Perodua Myvi 1.5 F.E.M istimewa untuk wanita

By  |  0 Comments

Perodua Myvi F.E.M

Bukan mahu bersikap diskriminasi atau pun menyebelahi sebelah gender sahaja, tetapi lebih kepada menghargai kaum wanita. Salah satu penghargaan yang dilakukan oleh Perodua untuk menghargai wanita ialah dengan menubuhkan F.E.M iaitu akronim bagi ‘Female Empowerment Movement’.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, F.E.M boleh dianggap sebagai ‘kelab khas untuk wanita sahaja’ diwujudkan bagi menghargai pemilik Myvi atau pun sekurang-kurangnya bagi wanita yang pernah memandu kereta kompak jenama ini. Malah Datuk Aminar juga berkata, 60 peratus pelanggan Perodua terdiri daripada kaum wanita.

Antara kelebihan yang boleh diperoleh dengan menyertai F.E.M ialah ahlinya bakal menerima hadiah istimewa pada harijadi mereka, jemputan khas menghadiri bengkel berkaitan, lawatan ke tempat menarik, diskaun hebat untuk produk terpilih dan pelbagai lagi aktiviti yang dianjurkan untuk semua ahli. Perodua menyasarkan keahlian seramai 10,000 orang menjelang 2014.

Sempena dengan penubuhan F.E.M ini, Perodua turut menghasilkan model edisi terhad yang ditawarkan khas untuk ahlinya. Menariknya, Perodua Myvi 1.5 F.E.M hanya dihasilkan dalam 60 unit sahaja. Di mana ia dihadkan sebanyak 20 unit bagi setiap bulan. Ia terbuka untuk wanita berusia 18 tahun ke atas, pernah memiliki mana-mana model Perodua atau sekurang-kurangnya pernah memandunya, dengan konsep ‘siapa cepat,dia dapat’ dan semestinya harus mendaftar sebagai ahli F.E.M.

Perodua Myvi F.E.M

Diproduksi berdasarkan Myvi 1.5 SE, Myvi F.E.M ini telah ditambah beberapa elemen menarik bernilai RM4,000, antaranya sarung kerusi daripada material kulit berwarna hitam dengan kekemasan jahitan merah berserta logo F.E.M untuk tempat duduk hadapan, stereng juga balutan kulit, sistem multimedia yang dilengkapi dengan navigasi dan kamera undur, karpet lantai dengan logo F.E.M dan filem pelindung solar bagi cermin kereta.

Perodua Myvi F.E.M

Unit ini hanya didatangkan dengan warna putih yang dihiasi pelekat F.E.M bersama imej floral pada sisi kerangkanya. Malah emblem pada bahagian belakang juga tertera dengan perkataan F.E.M. Ia dijual pada harga atas jalan RM56,027 termasuk insurans.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang F.E.M, sila layari www.peroduafem.com.my.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *