Nissan NP300 Navara dilancarkan – Hadir dengan 6 varian & harga antara RM79k – RM121k

By  |  0 Comments

IMG_6049

Edaran Tan Chong Motors (ETCM) telah pun melancarkan Nissan NP300 Navara baharu pagi ini di Nissan Glenmarie.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Dato’ Seri Ong Ka Chuan. Beliau ditemani oleh Presiden Tan Chong Motor Holdings, Dato’ Tan Heng Chew.

Nissan diwakili oleh Naib Presiden Kanan Nissan Motor Asia Pacific Co. Ltd, Kenji Naito. Sementara ETCM diwakili oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr Ang Bon Beng.

Menurut Dato’ Dr. Ang Bon Beng, “Kami namakan NP300 Navara sebagai Pikap Paling Unggul. Ini kerana ia memiliki fleksibiliti untuk menjadi kenderaan yang boleh dipercayai dan lasak dalam melaksanakan tugas. Pada masa sama selesa serta luas untuk kegunaan riadah dan perjalanan di hujung minggu.”

Nissan_NP300_Navara_New_IK 023

Hadir dengan enam varian iaitu VL, V, SE A/T, SE M/T, E dan Single Cab, NP300 Navara ini mempertaruhkan enjin yang telah ditambah baik iaitu 2.5L Diesel YD25 Nissan dengan sistem geometri boleh ubah (VGS) turbo intercooler.

Ia mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 190PS dan puncak tork 450Nm pada 2,000rpm, sekali gus menjadikannya sebagai trak pikap paling berkuasa dalam segmennya.

Bagi prestasi kuasa yang lebih berdinamik, ia turut digabungkan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan bersama mod manual iaitu pertama dalam kelasnya menjadikan NP300 Navara menjadi peneraju dengan lebih kuasa, pecutan yang lebih lancar serta menjimatkan bahan api.

Nissan_NP300_Navara_New_IK 065

Walau bagaimana pun, bagi varian SE M/T, E dan Single Cab, ia dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

Kemasukan NP300 Navara kepasaran Malaysia turut mencipta satu lagi rekod iaitu pikap pertama dari pembuat kenderaan Jepun yang menggunakan Multi-link bersama penyerap hentak bagi suspensi belakangnya. Ia turut dipadankan bersama Independent Double-Wishbone dengan palang penstabilan untuk suspensi hadapan.

Semua varian Double Cab mempunyai sistem 4WD dan turut memiliki butang Shift-On-Fly 4×4. Di mana dari pacuan 2WD, boleh ditukarkan pada 4H untuk 4WD ketika memandu di bawah kelajuan 100km/j. Dari 4H hendak bertukar ke 4LO, kenderaan harus berhenti sepenuhnya (0km/j).

NP300 Navara berukuran 5,255 mm panjang, 1,850 mm lebar dan 1,840 mm tinggi (kurang 30 mm untuk varian V, SE (AT), SE (MT) dan 40mm untuk E).

Nissan_NP300_Navara_New_IK 013

Manakala bagi Single Cab pula, berukuran 5,235 mm panjang, 1,790 mm lebar dan 1,775 mm tinggi. Ukuran bagi jarak roda adalah sama untuk semua varian iaitu 3,150 mm.

Melihat akan penampilannya, ternyata NP300 Navara lebih macho, agresif dan sofistikated berbanding model sebelumnya. Terutamanya bagi varian tertinggi V yang menerima perubahan karakter luaran dengan menampilkan DNA reka bentuk Nissan yang tersendiri serta cukup menonjol.

Lampu utama LED berbentuk boomerang yang lengkap dengan lampu nyalaan siang (DRL) merupakan yang pertama dalam kelasnya. Ia turut melengkapkan gril signatur ‘V-motion’ Nissan serta menyerlahkan aspek estatiknya. Varian ini juga ditampilkan dengan rel bumbung.

Namun hanya padanan lampu utama halogen untuk lain-lain varian. Dan kesemua varian turut dilengkapi dengan spoiler belakang kecuali varian Single Cab.

Varian V dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18-inci, manakala varian lain hanya 16-inci. Cuma varian Single Cab sahaja menggunakan rim keluli bersaiz 16-inci.

NP300 Navara menawarkan keselesaan dan kemewahan yang boleh didapati pada model-model premium Nissan yang lain. Tempat duduk yang diinspirasikan daripada graviti sifar (Zero Gravity Inspired Seats) yang pertama dalam kelasnya memberi sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan.

Varian VL dilengkapi dengan tempat duduk kulit sepenuhnya, manakala lain-lain varian hanya fabrik.

Sementara sudut tempat menyandar untuk tempat duduk belakang yang telah ditambah baik bersama corong pendingin hawa memastikan keselesaan penumpang belakang pada setiap masa.

Skrin warna Advanced Drive Assist Display (ADAD) bersaiz lima inci memaparkan maklumat kenderaan untuk memudahkan pemanduan. Sementara stereng yang sporty bersama butang kawalan memberikan pemandu akses terus ke atas sistem audio dan kawalan jelajah di hujung jari sahaja.

Nissan_NP300_Navara_New_IK 055

Manakala pendingin hawa dua zon dan corong udara di bahagian belakang pula memberikan penyejukan kabin yang optimum.

Bagi varian VL dan V, ia turut dilengkapi dengan butang kawalan pada roda stereng iaitu untuk audio, sistem bebas-tangan Bluetooth, kawalan kelajuan, kunci pintar bersama butang penghidup/mematikan enjin dan paparan bersaiz 5-inci dengan sokongan FM/AM/MP3, sambungan USB, kamera pandang belakang dan enam pembesar suara.

Bagi ruang kargonya, bagi varian VL, V, SE (AT), SE (MT) dan E, ia berukuran 1,465mm panjang, 1,560 mm lebar dengan kedalaman 475mm yang mampu membawa bebanan seberat satu tan.

Manakala bagi varian Single Cab pula, ia memiliki ukuran 2,310 panjang, 1,560 mm lebar dengan kedalaman 472mm yang mampu membawa bebanan seberat 250 kg.

NP300 Navara Serba Baharu hadir bersama pelbagai ciri keselamatan untuk apa jua situasi pemanduan. Ia dilengkapi sistem ciri Active Brake Limited Slip untuk menawarkan cengkaman lebih baik serta meningkatkan kestabilan kenderaan di atas jalan yang licin, Bantuan Mula Mendaki dan Bantuan Menuruni Bukit.

Ciri-ciri utama keselamatan lain termasuklah dua beg udara di bahagian hadapan, cagak tempat duduk kanak-kanak (ISOFIX), Kawalan Dinamik Kenderaan, ABS, EBD, Bantuan Brek dan Sistem Kawalan Cengkaman untuk membantu pemandu agar sentiasa berada dalam kawalan serta dapat mengelakkan daripada bahaya dalam situasi-situasi kecemasan.

Nissan_NP300_Navara_New_IK 003

NP300 Navara ini menawarkan empat warna iaitu Savanna Orange serba baharu, Tungsten Silver, Diamond Black dan Brilliant White.

Manakala varian Single Cab hanya ditawarkan dengan satu warna sahaja iaitu Brilliant White.

Dijual pada harga atas jalan (tanpa insurans) ialah RM120,800 bagi varian VL, RM109,800 (V), RM102,800 (SE A/T), RM97,800 (SE M/T), RM89,800 (E) dan RM79,00 (Single Cab).

Ia juga hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

Turut ditawarkan dengan aksesori pilihan iaitu Navigasi Multimedia tujuh-inci berharga RM3,922, tempat duduk balutan kombinasi kulit (RM2,438), empat varian lapisan cermin gelap (RM1,272-RM5,141) serta pakej Elegance bernilai RM1,166 yang terdiri daripada pedal sport, plat sisi keluli tahan karat, pelindung pintu dan kekemasan pemegang pintu.

Selain itu, ia turut menawarkan tiga aksesori bagi bahagian kargo yang diimport sepenuhnya dari New Zealand iaitu set lengkap Pro-Form Tango berharga RM7,950, Pro-Form Sport Bar For Tango (RM2,650) dan Pro-Form Sport Lid For Tango (RM5,830).

“Sejak ETCM membuka pra-tempahan pada pertengahan Oktober, kami telah mengumpul lebih 1,000 tempahan Nissan NP300 Navara. Maklum balas yang memberangsangkan ini sememangnya menguatkan lagi semangat kami untuk bekerja lebih keras demi memastikan ia mampu menempatkan dirinya sebagai pesaing utama dalam segmen trak pikap di Malaysia,” ujar Dato’ Dr. Ang Bon Beng lagi.

Nissan NP300 Navara Double Cab VL

Nissan NP300 Navara V

Nissan NP300 Navara SE (AT)

Nissan NP300 Navara E

Nissan NP300 Navara Single Cab

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *