Perodua Myvi XT 1.3 & Extreme 1.5 baharu dilancarkan

By  |  1 Comment

MyviXT02

Perodua Myvi…antara kenderaan yang cukup laku dan sangat mudah dilihat di mana-mana jalan di Malaysia sejak dilancarkan pada Mei 2005. Ini antara penyumbang terbesar kejayaan yang dilakar oleh Perodua, di mana kenderaan hatchback ini begitu mudah mendapat perhatian dan sambutan ramai.

Hari ini, sekali lagi sejarah tercipta apabila Perodua melancarkan varian baharu bagi Myvi yang diberi nama Myvi XT sempena dengan ulang tahun ke-sembilan kelahiran Myvi. Mensasarkan golongan Gen-Y sebagai pembeli utamanya, XT yang membawa maksud ‘Ekstra’ ini didatangkan dengan dua varian iaitu manual dan automatik.

MyviXT27

Myvi XT ini menggunakan enjin 1.3 liter DOHC 16V dengan DVVT yang dipadankan dengan dua pilihan kotak gear iaitu manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 67 kW pada 6,000 rpm dan tork puncak 117 Nm pada 4,400 rpm.

Apa yang menarik tentang Myvi XT ini? Dua tarikan utama yang ada pada model ini ialah penampilan jeriji hadapan krom dan padanan rim aloi lima jejari bersaiz 14 inci yang menyerlahkan sedikit elemen sporty.

Tarikan lain yang turut dipertaruhkan ialah penampilan warna baharu yang pastinya mampu menarik perhatian golongan Gen-Y iaitu Ivory White, Lime Green dan Glittering Silver. Di samping dua lagi warna pilihan seperti lain-lain model Myvi iaitu Mystical Purple dan Dazzling Red.

MyviXT14

Imej yang ditampilkan tidak banyak berbeza dengan model Myvi sedia ada (melainkan penampilan baharu jeriji hadapan krom sahaja). Masih mengekalkan lampu utama projektor, lampu belakang LED dan cermin sisi yang dilengkapi dengan lampu signal seperti mana model-model Myvi yang lain.

Untuk bahagian kabin, dua elemen baharu yang ditampilkan ialah sistem audio yang dilengkapi penyambung USB dan Bluetooth bersama kluster tengah berwarna perak dan fabrik tempat duduk baharu yang memberikan lebih keselesaan.

Ruang dalaman yang sederhana luas juga menjadi pertaruhan Myvi 1.3 XT ini selain tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 60:40.

MyviXT16

Untung bagi sebuah kenderaan hatchback kerana ia memberikan kelebihan ketika mahu memarkir atau membuat pusingan-U. Malah Myvi 1.3 XT ini memiliki jejari pusingan bersaiz 4.7 meter yang pastinya memudahkan lagi pengendaliannya.

Myvi XT ini turut dilengkapi dengan dua beg udara berkembar SRS dan telah menerima pengiktirafan tiga bintang dari ASEAN NCAP.

Harga atas jalan berserta insurans untuk model ini ialah RM41,936.45 (solid) dan RM42, 436.45 (metalik) bagi varian manual. Manakala bagi automatik pula berharga RM44, 936.45 (solid) dan RM45, 436.45 (metalik). Harganya tetap sama dengan model Myvi standard sebelum ini biar pun menerima pertambahan elemen bernilai RM1,600.

Sempena dengan pelancaran Myvi 1.3 XT ini, Perodua turut memperkenalkan skim “What’s Up! Graduate Part II” bagi golongan muda untuk memilik model ini. Di mana Perodua turut mensasarkan pembeli di kalangan penuntut universiti dan lepasan graduan. Ia turut terbuka untuk varian lain Perodua iaitu Alza dan Viva. Kempen ini bermula 10 April sehingga 31 Disember 2014.

Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh yang ditemui sewaktu majlis pelancaran varian terbaharu Myvi di Universiti Malaya ini berkata, “Perodua mensasarkan jualan sebanyak 1,600 unit Myvi XT setiap bulan. Malah sejak model pertama Myvi dilancarkan pada 2005 lalu, Perodua berjaya menjual hampir 750,000 unit kenderaan ini, mencatatkan ia sebagai jualan terbaik selama lapan tahun berturut-turut. Di mana pada tahun lalu sahaja, tercatat jualan sebanyak 99,000 unit untuk model Myvi sahaja.”

MyviXT01

Bukan setakat Myvi XT sahaja, petang yang dihiasi hujan lebat ini menyaksikan pelancaran Myvi 1.5 Extreme yang diberi sedikit suntikan pembaharuan. Terdapat empat elemen pembaharuan yang ditampilkan bagi Myvi Extreme ini iaitu lapisan filem keselamatan bagi cermin kenderaan, karpet PVC, sistem multimedia dengan iluminasi berwarna merah dan material kulit baharu yang membaluti tempat duduk. Ia melibatkan nilai sebanyak RM1,000 untuk elemen pembaharuan ini.

Manakala mekanikalnya masih sama seperti mana model terdahulu iaitu dijanakan oleh enjin 1.5 liter DVVT, DOHC bersama EPI. Ia boleh menghamburkan kuasa maksimum 76 kW pada 6,000 rpm dan puncak tork 136 Nm pada 4,400 rpm. Hanya satu sahaja transmisi yang ditawarkan iaitu automatik empat kelajuan. Untuk pasaran terkini, varian manual bagi Extreme sudah dihentikan produksinya.

MyviXT29

Myvi 1.5 Extreme ini dijual pada harga atas jalan (berserta insurans) RM61,240.50.

Setiap pembelian Myvi XT atau Myvi Extreme turut disertakan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000km (yang mana terlebih dahulu) dengan pilihan waranti lanjutan selama dua tahun atau 50,000km (yang mana terlebih dahulu).

PERODUA MYVI 1.3 XT

PERODUA MYVI 1.5 EXTREME

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *