TIPS : Elakkan insiden kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan berkunci

By  |  0 Comments

Pada 6 Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam sebuah kereta milik ibunya selepas kenderaan itu terkunci dari dalam di sebuah taska di Bertam Indah, Pulau Pinang.

Dua hari selepas kejadian tersebut, ada lagi seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun mengalami insiden yang sama dan kejadian tersebut berlaku di Batu Gajah, Melaka.

Kejadian seumpama ini bukannya pertama kali berlaku di negara kita. Ia telah banyak kali berlaku, namun terdapat segelintir ibu bapa yang masih tidak mengambil iktibar di sebalik kejadian ini. Banyak alasan tercipta, antaranya, “Enjin hidup tetapi tiba-tiba kenderaan terkunci secara automatik”. Memang benar, namun ia sudah mengundang padah!

Sedar atau tidak, insiden sebegini sebenarnya mampu mengancam nyawa anak-anak anda. Jika terperangkap dalam kenderaan yang enjinnya dimatikan, ia boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami sesak nafas dan strok haba (heat stroke) akibat kekurangan oksiden dan kepanasan melampau.

Jadi, untuk golongan ibu bapa, sila ambik berat mengenai perkara ini. Usah abaikan keselamatan dan nyawa anak-anak anda.

Apa yang paling penting ialah jangan sesekali meninggalkan bayi dan kanak-kanak kecil sendirian tanpa pengawasan penumpang dewasa atau kanak-kanak yang sudah mampu berdikari, tidak kira di mana sahaja termasuk di ruang parkir, stesen minyak, kedai dan sebagainya.

Walau pun mungkin anda membuka sedikit cermin tingkap untuk aliran udara atau pun membiarkan enjin kenderaan hidup dengan penghawa dingin terpasang, atau pun dengan alasan, “sekejap saja!”, tindakan anda itu mampu mengundang padah. Ingat, malang tidak berbau!

Selain itu, jadikan sebagai tabiat untuk memeriksa bahagian tempat duduk belakang sebelum anda mengunci pintu dan meninggalkan kenderaan anda.

Pernah ada kejadian, seorang ibu tidak menyedari kehadiran anaknya di bahagian tempat duduk belakang dan meninggalkan kenderaan terbabit dalam tempoh yang agak lama. Sekembalinya ke kenderaan terbabit, didapati anaknya sudah tidak bernyawa kerana mengalami sesak nafas. Kanak-kanak tersebut dipercayai tertidur di bahagian tempat duduk belakang dan tidak disedari oleh ibunya.

Malah, untuk golongan masyarakat pula, kepekaan dan keprihatinan anda juga amat wajar diperlukan. Keselamatan dan pelindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua pihak.

Baby Seat

Jika anda terlihat ada bayi atau kanak-kanak kecil bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan, sila perhatikan keadaannya. Jika bayi atau kanak-kanak terbiar tanpa pengawasan dengan keadaan enjin kenderaan yang dimatikan (sudah pasti penghawa dingin juga tidak dihidupkan), sila dapatkan bantuan segera.

Seandainya ibu atau bapa bayi atau kanak-kanak terbabit tidak datang dengan kadar segera, sila hubungi pihak berkuasa, sama ada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam atau agensi keselamatan lain untuk tindakan lanjut.

Sekiranya didapati bayi atau kanak-kanak terbabit mungkin mengalami simptom strok haba seperti kulit bertukar kemerah-merahan (apa yang anda lihat dan ia mungkin membahayakan nyawa si kecil itu), mungkin tindakan anda memecahkan/mengumpil cermin tingkap kenderaan terbabit ‘harus dimaafkan’ kerana ia bertujuan untuk menyelamatkan nyawanya. Itu pun sekiranya bantuan kecemasan mungkin lambat tiba, namun disarankan anda mendapatkan bantuan polis peronda atau penguatkuasa berhampiran.

Namun sekiranya anda terlihat ada si kecil yang bersendirian di dalam kenderaan dengan enjin hidup dan penghawa dingin berfungsi, dinasihatkan agar anda berada berhampiran kenderaan terbabit untuk memantau keadaan bayi atau kanak-kanak tersebut sehinggalah ibu atau bapanya tiba.

Waima, meninggalkan si kecil dalam keadaan ini memang merbahaya dan mampu mengancam keselamatanya sendiri. Jadi sebagai seorang dewasa, walau pun anda mungkin tidak mengenali si kecil atau ibu bapa terbabit, apa salahnya anda bersikap prihatin memantau keadaan tersebut. Manalah tau, bimbang ada perkara yang tidak diingini berlaku pula.

Dalam cuaca panas terik El Nino yang melanda negara kita sekarang ini, adalah tidak wajar meninggalkan si kecil atau pun sesiapa sahaja di dalam kenderaan yang enjinnya dimatikan. Ini kerana ia boleh menyebabkan gejala strok haba.

Menurut pakar perubatan, antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas. Selain itu, tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam.

Di mana suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

Ingat, jika ia membabitkan keselamatan dan nyawa, tiada kompromi mengenainya! Jadilah seorang masyarakat yang prihatin!

Sumber video yang pertama: Youtube Fans Informasi

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *