Nissan Almera Nismo menang gaya!

By  |  1 Comment

AlmeraNismo51

Jika ditanya mengenai prestasi pemanduan Nissan Almera yang diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Oktober 2012, penulis berpendapat ia adalah sebuah sedan yang berada pada tahap sederhana sahaja. Namun bagi penulis, tarikan yang ada pada Almera ialah ia dijual pada harga yang cukup berpatutan iaitu bermula RM66, 827. Bonus kedua yang dimiliki sedan ini pula ialah ia memiliki ruang kabin yang luas serta cukup selesa.

Jika melihat kerangka asal tanpa dilengkapi dengan kit badan tambahan, Almera ini memang kelihatan ‘biasa-biasa sahaja’. Namun jika memilih kit badan Impul yang turut diperkenalkan selepas pelancaranya, ia nampak agak berlainan dan memiliki sentuhan sedikit sporty.

Namun Nissan yang terkenal dengan talaan Nismo juga telah memperkenalkan Almera dengan rupa yang lebih sporty serta maskulin dan telah pun rasmi dilancarkan pada Kuala Lumpur International Motor Show 2013 (KLIMS’13) November lalu.

Ternyata Almera Nismo bersama pakej prestasi dengan beberapa penambahan elemen eksklusif untuk bahagian luaran yang mampu membuatkan jentera ini berubah wajah 90 darjah.

Jika dilihat daripada sudut mekanikal, enjinnya masih sama dengan model Almera standard iaitu berkuasa 1.5 liter DOHC dengan CVTC. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 101 hp pada 6,000 rpm dan puncak tork 139 Nm pada 4,000 dengan padanan kotak gear automatik empat kelajuan.

Pernah memandu Almera standard sebelum ini, prestasinya boleh dirasakan agak mendatar. Pemanduannya lebih kepada santai sahaja. Tetapi mencukupi untuk sebuah sedan segmen-B ini.

Namun bukan soal prestasi yang ingin diperkatakan, tetapi pengendalian Almera Nismo sebenarnya lebih menyerlah. Buktinya, Almera Nismo ini mantap dipandu secara agresif dengan kehadiran sistem suspensi prestasi Nismo yang meningkatkan lagi aspek cengkamannya. Dilengkapi dengan peredam ekzos sport Nismo yang berupaya memuntahkan bunyi sedikit ‘teruja’ apabila pedal pendikit ditekan lebih bagi memberikan kelajuan yang diingini.

AlmeraNismo60

Tetapi disebabkan sistem suspensinya ditala secara sport, maka terasa sedikit keras terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang beralun. Namun, ia memberikan keseronokan jika jentera ini dilenjan melalui jalan berselekoh. Cukup asyik melayan ‘korner’ biar pun dalam kelajuan yang sedikit tinggi. Malah jentera terasa agak ringan tetapi kekal mantap. Pastinya kerana padanan aerokitnya membantu mempertingkatkan ciri-ciri aerodinamik jentera ini.

Manakala sistem brek dan kawalan roda sterengnya juga tidak menghampakan, masih berperanan penting di dalam pengendalian yang diingini. Ia masih responsif walau pun tidak dipengaruhi dengan elemen Nismo.

Bagi pendapat penulis, Almera Nismo ini lebih kepada suatu imej yang lebih menguja.

Buktinya dengan kehadiran aerokit yang membantu meningkatkan lagi ciri-ciri aerodinamiknya. Selain penampilan rim aloi bersaiz 16 inci yang membaluti tayar Continental Max Contact MC 5 205/50R, Almera Nismo ini turut dipadankan dengan spoiler bampar hadapan dan belakang, skirt sisi serta trunk lid spoiler yang menyerlahkan lagi imej sporty dan maskulin.

AlmeraNismo34

Garis merah pada bahagian bampar hadapan, belakang dan kedua belah sisi set aerokit membuatkan Almera Nismo ini kelihatan agak garang.

Namun tiada perubahan pada bahagian kabin, ternyata ia tetap sama seperti mana Almera standard. Ruang dalamannya yang luas terutamanya pada bahagian ruang kaki dan kepala bahagian penumpang di belakang cukup memberikan keselesaan yang optimum.

AlmeraNismo15

Alat ganti Nissan Almera Nismo Performance Package ini dijual pada harga RM13,000. Manakala harga atas jalan berserta insurans bagi Almera standard ialah RM79,827 (1.5L VL A/T), RM76,827 (1.5L V A/T), RM69,827 (1.5L E A/T) dan RM66,827 (1.5L E M/T).

Spesifikasi :
Enjin: 1.5 Liter DOHC dengan CVTC

Kuasa maksimum: 101hp @ 6,000rpm

Tork maksimum: 139 Nm @ 4,000rpm

Transmisi: Automatik 4-kelajuan


Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

  1. rahime ghani

    May 25, 2019 at 11:56 pm

    macam mana nak lipat bangku belakang almera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *