Peugeot 3008 SUV penuh karakteristik -Harga RM154k

By  |  0 Comments

DSC_4299

Lintas langsung dari Pulau Mutiara!

Selepas melancarkan model Peugeot 2008, kini tibalah pula giliran Peugeot 3008 SUV pula secara rasminya berada di pasaran Malaysia. Bertempat di pusat membeli-belah QueensBay Mall, Pulau Pinang, SUV ini telah pun selamat dilancarkan dalam majlis yang penuh meriah.

Peugeot 3008 tampil dengan kekuatan yang tersendiri iaitu mempertaruhkan gaya yang elegan dan kontemporari serta dilengkapi teknologi penuh intuitif bagi mencipta pengalaman baharu dalam pemanduan. Sebelum diproduksikan, model SUV ini telah pun dipertontonkan di Frankfurt Motor Show ke-65 pada September lalu.

Menurut COO Nasim Sdn Bhd, Dato’ Samson Anand George, kehadiran 3008 ini dilihat sebagai penanda aras baharu di dalam segmennya. “Ia dibina dengan penuh rekaan menarik, disertakan teknologi terkini dan kepelbagaian fungsi, menjadikan 3008 baharu ini memberikan suatu keistimewaan tanpa tandingan.”

“Malah kami mensasarkan pelanggan di kalangan umur antara 30 hingga 50 tahun sebagai sasaran pembeli bagi SUV ini. Terutamanya bagi mereka yang mencari sebuah kenderaan yang tampil lebih estetik, lengkap dengan ciri-ciri premium serta mengutamakan aspek keselamatan.”

DSC_4312

Memilih untuk dipadankan dengan enjin 1.6 liter Turbo dengan pemasaan injap boleh laras (VVT) yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 165 PS dan tork 240NM menjadikan 3008 baharu ini sebagai SUV yang paling berkuasa di dalam segmennya.

Enjin ini turut dipadankan dengan kotak gear automatik adaptif enam kelajuan serta fungsi Tiptronic dan mod Sport. Ia mampu dipacu daripada titik sifar hingga 100km/j dalam tempoh masa 9.5 saat dan mampu mencatat kelajuan tertinggi sehingga 202km/j.

Penggunaan bahan api bagi 3008 baharu ini juga impresif iaitu 7.7 liter bagi setiap 100km.

Bagi memantapkan kestabilan di dalam pengendaliannya, 3008 baharu ini juga dilengkapi dengan topang Independent MacPherson bersama bar anti olengan bagi suspensi hadapan. Manakala bagi suspensi belakang pula menggunakan gandar bersilang Deformable U-shaped dengan bar anti olengan. Ia memberikan keselesaan yang lebih optimum sewaktu kenderaan dipacu biar pun dalam kelajuan yang tinggi.

Peugeot_3008_3

Menerapkan gaya terkini, 3008 baharu ini juga tampil dengan karakteristik yang tersendiri serta kualiti yang dipertingkatkan bersama gaya kontemporari, keselesaan optimum serta pemanduan yang penuh sensasi.

Kehadiran jeriji baharu dan lampu kabus dengan rekaan yang sungguh menyerlah telah melengkapi gaya hadapan 3008 ini. Malah ia juga menerapkan sistem Pencahayaan Dinamik Bi-Xenon Advanced dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED yang dilingkari kemasan krom turut menyuntik gaya yang lebih berkarisma. Begitu juga dengan penampilan lampu belakang LED yang membuatkan 3008 ini tampak seksi.

Turut menambah gaya ialah dengan kehadiran bumbung kaca panoramik yang dikawal oleh sistem kawalan elektronik yang mampu menyerap cahaya natural ke dalam kabin SUV ini. Ia juga dipadankan dengan rim aloi baharu yang lebih ringan bersaiz 17 inci membiaskan gaya sporty pada SUV ini.

Tidak mahu berkompromi soal pelindungan terhadap pemandu dan penumpang, Peugeot turut menerapkan pelbagai teknologi kelengkapan bagi menambahkan ciri-ciri keselamatannya. Antaranya menampilkan Peugeot Park Assist yang didatangkan dengan 10 pengesan di bahagian hadapan, sisi hadapan dan belakang untuk mengatasi masalah kesukaran parkir.

Manakala Available Space Measurement (ASM) pula berkeupayaan menilai saiz untuk ruang parkir yang berpotensi dan memaklumkan kepada pemandu adakah ia sesuai untuk diparkir di ruang tersebut mahu pun sebaliknya.

Manakala kamera undur pula akan secara automatik berfungsi apabila gear undur dimasukkan dan membolehkan pemandu melihat keadaan di belakang kenderaan.

Peugeot_3008_31

Selain daripada itu,3008 baharu ini juga dilengkapi dengan enam beg udara, Bantuan Mendaki Bukit, Program Keselamatan Elektronik (ESP), EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Anti-Skid Regulation (ASR) dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) bagi memberi penambah baikan terhadap pengendalian sewaktu berhadapan dengan kesukaran dalam pemanduan.

Malah 3008 baharu ini juga turut menerima pengiktirafan lima bintang dari EURO NCAP.

Manakala elemen yang ditampilkan pada bahagian kabin, termasuklah skrin berwarna pelbagai-fungsi bersaiz tujuh inci dengan skrin paparan berwarna navigasi yang berfungsi untuk navigasi secara audio, trip computer, bantuan parkir hadapan dan belakang serta imej yang dirakamkan oleh kamera undur.

008_2013_021_fr

Pada papan pemuka juga dilengkapi dengan pelbagai paparan parameter yang dioperasikan oleh Toggle Switches bagi memudahkan kawalan dengan hujung jari sahaja. Paparan berwarna ini berkeupayaan memaparkan informasi mengenai kelajuan kenderaan, termasuklah jika pemandu memilih untuk mengehadkan kelajuan. Paparan berwarna putih akan menunjukkan kelajuan kenderaan sewaktu dipandu dan oren pula bagi pengehad kelajuan serta hijau untuk kawalan kelajuan (cruise control).

Lain-lain ciri yang ditampilkan ialah sambungan Bluetooth dan USB, parkir brek elektronik, zon berkembar bagi penghawa dingin automatik, enam pembesar suara, tempat duduk balutan kulit berciri mewah dan lapan pelarasan tempat duduk pemandu secara electronik.

Manakala ruang kargo untuk 3008 baharu ini ialah meliputi 512 liter dan ia boleh dipertingkatkan menjadi 1,604 liter jika tempat duduk belakang dilipat pada nisbah 60:40 dengan penggunaan satu butang kawalan.

Peugeot_3008_20

Peugeot 3008 baharu ini didatangkan dengan lima pilihan warna menarik iaitu putih (Pearl White), hitam (Nera Black), Aluminium, serta dua warna baharu yakni merah (Rouge Red) dan biru (Bourrasque Blue).

Ia sudah pun berada di semua bilik pameran Peugeot di seluruh negara dan ditawarkan pada harga RM153,888.00. Setiap pembeliannya (termasuk mana-mana model Peugeot) didatangkan dengan waranti selama lima tahun berserta jumlah perbatuan tanpa had dengan tawaran 24 jam perkhidmatan Peugeot Assistance, keahlian Peugeot Privilege dan banyak lagi yang menarik sebagai penghargaan kepada para pelanggan.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *