada ruang kargo.

Manakala ruang kargo untuk 3008 baharu ini ialah meliputi 512 liter dan ia boleh dipertingkatkan menjadi 1,604 liter jika tempat duduk belakang dilipat pada nisbah 60:40 dengan penggunaan satu butang kawalan.

P1110029

Dengan harga RM153,888 seunit, pembelian Peugeot 3008 ini juga disertakan dengan waranti selama lima tahun berserta jumlah perbatuan tanpa had dengan tawaran 24 jam perkhidmatan Peugeot Assistance, keahlian Peugeot Privilege dan banyak lagi yang menarik sebagai penghargaan kepada para pelanggan.

Spesifikasi :
Enjin : 1.6 liter Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) dengan Suntikan Terus Bahan Api, 4-silinder sebaris, DOHC, 16-injap, VVT (Pemasaan Boleh Laras)
Transmisi : Automatik 6-kelajuan dengan Tiptronic dan mod Sport
Kuasa maksimum : 165 PS @ 6,000 rpm
Tork maksimum : 240 Nm @ 1,400-4,250 rpm
Sistem brek : Ventilated discs (hadapan) & Solid discs (belakang)
Sistem suspensi : Topang MacPherson dengan palang anti-olengan (hadapan) & Deformable U shaped cross member dengan palang anti-olengan (belakang)
Kapasiti tangki bahan api : 60 liter
Pilihan warna : Putih (Pearl White), aluminium, biru (Bourrasque Blue), hitam (Nera Black) & merah (Rogue Red)

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

  1. Azizol

    May 8, 2017 at 12:16 pm

    Hi, Saya mendapati banyak pengguna 3008 ini berdepan dengan masalah enjin. Mohon penjelasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *