PANDU UJI : Mercedes-AMG C 63, Mercedes-AMG GT S & Mercedes-AMG S-Class 63 Coupe

By  |  0 Comments

_D3_1342

Peluang menyertai sesi pandu uji Mercedes-Benz Dream Car Collection di Langkawi, baru-baru ini, memberikan pengalaman yang agak bermakna pada Infokereta.com bagi memberikan sedikit ulasan mengenai barisan model yang diperkenalkan.

Memandu uji dalam tempoh masa yang singkat, lebih kurang 45 minit bagi sebuah model. Walau tidak begitu puas melenjannya dek kesuntukan masa, namun peluang ini pasti tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Apatah lagi ia melibatkan jentera-jentera yang bukan setakat serba mewah, malah memiliki kuasa prestasi yang mengagumkan.

Terutamanya barisan jentera yang menerima talaan AMG, termasuklah Mercedes-AMG C 63 S, Mercedes-AMG S-Class Coupe dan Mercedes-AMG GT S.

Mercedes-AMG C 63 Edition 1 (4)

Jentera AMG pertama yang dipandu di Langkawi ini ialah Mercedes-AMG C 63 S. Dijanakan oleh enjin 4 liter 32-injap DOHC dengan suntikan terus bahan api, pengecas turbo berkembar VVT V8, ia boleh menghamburkan kuasa sehingga 510 hp pada 5,500 rpm dan puncak tork 700 Nm pada 1,750.

Prestasi yang disalurkan turut mendapat bantuan transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT tujuh-kelajuan yang begitu meledakkan lagi kuasanya.

Keterujaan mengendalikan Mercedes-AMG C 63 S terus meledak dalam tempoh lima minit pertama. Kuasanya tidak segan-silu memuntahkan segenap adrenalin.

Walau pun pada mulanya ia ‘terasa’ sedikit meliar, namun hakikatnya ia mudah untuk dikawal. Malah kuasa prestasinya begitu NGAM dengan kawalan pengendaliannya.

Mercedes-AMG C 63 S mampu mempamerkan pelbagai aksi pemanduan, sama ada secara agresif atau sekadar ‘fun drive’. Ia memiliki karakteristik yang tersendiri, yang boleh bertukar-tukar mengikut corak pemanduan.

Memandu dari Jalan Datai yang sememangnya terkenal dengan corak jalan yang agak mencabar dengan banyak selekoh tajam (silap kawalan boleh terjun laut dibuatnya) memang memberikan kuasa pada tahap maksimum.

Mercedes-AMG C 63 Edition 1 (7)

Namun bila harus memperlahankan kelajuan, Mercedes-AMG C 63 S lebih santai dan masih memberikan kepuasan. Bila memandu perlahan, ada saja kenderaan yang berenjin kecil seakan mencabar sifat agresif Mercedes-AMG C 63 S ini. Tidak mahu menunjuk lagak, Mercedes-AMG C 63 S tenang-tenang sahaja. Tetapi apabila pedal pendikit ditekan lebih, wah! Kenderaan lain pun boleh ketepi memberikannya laluan.

Mengikut risalah spesifikasinya, Mercedes-AMG C 63 S mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4 saat dan kelajuan tertinggi yang dicatatkan ialah 250 km/j. Namun tidak sesuai untuk mencuba mencapai kelajuan tertinggi itu, kerana corak jalan di Langkawi memang tidak sesuai untuk pemanduan yang ‘over’ agresif.

Melihat saiznya yang agak besar, pada mulanya penulis agak gementar untuk memandunya. Sudahlah kenderaan mewah, besar pulak tu. Tapi itu semuanya cabaran.

Dengan ukuran 4756mm panjang, 1839mm lebar, 1426 tinggi dan jarak roda 2840mm, sebenarnya tidaklah sesukar mana untuk mengendalikan Mercedes-AMG C 63 S. Termasuklah ketika memasuki ruang parkir atau pun melakukan pusingan U.

Malah pernah sekali, penulis tersilap jalan dan terpaksa berpatah balik, melakukan pusingan U di jalan kampung yang agak sempit, tidak menyulitkan.

Mengenai bahan apinya, mengikut ujian NEDC, ia hanya menggunakan sekitar 8.2 liter bagi setiap 100 km dengan pelepasan emisi 192g/km.

Imej yang dibawakan oleh Mercedes-AMG C 63 S ini memang dambaan hati. Elegan, serba mewah, sofistikated dengan sentuhan sporty menjalari bahagian luaran dan dalaman.

Lampu projektor LED Adaptive dengan lampu nyalaan siang LED, gril dan bampar hadapan yang lebihan mantap menambahkan lagi kekacakan Mercedes-AMG C 63 S ini.

Ia turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar hadapan 245/45R19 dan 265/40R19 di belakang, serta lampu belakang kombinasi.

Manakala antara elemen dalaman pula menampilkan bumbung panoramik, kawalan penghawa dingin automatik dua-zon di hadapan (satu zon untuk tempat duduk penumpang belakang) dan skrin paparan bersaiz 8.4-inci Touchpad dengan COMAND Online serta sistem bunyi tujuh-pembesar suara.

Mercedes-AMG C 63 (30)

Dengan tag harga atas jalan RM698,888 (tanpa insurans), Mercedes-AMG C 63 S turut didatangkan dengan waranti selama dua tahun/perbatuan tanpa terhad (mana yang tiba terlebih dahulu).

Satu lagi jentera AMG yang dipandu uji ialah Mercedes-AMG S 63 Coupe yang baru saja diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Lihat saja jentera ini, hati mudah tertawan apatah lagi ia tampil dengan kerangka coupe yang dan menampakkan ciri estetikanya.

Mercedes-AMG S 63 Coupe boleh dikatakan sebagai modern masterpiece di dalam seni kejuruteraan automotif. Pernah diangkat sebagai Kereta Mewah Tahunan Dunia, Mercedes-AMG S 63 Coupe ini merupakan salah satu model dari barisan Mercedes-Benz yang sunggu menawan. Ia memiliki kombinasi elegan dan mewah dengan sentuhan sporty.

Mercedes-AMG S 63 Coupe (6)

Imej yang dipertaruhkan itu sangat secocok dengan kuasa yang dihamburkan. Hasil padanan AMG 5.5 liter V8 biturbo, iaitu dari keluarga enjin BlueDIRECT yang paling berkuasa, Mercedes-AMG S 63 Coupe mampu meledakkan 585 hp dan tork 900 Nm.

Enjin berkuasa ini turut dipadankand engan transmisi automatik AMG Speedshift MCT tujuh-kelajuan yang menyalurkan kuasa pada roda belakang.

Dari 0-100 km/j, ia mampu dicapai dalam masa 4.3 saat, manakala kelajuan maksimum pula terhad sehingga 250 km/j.

Mengendalikannya juga tidak sesukar mana, ia bersifat tenang tetapi dalam masa yang sama mampu meledakkan adrenalin hingga ke puncak.

Melalui jalan yang banyak selekoh tajam di sekitar Langkawi cukup menyeronokkan. Sistem suspensi MAGIC BODY CONTROL mampu memberikan rasa pemanduan yang menyenangkan dan selesa. Malah rasa bumpy sangat minimal apabila melalui permukaan jalan yang beralun mahu pun tidak rata.

Mercedes-AMG S 63 Coupe (3)

Selain itu, antara daya tarikan pada Mercedes-AMG S 63 Coupe ini ialah ia turut dilengkapi dengan sistem ekzos sport AMG yang boleh menghasilkan deruman mengikut mod pemanduan.

Jika memandu dalam keadaan santai, deruman bunyi pun santai sahaja. Tetapi apabila mood agresif selari dengan pemanduan, deruman ekzosnya mampu menarik perhatian ramai.

Imejnya? Tidak ada yang tidak best mengenainya! Lihat sahaja bahagian hadapannya yang dilengkapi dengan gril bilah-berkembar AMG dengan kekemasan hitam berkilat dan bampar rekaan AMG A-wing yang menyerlahkan lagi sifat agresifnya.

Selain turut menampilkan corong udara yang besar, lampu utama LED dengan sistem pencahayaan pintar dan paling menarik ia turut menampilkan 47 butiran kristal Swarovski yang menyerlahkan lagi sisi mewahnya.

Sebagai standard, ia turut dipadankan dengan rim aloi AMG bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar 255/45R19 di hadapan dan 285/40R19 di belakang.

Antara elemen standard yang menghiasi bahagian kabinnya termasuklah skrin paparan bersaiz 12.3 inci, panel instrumen digital sepenuhnya, tempat duduk balutan kulit nappa dengan rekaan spesifik AMG V8, roda stereng tiga-jejari AMG, pedal penukar gear aluminium dan logo AMG yang diposisikan di beberapa bahagian dalamannya.

Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan untuk Mercedes-AMG S 63 Coupe ialah RM1,493, 888!

Mercedes-AMG GT S (1)

Jentera Mercedes-AMG ketiga yang dibawa ialah Mercedes-AMG GT S…boleh dikatakan agak mencabar dan membuatkan seluruh anggota badan bisa menggigil!

Kenapa? Mercedes-AMG GT S mudah meliar dan sangat agresif!
Ia boleh dianggap sebagai jentera yang sebenar sesuai dilenjan di trek perlumbaan dan dalam masa yang sama tetap boleh digunakan di jalan biasa. Gabungan prestasi ala perlumbaan dan dinamik menjadikan Mercedes-AMG GT S cukup istimewa.

Mercedes-AMG GT S dijanakan oleh enjin 4.0 liter V8 bi-turbo yang mampu meledakkan kuasa sehingga 510 hp pada 6,250 rpm dan tork setinggi 650 Nm pada 1,750 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi AMG SPEEDSHIFT DCT tujuh-kelajuan yang sangat cekap dalam penukaran gear.

Gabungan enjin penuh berkuasa dan transmisi ini membolehkan Mercedes-AMG GT S hanya mengambil masa selama 3.8 saat untuk mencecah kelajuan dari 0 hingga 100km/j. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 310km/j!

Merc-AMG-GT-S-IK 007

Menurut ujian NDEC, Mercedes-AMG GT S mampu mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 9.4 L/100 km.

Mengendalikan jentera sehebat Mercedes-AMG GT S ini memang mencabar, apatah lagi merentasi laluan di sekitar Langkawi yang boleh dikatakan memiliki pelbagai corak jalan. Bertambah mencabar apabila melayan selekoh demi selekoh, sekurang-kurangnya kuasa Mercedes-AMG GT S ditagih sehingga 90km/j (paling rendah)!

Tekan sedikit sahaja pedal pendikit, berdesup sahaja jentera ini meluncur dengan penuh jayanya. Apatah lagi ia ‘diiringi’ dengan deruman ekzos yang sungguh ‘mempersona’ ibarat berada di trek perlumbaan.

Kawalan sterengnya perlu lebih kemas kerana jentera ini seakan mudah meliar, jadi ia perlu seiring sejalan dengan pedal brek dan pedal pendikit. Namun ini tidak bermakna pengendaliannya mudah ‘tergelincir’, Mercedes-AMG GT S masih boleh dikawal dengan responsif mengikut rentak pemanduan.

Memandu jentera dengan tag harga RM1,125, 888 ini memang mudah memberikan semangat perlumbaan. Mujur ia dipandu uji di jalan raya biasa termasuk melalui kawasan kampung, jadi pemanduan perlu lebih ‘bersopan santun’, tidak boleh ‘terlajak laku’.

Merc-AMG-GT-S-IK 010

Tetapi apabila ada kenderaan lain yang sengaja mencabar dari arah belakang ketika jentera ini dipandu sedikit perlahan, tergugat juga ‘keimanan’. Lantas pedal pendikit ditekan lebih sedikit bagi mengerahkan enjin bergerak lebih agresif, mujur penjana kuasa ini memang begitu cepat memberikan respons. Lantas Mercedes-AMG GT S mudah meluncur dengan tenang..setenang-tenangnya!

Imej yang dipertaruhkan? Lihat sahaja galeri foto di bawah. Menggiurkan bukan?

Mercedes-AMG C 63

Mercedes-AMG GT S

Mercedes-AMG S-Class 63 Coupe

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *