JPJ tubuh skuad khas kesan kenderaan klon

By  |  0 Comments

JPJ_Roadblock1

Bagi membanteras penularan sindiket kenderaan klon, Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) telah memutuskan untuk menubuhkan skuad khas awal tahun ini. Ia adalah bagi mengesan kenderaan klon yang semakin banyak digunakan di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, seramai 25 anggota JPJ yang telah dilatih khusus itu akan bergerak ke setiap negeri melalui operasi besar-besaran dan siasatan menyeluruh turut dilakukan bagi mengesan kenderaan atau individu yang terlibat dalam sindiket berkenaan, laporan Bernama.

“Anggota ini boleh mengetahui kenderaan itu tulen atau klon hanya dengan melihat keadaan fizikal kenderaan yang digunakan seperti penggunaan lampu hadapan,” katanya.

Ismail berkata sehingga 31 Dis lalu, sebanyak 506 kenderaan klon telah disita dan angka sitaan itu dijangka akan meningkat sekali ganda tahun ini hasil daripada operasi yang akan dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dianggarkan terdapat 2,000 hingga 3,000 kenderaan klon yang masih berada di jalan raya, oleh itu operasi berterusan akan dilaksanakan bagi menyita kenderaan terbabit.

“Ada yang sanggup mengambil risiko membeli kenderaan klon terutamanya jenama mewah seperti Mercedes Benz dan BMW walaupun sudah mengetahui dari awal tahap ketulenan kenderaan terbabit kerana terpengaruh dengan harga murah yang ditawarkan iaitu sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sahaja,” katanya.

Menurut Ismail lagi, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak merupakan kawasan utama pemantauan pihak JPJ kerana sitaan kenderaan klon banyak dibuat di sana.

Beliau sempat menasihati orang awam agar tidak membeli kenderaan klon ini kerana risikonya sangat tinggi memandangkan ia tidak didaftarkan dan tidak dilindungi mana-mana insurans sekiranya berlakunya kemalangan.

Sumber foto : Facebook JPJ

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *