Nissan X-Gear baharu interpretasi gaya hidup masa kini- Berharga RM89,800

By  |  0 Comments

XGear01

2013 merupakan tahun penuh bermakna buat Edaran Tan Chong Motor (ETCM) kerana berjaya mencatat jualan yang sungguh memberangsangkan. Maka, untuk tahun ini, ETCM nekad untuk mengulangi kejayaan yang sama. Sebagai permulaan, pada hari ini, ETCM telah memperkenalkan Nissan X-Gear baharu dengan peningkatan gaya yang lebih sporty.

Model crossover lima tempat duduk ini hadir dengan gaya yang lebih versatil. Malah turut menawarkan ruang kabin yang luas, premium dengan pelbagai susunan konfigurasi tempat duduk sebagai memenuhi kehendak pelanggan. Malah ia juga amat sesuai dijadikan pengangkutan harian seisi keluarga.

Nissan X-Gear baharu ini dijanakan oleh enjin aluminium HRDE16 1.6 liter empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa 105 PS dan tork 150 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi empat kelajuan yang dikawal secara elektronik. Malah dengan teknologi kawalan injap pemasaan, enjin tersebut menawarkan prestasi yang responsif dan penjimatan bahan api luar biasa.

Diberi suntikan yang lebih segar terhadap rekaan luaran, X-Gear baharu ini menampilkan jeriji hadapan krom berbentuk V yang sofistikated dengan panel horizontal yang digelapkan dan memberikan rasa dinamik pada penampilannya. Sementara acuan sisi pada badan kenderaan dan pengadang pula menonjolkan sifatnya yang lasak.

Bampar hadapan dengan pengadang lumpur berwarna hitam, roof rails, rim aloi berjejari V, fender baharu, hud enjin, cermin sisi yang diperkemaskan dan lampu utama menambah tarikan pada rupanya yang baharu.

Melewati bahagian belakangnya pula, padanan lampu baharu yang agak lebar mendatar diselarikan dengan gayaan belakang yang serba baharu. Rekaan bampar belakang yang baharu hadir dengan satu lampu reflektor belakang dan lampu brek LED yang diletakkan sedikit tinggi untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan dan gayanya.

Tidak lengkap tanpa perubahan pada ruangan kabin. Maka, ia turut diberikan gaya yang lebih sofistikated. Malah menawarkan ruangan yang lebih luas dan selesa, ia juga tampil dengan fabrik tempat duduk baharu.

Turut ditampilkan ialah kluster Fine Vision Meter serta Paparan Multi-Maklumat (MID). Stereng tiga jejari yang baharu juga dilengkapi suis kawalan untuk sistem audio 2-DIN dengan input AUX bagi memantapkan lagi sistem infotainmen. Butang kawalan Paparan Multi-Maklumat (MID) hadir dengan susun atur yang kemas. Ia membolehkan pemandu mengendalikannya dengan mudah.

Ruang kargo dan kaki yang luas disumbang oleh tempat duduk yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40. Ia membolehkan keluasan ruang kargo digandakan daripada 383 liter menjadi 769 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Roof rail pada Nissan X-GEAR baharu pula memiliki kapasiti mengangkut beban sehingga 25kg.

XGear07

Nissan pastinya tidak akan mengabaikan aspek keselamatan di dalam mengeluarkan model baharunya. Justeru, X-GEAR baharu ini juga dilengkapi tali pinggang keledar hadapan yang kini dilengkapi ciri pra-regangan dan pengehad beban yang mematuhi piawaian terkini ujian pelanggaran UNECE. Dua beg udara SRS di bahagian hadapan, ABS, EBD dan BA turut didatangkan sebagai ciri standard.

Menurut Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng, Nissan X-GEAR baharu disasarkan buat golongan muda dan berkeluarga yang mahukan sebuah crossover bergaya untuk menyerlahkan individualiti mereka. Tetapi pada masa yang sama kekal praktikal dan ekonomikal. Nissan X-GEAR baharu boleh diterjemahkan sebagai interpretasi gaya hidup masa kini dengan mendukung tema utama atau tagline “Jelajahi Kehidupan!”

XGear02

Didatangkan dengan tiga warna baharu iaitu Garnet Red, Diamond Black dan Bronze Gold, di samping dua warna sedia ada; Brilliant White dan Tungsten Silver. Nissan X-Gear hanya boleh didapati dalam varian 1.6L Auto.

Nissan X-GEAR baharu ditawarkan pada harga atas jalan RM89,800 berserta insurans dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana terlebih dahulu).

Ia juga didatangkan dengan aksesori pilihan iaitu pelindung pintu, lampu isyarat LED pada cermin sisi, kombinasi tempat duduk kulit dengan panel pintu dan skrin multimedia navigasi bersaiz 6.5 inci. Malah ia juga hadir dengan pilihan Pakej Lengkap IMPUL iaitu spoiler bumbung belakang, rim aloi bersaiz 17 inci Impul Aura SX-20, sistem suspensi sports Impul dan tayar Goodyear Eagle F1 Directional 5. Harga yang ditawarkan adalah tidak termasuk dengan aksesori pilihan dan Pakej Lengkap Impul.

Para pelanggan boleh menikmati bayaran bulanan serendah RM599 (tertakluk kepada terma dan syarat) untuk memiliki sebuah Nissan X-GEAR baharu.

Untuk melihat Nissan X-GEAR baharu dengan lebih dekat, para pelanggan dijemput untuk mengunjungi siri jelajah Nissan X-GEAR yang akan diadakan bermula sekarang hingga 30 Mac 2014 di Ground Floor, One Utama (New Wing). Tempahan boleh dibuat di sana dan bilik-bilik pameran Nissan di seluruh negara.

Sempena pelancaran Nissan X-GEAR baharu “Jelajahi Kehidupan!”, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pelanggan di semua bilik pameran Nissan di seluruh negara bermula dari 28 hingga 30 Mac 2014. Pandu uji juga boleh dibuat di semua bilik pameran Nissan di seluruh negara.

ETCM juga dijangka bakal melancarkan model serba baharu Nissan Teana dan Sylphy tidak lama lagi.

Spesifikasi :
Enjin :1.6L 4-silinder sebaris, 16-injap dengan teknologi Drive-by-Wire
Kuasa maksimum : 105 PS @ 5,200 rpm
Tork maksimum : 150 Nm @ 4,400 rpm
Transmisi : Kawalan elektronik dengan 4-kelajuan
Sistem suspensi : Independent MacPherson Struts dengan bar penstabilan (hadapan)/Torsion beam (belakang)
Kapasiti tangki bahan api : 52 liter
Harga : RM89,800

Nissan X-Gear Impul

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *