Proton Perdana baharu diadaptasi berdasarkan Honda Accord generasi ke lapan – PM menerima model pertama hari ini!

By  |  6 Comments

proton-perdana-accord-infokereta

Proton baru saja menyerahkan model pertama Proton Perdana versi terbaharu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dalam satu majlis khas yang berlangsung di Putrajaya. Untuk penghantaran pertama ini, sebanyak 200 unit yang diperuntukkan bagi kegunaan kerajaan Malaysia bakal diserahkan.

Perdana baharu ini didatangkan dengan dua varian iaitu Perdana 2.0L dan Perdana 2.4L. Menurut Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil, walau pun masa yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada Proton hanya lapan bulan untuk menyempurnakan amanat ini, namun Proton tetap menyahut cabaran untuk menghasilkan produk yang terbaik.

Menerusi gambar-gambar terawal yang pernah dipaparkan menerusi laman web Paultan.org sebelum ini, rekaan Perdana baharu ini telah diadaptasi berdasarkan generasi ke lapan Honda Accord.

Namun terdapat beberapa perubahan yang dilakukan bagi memberikan imej yang lebih segar dan bersesuaian dengan Perdana sendiri termasuklah rekaan gril baharu pada bampar hadapan. Manakala elemen lampu belakang yang terletak di bahagian but telah dibuang. Tetapi krom yang telah menghiasi bahagian tersebut seperti mana model terdahulu dikekalkan. Malah krom ini juga telah dipanjangkan ke kedua belah sisi dari bingkai lampu belakang hingga ke bahagian bawah plat kereta.

Model pertama ini juga tampil dengan kerangka tingkap hadapan dan belakang yang lebih luas mengikut spesifikasi yang diperlukan bagi kegunaan pihak kerajaan, khususnya PM sendiri. Membuatkan kami tertanya-tanya berapakah jarak roda bagi model ini?

Seperti yang sedia maklum, Honda Accord sememangnya memiliki ruang dalaman yang luas termasuklah ruang meletak kaki yang sangat selesa. Justeru, ia turut diimplementasikan pada model Perdana baharu ini bagi memberikan keselesaan yang lebih optimum membolehkan PM untuk duduk selesa di dalamnya. Walau bagaimana pun, kami tidak mempunyai sebarang maklumat tambahan mahu pun foto untuk rekaan dalaman tetapi berdasarkan fizikal jarak roda, pastinya model ini lebih menyerlah sekiranya memiliki tempat duduk Ottoman untuk keselesaan yang lebih terbaik!

Untuk makluman, ini merupakan fasa pertama projek penggantian Perdana model terdahulu dan ia disasarkan untuk kegunaan 3,000 unit di bawah pelbagai kementerian. Ia juga merupakan kerjasama pertama di antara Proton dengan pihak Honda Japan Ltd.

Walau pun model ini memang ketara menggunakan pelbagai elemen yang terdapat pada Accord, namun ia mampu menjadi penanda aras bagi Proton di dalam menghasilkan model yang lebih baik dalam tempoh dua tahun yang akan datang. Malah ia juga dijadikan inspirasi buat Proton untuk menghasilkan kenderaan di bawah segmen D yang lebih baik pada masa hadapan.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

6 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *