PANDU UJI : Honda Civic 1.8

By  |  0 Comments

Civic1800_Ext_04

Keseluruhan : Prestasi enjin, sifat pengendalian, dan imej luaran & dalaman yang dipertaruhkan buat varian ini sangat berpadanan dengan harganya.

Kelebihan : Walau pun ia dipadankan dengan enjin 1.8L, namun kuasanya memang tidak menghampakan dan bersedia menghamburkan kuasa dengan cukup responsif. Dan secara personal, penulis lebih menggemari varian Civic 1.8L ini berbanding Civic 2.0L.

Kekurangan : Imejnya memang cukup ringkas, sukar untuk menarik pandangan mata. Tapi bagi yang sukakan imej sebegini, ia memang sesuai untuk anda. Tapi jika ada yang mahukan gaya yang lebih sporty, Honda turut menawarkan pilihan aksesori dengan kos tambahan.

Sudah baca artikel dan ‘jamu mata’ dengan lambakan foto Honda Civic 2016? Jika ya, sudah pasti ramai yang tertarik dan tak sabar untuk tunggu ia dipasarkan di negara ini.

Tapi sebelum itu, Infokereta.com sengaja melenjan Civic 1.8 versi facelift 2014 selepas memandu uji varian Civic 2.0 Navi. Sebab inilah masa yang terbaik sekiranya anda berhajat untuk membeli kereta baharu sebelum harganya (mungkin) dinaikkan pada tahun hadapan ekoran nilai mata wang RM yang menyusut teruk.

Sama seperti Civic 2.0L facelift 2014, tiada sebarang perubahan mekanikal yang dilakukan. Bagi Civic 1.8L ini, ia masih dijanakan oleh enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan jaminan kuasa maksimum sehingga 141 PS pada 6,500 rpm. Manakala puncak torknya pula sekitar 174 Nm pada 4,300 rpm.

Civic1800_Ext_27

Mungkin penulis bukan penggemar transmisi CVT, maka padanan kotak gear automatik 5-kelajuan ini memang cukup umphh pada pendapat penulis. Gabungan enjin dan kotak gear ini cukup berpadanan. Terjahan kuasanya memang cukup responsif malah tidak teragak-agak menghamburkan tenaga prestasi yang memuaskan.

Bagi yang tidak begitu mementingkan imej luaran dan dalaman, sudah pasti prestasi dan pengendalian Civic 1.8 ini menjadi keutamaan. Selain gabungan kuasa yang memuaskan, pengendalian jentera ini juga mampu meledakkan adrenalin. Tidak kiralah sama ada dalam pemanduan ‘biasa-biasa’ atau pun suntikan sedikit agresif, Civic 1.8 ini jarang mengecewakan.

Pacuannya boleh dikatakan kekal mantap dan stabil, hasil padanan sistem suspensi topang MacPherson di hadapan dan Multi Link di belakang. Dalam kelajuan yang tinggi, jentera masih mampu dipacu dengan selesa. Malah rentaknya jarang berubah biar pun melalui permukaan jalan yang beralun, rasa bumpy masih dapat ditapis.

Ketika melayan jalan berselekoh, Civic 1.8 ini tidak begitu meliar, malah masih boleh dikawal dengan mudah. Kendalian bersama stereng berkuasa juga sangat membantu memberikan pengendalian yang dinamik. Sistem breknya sekadar biasa-biasa sahaja tetapi mampu memberikan respons yang memuaskan.

Sama seperti varian 2.0L, Civic 1.8L ini memiliki ukuran bersaiz 4,525 mm panjang, 1,755 mm lebar dan 1,435 mm tinggi serta jarak rodanya pula 2,670 mm. Ia sama seperti kenderaan sedan bersaiz sederhana yang begitu mudah untuk dikendalikan. Termasuklah bab parkir atau membuat pusingan-U.

Civic 1.8L ini turut dilengkapi aspek keselamatan termasuk dua beg udara, ABS, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ISOFIX dan 3-poin bagi tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

Melihat imej yang ditampilkan, sekadar biasa sahaja. Jika anda gemarkan gaya yang lebih ranggi dan sporty, pilih saja kit badan ekstra yang turut ditawarkan oleh Honda Malaysia dengan kos tambahan. Civic 1.8L ini sekadar dilengkapi dengan imej yang cukup ringkas.

Ia ditampilkan dengan lampu utama halogen, lampu kabus, cermin sisi tanpa lampu membelok, dengan rim aloi bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 205/55R. Bahagian gril hadapannya masih mirip dengan Civic 2.0L.

Ciri aerodinamiknya masih jelas pada profil bahagian sisi, cuma imejnya memang kurang sporty berbanding Civic 2.0. Begitu juga dengan bahagian belakangnya, sekadar ringkas sahaja.

Imej ringkasnya juga mempengaruhi bahagian kabin. Ia hanya dilengkapi dengan tempat duduk balutan fabrik, stereng berkuasa boleh laras, paparan pelbagai-informasi berwarna bersaiz 5-inci, pemain CD dengan format MP3/WMA, sambungan USB/iPod, sistem bunyi dengan 6 pembesar suara.

Selain itu, ia turut disertakan dengan sistem kemasukan pintar bersama butang penghidup enjin, butang kawalan audio, kawalan kelajuan dan i-MID pada roda stereng, butang ECON dan penghawa dingin kawalan automatik.

Pilihan warna kerangka yang ditawarkan pula ialah Twilight Blue Metallic, Crystal Black Pearl, Taffeta White, Modern Steel Metallic dan Alabaster Silver Metallic.

Berbaloi dengan harganya iaitu RM113,800 (tanpa insurans), ia turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun/perbatuan tanpa had (yang mana tiba terlebih dahulu).

Spesifikasi :

Enjin : 1.8 liter SOHC i-VTEC
Transmisi : Auto 5-kelajuan

Kuasa maksimum : 141 PS @ 6,500 rpm
Tork maksimum : 174 Nm@4,300 rpm

Kapasiti tangki bahan api : 50 liter


Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *